Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Novel Tikus hasil karya penulis Wan Nor Azriq merupakan manifestasi realiti sosial yang mendedahkan implikasi buruk apabila manusia dan sistem gagal mempertahankan keadilan, maruah serta moral dalam kehidupan.
Pelajar Akademi Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nur Aina Ellysha Mohd. Shukti berkata, novel tersebut membuktikan keberkesanan karya sastera sebagai medium refleksi terhadap realiti kehidupan manusia.
“Novel Tikus merupakan sebuah teks sastera kontemporari yang sarat dengan wacana kemasyarakatan dan kritikan sosial melalui pendekatan alternatif sejarah yang bersifat spekulatif dan alegori.
“Pengarang menyingkap pelbagai permasalahan sosial yang berakar daripada kegagalan sistem pembangunan, ketidakadilan ekonomi, pengabaian golongan terpinggir, serta keruntuhan nilai moral dalam masyarakat, terutamanya masyarakat golongan bawahan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Unsur Tersurat dan Tersirat dalam Novel Tikus Karya Wan Nor Azriq” pada majlis Diskusi Novel Siri 10: Kemiskinan Membiak, Kemanusiaan Dimakan.
Diskusi yang dikendalikan oleh Nur Adnin Mohd. Noor itu diadakan di Bilik Seminar 3A502 UKM baru-baru ini sempena tugasan pelajar yang mengambil kursus Novel Melayu di pusat pengajian berkenaan.
Nur Aina Ellysha berkata, gabungan unsur simbolisme, metafora dan konflik psikologi dalam menggerakkan naratif karya tersebut menggambarkan nilai estetika sebuah karya kreatif untuk menarik minat para pembaca.
Sementara itu, rakannya Nur Faiqah Dayana Mohd. Adzzhar, ketika membentangkan kertas kerja yang sama berkata, simbol tikus yang mendominasi keseluruhan naratif pula menjadi lambang pada pelbagai sifat negatif manusia.
“Tikus merupakan sebuah novel eksprimental yang membincangkan wacana kemasyarakatan yang berlaku pada masa kini.
“Tikus mengkritik golongan atasan yang menafikan hak golongan bawahan secara tersirat melalui simbol tikus sebagai lambang penindasan, peminggiran serta ketidakadilan terhadap masyarakat marhaen dalam sistem sosial yang tidak seimbang,” katanya.
Tambahnya, karya tersebut perlu difahami secara tersurat dan tersirat bagi menyingkap pengajaran yang disampaikan oleh pengarang selain menghayati makna sebenar karya sastera dengan mendalam.

Beli novel Tikus di sini.