Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari membawa Harry Aveling, figura besar sastera kita yang sudah banyak menterjemahkan karya tempatan ke dalam bahasa Inggeris, berjalan-jalan di Kelantan pada bulan November lepas.
Harry Aveling tiba ketika Kelantan sudah beberapa hari mulai hujan amat lebat.
Selepas bersegera solat asar, kami terus bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa. Janji yang harus ditepati untuk menunggu dan membawa Harry Aveling ke Hotel Perdana, penginapannya di Kota Bharu.
Pada WhatsApp, jangka tiba penerbangan ialah 16.50. Lewat lima minit, jam 5.00 petang, kami sudah sampai. Tidaklah lambat. Saya mengajak bersama-sama penulis muda Kelantan yang sedang meningkat mutu hasil kreativitinya, Nik Mohd Hafiz Abdullah bagi membolehkannya ikut mengenali Harry Aveling.
Penerbangan MAS mendarat tepat masa. “Touchdown,” ujar Nik Hafiz, berbahasa Inggeris, agaknya sengaja untuk berkata demikian semata-mata kerana Harry, Mat Saleh, walaupun kata itu ditujukan kepada saya. Saya gelak. Biasa kami di Kelantan sebut “landing”.
“Ilir (hilir),” tempelak saya.
Kami oghe Kelate biasa akan menempelak gurau dengan kata ilir itu, kalau seseorang Kelantan pada lagak bertutur apa-apa bahasa yang bukan dialek Kelantan. Lebih-lebih lagi kerana disebutnya, touchdown. Lagilah ilir kerana bukan lazim biasa, landing. Nik Hafiz ketawa, tanpa membalas jawab tempelakan jenaka saya. Ilir, hilir pada konteks budaya masyarakat Kelantan, dalam kalangan orang tua-tua dahulu sebagai membanding beza cara hidup antara masyarakat di sebelah hulu pedalaman dengan di sebelah hilir, bandar yang lebih ke depan, maju.
“Mano Pak Harry? Tak napok idung. Lepo-lepo, betukar naik kapa terghebang hok turung Bbekok (Mana Pak Harry? Tak nampak hidung. Silap-silap, bertukar naik kapal terbang yang turun (di) Bangkok),” jenaka rungut Nik Hafiz kerana Harry belum juga kelihatan di celah-celah para penumpang yang sudah berpusu-pusu tiba. Rupa-rupanya, beliau dan isteri sedang didorong dengan kerusi roda oleh dua orang pramugara, berserta beg besarnya menuju ke pintu keluar.
Harry Aveling, nama besar dalam sastera Malaysia, bahkan juga Indonesia. Beliau pensyarah, pengkaji, pengkritik dan penterjemah yang banyak jasa, besar budi pada perkembangan dan kedinamikan dunia sastera bagi kedua-dua buah negara ini. Bahkan, cakupan Asia Tenggara dan Asia. Pernah dianugerahi Anugerah Pengembangan Sastera oleh Kerajaan Indonesia.
Dari dekad 70-an, beliau sudah sebegitu terkenal, terutama sekali kerja kajian dan tungkus-lumus usaha penterjemahannya, di samping merupakan pensyarah bidang sastera Indonesia dan Malaysia, termasuk beberapa buah universiti di dunia, selain Universiti Monash dan di Universiti Murdoch serta Universiti La Trob di negaranya, Australia. Pernah juga di universiti di Ohio (Amerika) dan Vietnam.
Beliau mendapat gelaran Doktor Falsafah dalam Studi Melayu, Universiti Nasional Singapura dan Doktor Seni Kreatif dari Universiti Teknologi, Sydney. Beliau sudah bersara. Tempat terakhir beliau mengajar adalah semasa kembali ke Universiti Monash. Kemudian, beliau lebih kerap ke mana-mana sebagai Profesor Pelawat bagi bidang Studi Sastera Indonesia dan juga Malaysia.
Pada tahun 1972 – 1975, beliau mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau menterjemahkan novel magnum opus Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said, Salina ke dalam bahasa Inggeris, selain beberapa karya eceran dan buku sastera kreatif para penulis Malaysia, termasuklah A. Ghafar Ibrahim, Fatimah Busu, Pak Sako, dan SN Shahnon Ahmad.
Beliau menterjemah bukan sekadar karya sastera kreatif dari Indonesia dan Malaysia, malah juga daripada sastera Francophone Vietnam dan Hindi. Sesetengahnya merupakan usaha terjemahan bersama-sama dengan rakan-rakannya.
“Tahu nama Harry Aveling?”
Nik Hafiz menggeleng pada pertanyaan saya, awal sehari sebelum mengajaknya ke lapangan terbang. Tentu sahaja tidak. Penulis yang baru tampil meningkat ini belum lahir, apatah lagi untuk mengenal dan berkecimpung dalam sastera, kira-kira seawal 30 tahun lalu. Maka, saya menerangkan sedikit sebanyak itu ini tentang Harry Aveling. Memang itulah tujuan saya mengajak penulis muda ini bersama-sama agar dapat terus mengenal dekat Harry Aveling.
“Tidak perlu berbahasa Inggeris dengan beliau,” jelas saya, walau tahu Nik Hafiz mahir. Dia menuntut dan kini bertugas sebagai juruteknologi kardiovaskular di Hospital KPJ cawangan Kelantan. Sebelum ini, di Institut Jantung Negara. Dahulu, dia pernah bersama-sama Fahd Razy semasa belajar di Sekolah Menengah Alam Shah, Selangor.
“Nama saya Hafiz,” Nik Hafiz memperkenalkan diri pada Harry Aveling. Memang itu juga salah satu sebab saya sengaja mengajak dia datang, untuk memperkenalkan nama dirinya.
Saya sudah menjangka awal, Harry Aveling dan Nik Hafiz sendiri tentu akan saling terkejut, tercengang. Saya gelak. Namun begitu, Harry girang sekali, “Wah! Sama juga dengan nama saya.” Harry Aveling menggunakan nama Hafiz Arif setelah memeluk Islam, lama dahulu. Namun begitu, tetap sahaja lebih dikenali sebagai Harry Aveling. Dalam apa-apa tulisan dan bukunya, beliau tetap mengekalkan nama sebenarnya itu, walau pernah sejenak dengan nama Hafiz Arif dalam beberapa esei dan kertas kerja.

Kami pada awalnya amat berhasrat membawa beliau minum petang di Pantai Dasar, Sabak terlebih dahulu, tidak begitu jauh dari lapangan terbang.
Malah, kami berkira-kira untuk melewati kampung Kemumin di pertengahan jalan. Kampung yang ikut wujud dalam beberapa buah cerpen dan novel SN S. Othman Kelantan. Kemumin ialah kampung tempat asal S. Othman lahir dan membesar. Sebelum singgah, kami menikmati udara segar dan merenung sedikit baki pemandangan di tepi Pantai Dasar atau Sabak. Walaupun pemandangan di pesisir pantai sudah banyak bertimbun bongkah batu sebagai benteng, tembok yang dibina untuk mengelak masalah hakisan.
Alir arus pesisir sudah berubah oleh lantun olak, lantaran pembangunan sebuah pelabuhan tidak jauh dari situ kerana negeri juga harus cepat membangun. Sebahagian besar Kampung Sabak yang dahulu merupakan perkampungan nelayan, kampung tradisional itu pun telah tenggelam dimakan arus. Surau dalam ingatan, dahulu pernah beberapa kali saya singgah solat asar, juga sudah ditelan laut.
Sambil-sambil hasrat ingin memberitahu dan menerangkan kepada beliau, Pantai Dasar atau Sabak bersama-sama serangkai Pantai Pak Amat di Kuala Semut Api, jajar pesisir itu ialah tempat penting dalam sejarah Malaysia. Lokasi itulah mula-mula tentera Jepun mendarat, membedil Malaya pada 8 Disember 1941, dari juring Kelantan yang menghadap muka Laut China Selatan, sebelum penaklukannya pada Perang Pasifik dahulu.
British di luar duga kerana tentera Jepun amat berani meredah datang ketika laut bergelora bulan Disember, di tengah-tengah malam buta dalam hujan lebat dan angin kuat musim tengkujuh di Pantai Timur. Kejadian itu berlaku kira-kira sejam lebih awal, kerana beza zon waktu, sebelum Jepun menyerang menghancurkan pangkalan angkatan laut utama Amerika Syarikat, Pearl Harbor di Pulau O’ahu, Hawaii, luluh-lantak.
Allahyarham penyair Indonesia, Abdul Hadi W.M, lebih 30 tahun lalu pernah mengunjungi Pantai Sabak. Malah, dikirimkan sebuah puisinya kepada saya tentang kenangan di situ. Editor Dewan Sastera, Fadli al-Akiti pula pernah menjejak kaki di Pantai Pak Amat, juga untuk mengenali lokasi pertama pendaratan Tentera Jepun di Malaya dari sebelah Laut China Selatan. Ketika itu, kami bersama-sama Allahyarham Ilmin Abdullah.

Ketika masuk ke lobi hotel bagi mendaftar diri di kaunter, sebelum berpisah sementara, saya menghadiahkan kepadanya senaskhah Dewan Sastera. Tampak benar, beliau tergamam, termenung renung. Lambat untuk bersuara. Entah apa-apa yang dikenangnya.
Harry Aveling tiba ketika Kelantan sudah beberapa hari mulai hujan amat lebat. Lazimnya, kalau sudah menghampiri hujung tahun, maka detik-detak dan getar-getir Monsun Timur Laut, orang Kelantan harus bersedia pada kemungkinan banjir. Malah, beberapa tempat sudah pun dipindahkan penduduknya. Oleh itu, hasrat ke Pantai Sabak, kami padamkan daripada impian indah manis. Putih hujan sepenuh-penuh landskap, dingin dan angin, tidak menjanjikan pemandangan luas. Melainkan gigil dan basah kuyup-ruyup.
Tambah pula untuk menyusur masuk dan keluar dari lapangan terbang pun harus bagai hurungan semut, banyak dan perlahan bagai merangkak. Lapangan terbang yang paling sibuk dan padat di negara ini bagi penerbangan domestik, terutama ke Kuala Lumpur. Siang malam, tidak kurang 60 penerbangan. Belum termasuk bas ke luar Kelantan, di pusat bandar. Musim Raya, lebih sejuta buah kenderaan di jalan raya masuk ke Kelantan.
Sementara itu, kerja menaik taraf lapangan terbang sedang pesat dilakukan, menjadikan susur masuk dan keluar juga begitu perlahan. Kami perlahan-lahan menelusur ke luar untuk langsung menuju ke penginapan Harry.
Beliau dan isteri, Prof. Dr. Marian Quarterly yang pernah menjadi pensyarah bidang Sejarah di Universiti Monash, Australia, berangkat dari Negara Kanggaru itu untuk datang ke Kuala Lumpur. Tentu kerana beliau rindu kepada Malaysia. Bak kata peribahasa, “tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain”. Meski lebih bertujuan hadir bagi menyertai Georgetown Literary Festival di Pulau Pinang, 28 – 30 November 2025, namun ibarat “sambil menyelam, minum air”.
Beliau datang awal, tiga hari di Kuala Lumpur pada Rabu, 19 November, sebelum ke Kelantan pada petang Jumaat, 21 November. Sementara pada kesempatan, awal petang Khamis, beliau tidak melepaskan ruang mengunjungi sahabat baiknya, SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Saleh di Kajang, Selangor.
Jika tidak kerana Prof. Muhammad menghubungi dan memberitahu, tentulah saya tidak mengetahui kehadiran dan berpeluang bertemu dengan Harry Aveling.
Bercerita kepada saya sambil mengangkat, menunjukkan lima batang jari tangan kanannya, kata Harry, “Saya dengan Muhammad lahir pada tahun yang sama, 1942. Malaya, tahun Zaman Jepun, ya? Dia lebih tua daripada saya, lahir 26 Maret (Mac), kini 83 tahun usianya. Mujur, saya masih muda sebab lahir 30 Maret, lewat lima di belakang beliau.” Kami bersama-sama gelak. Pandai juga beliau berkelakar.
“Orangnya sangat humble,” jelasnya kerana menyangka saya tidak mengenali dekat Prof. Muhammad Haji Saleh.
Saya terkejut, beliau memberitahu akan berada di Kelantan selama tujuh hari, termasuk pada hari akan berlepas ke Pulau Pinang. Bererti seminggu. Kejap benar. Ingatan, kenangan dan rasa cintanya pada negeri Kelantan tetap mekar. Tentu sahaja kerana warisan seni budaya Kelantan, desa-desa Kelantan dan tradisi ramah mesra budaya oghe Kelate, melekat sejak lama, memikat hatinya.
Inilah kunjungannya yang keempat ke Kelantan, walau bersenggang jauh masa.
Kali pertama, ketika tahun 1966 dahulu lagi semasa mengajar di Universiti Monash. Ketika itu, saya baru berusia enam tahun. Tertawa beliau, pada ujar saya, “Saya belum penuh mengenal dunia pada waktu itu. Apalagi untuk mengetahui tentang Abang.” Semasa mengajar di USM pada tahun 1972 – 1975, beliau dua kali mengambil kesempatan mengunjungi Kelantan lagi. “Itulah, terlalu lama dahulu, sebelum sekarang kali keempat,” ujarnya. Bererti, kira-kira 50 tahun lalu, kali akhir beliau mengunjungi Kelantan.
Namun begitu, saya terkedu. Tidak tergamak hendak menyatakan kepada beliau. Kehadiran beliau ke Kelantan, pada sisi saya, lebih sebagai hadir tersilap pilih musim. Penulis pelapis penting Kelantan, Sujata Wee menyapa Harry Aveling melalui Facebook Dewan Sastera, “Selamat datang ke negeri Kelantan. Sayangnya sekarang hujan di mana-mana. Tengkujuh mula menyapa.”
Pantai Timur, kalau sekitar bulan April – Jun, lazim hujan, justeru peralihan monsun angin barat daya bertembung dengan angin timur laut. Kadang-kadang, pelakar (halilintar). Manakala bulan Oktober – Disember, malah terutamanya November – Disember, memang lazim sepenuh sebagai angin timur laut yang sarat lebat hujan, bahkan merupakan musim tengkujuh.
SN S. Othman Kelantan (Allahyarham) pernah mengarang sebuah novel bertajuk Angin Timur Laut (DBP, 1962) yang menggambarkan secara realistik kehidupan masyarakat pantai atau nelayan yang bergelut dengan kemiskinan, dengan pelbagai rencam masalah sosial lain, termasuk ancaman alam. Ancaman alam ini, terutamanya apabila berdepan dengan musim angin timur laut melanda.
Harry Aveling pula tiba hadir di Kelantan, dalam bulan November!
Musim angin timur laut membawa bersama-sama duyun-duyun awan besar hitam, membelah gelombang dan menggoyang pokok. “Hujan tidak reti radu (berhenti, beradu),” terang saya agar beliau mengetahui juga dialek Kelantan. Setiap hari, berai hujan bukan sahaja lebat kasar. Malah, bersambung-sambung antara sejenak reda dengan berderai lebat kembali. Namun bagai payah reda. Kadang-kadang tidak pun reda-reda siang malam.
Ketika masuk ke lobi hotel bagi mendaftar diri di kaunter, sebelum berpisah sementara, saya menghadiahkan kepadanya senaskhah Dewan Sastera. Tampak benar, beliau tergamam, termenung renung. Lambat untuk bersuara. Entah apa-apa yang dikenangnya.

Namun kemudian, dengan wajah ceria, mengujar, “Majalah yang paling saya sayangi.” Saya menjangka akan disebutkannya senang atau senangi kerana beliau lebih menggunakan bahasa Indonesia. Kata itu bagi maksud rasa gembira atau bahagia. Tetapi, yang diungkapkannya ialah “sayangi.” Nik Hafiz sempat mengabadikan foto beliau berkenangan dengan majalah disayanginya itu. Segera dikirimkan oleh Nik Hafiz kepada Facebook Dewan Sastera. Memang beliau tokoh masyhur yang berkecimpung dalam sastera Malaysia. Layak dikongsi tahu oleh khalayak sastera tanah air akan kehadirannya.
Suaranya perlahan. Lembut benar. Bagai sepatah-patah kata. Jalannya dikit-dikit. Lantaran, jauh usia dan sudah uzur. Jauh sekali, beza dengan wajah dan watak zaman mudanya yang sangat segak, rambut lebat tebal, malah berjambang. Bagai tak akan ada siapa yakin untuk berkata, “Ya, inilah beliau dari zaman mudanya yang lalu.” Isterinya juga berusia, agak uzur sedikit. Lumrah hidup memang begitu. Lagikan, daun hijau muda akhirnya tua pudar kuning.
Pada setiap malam, tanpa mempedulikan hujan, sembang kami dengan Harry Aveling bersambung-sambung, sekurang-sekurangnya dapat juga menemani dan menghiburkan hatinya daripada jemu kekangan hujan.
Kami membawanya makan malam, bertukar-tukar tempat makan, mengelak mungkin jemu baginya pada latar tempat sama. Namun begitu, lebih acap di Port Angguk Burung Candik, di Kubang Kerian, tempat kami selalu bertemu sembang sastera, selepas Port Kroded, Port Pine, Port Kepala Lori, dan Port Pattani dahulu.
Saya tahu sangat, perkongsian idea, pemikiran, pengetahuan sastera, serta kerja kreativiti dan bimbingan kepada penulis muda lebih banyak berkesan di kedai kopi. Banyak pada kalangan penulis sastera dunia pun lebih sedemikian itu juga. Malah, Harry Potter yang menggegar dunia lahir dari celah restoran.
Bersembang bersama-sama dengan Harry Aveling, lebih selalu ditemani bersama-sama oleh Pengerusi Liga Penulis Kelantan (LPK), Dahri Zakaria, Zuharman Mohammad Nor, Nik Mohd Hafiz Abdullah, Abdul Hadi Yusoff, Maroof Seman RS, Ramzan al-Firdausi, Amir Batik Tulis, Muhamad Ikhram Fadly Husin (pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur), CT Puspa atau Jak Arill, dan Hasrul Fazree Hasnan. Semua mereka penulis mapan, pelapis dan pencinta sastera Kelantan.
Malah menariknya, pertemuan sosial ini pernah diikut serta oleh sahabat kami, Dato’ Amzari Hussin dan kontraktor dari Terengganu, Shamsul Bahari Noordin yang kebetulan datang pada janji temu saya. Mereka seronok tumpang mendengar sembang sastera. Malah, Shamsul Bahari amat gembira, ingin berfoto kenangan dengan Harry Aveling dan membelanjakan nasi lemak mahal kepada kami ketika di sebuah restoran terkenal di Kota Bharu.
Sayang benar, penulis mapan, Salman Sulaiman yang sangat berhasrat menyertai sembang sastera kami itu berhalangan oleh hujan dan beberapa sekatan limpah air hujan yang agak dalam di jalan; walau biasa boleh datang dari sejauh Jajahan Machang, meski harus kira-kira sejam memandu. “Salman direndam oleh hujan dan sejuk malam. Isterinya tidak benarkan keluar, takut demam. Payah cari ubat musim ini,” gerutu kelakar Nik Hafiz. Gelaklah kami.

Juga, Ketua Satu GEMA, penerima Anugerah Tokoh Seni Negeri Kelantan 2025 , Zainal Abidin Muhamad. Beliau berhalangan oleh limpah air hujan di kediaman anaknya di Kedai Lalat.
Pada siang hari, Harry Aveling beberapa kali ditemani oleh penyair dan deklamator puisi, Abdul Hadi Yusoff. Malah, saya meminta Hadi membawa beliau hadir ke program Hari Puisi Nasional Peringkat Negeri Kelantan anjuran PUSPA (kerabat GAPENA), yang berlangsung di Jajahan Bachok, berhampiran pantai. Mujur juga, kebetulan berlangsung program tersebut, dapatlah beliau berpeluang beramah mesra dengan para penulis Kelantan, terutamanya angkatan muda; selain kami.
“Ya, saya senang (bahagia) sekali menghadirinya,” ujarnya. Malahan, gembira hati Ketua Satu PUSPA, Dr. Abham T.R. bukan kepalang. Bayangkan, tokoh besar Harry Aveling tiba-tiba turut serta menghadiri program itu!
Bukan itu sahaja, YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman sempat juga meraikan beliau dan isterinya dengan jamuan makan tengah hari, di Kota Bahru. Kebetulan pula, Dr. Norhashimah Ismail dari Universiti Utara Malaysia yang juga merupakan Ketua Satu Persatuan Penulis Perlis (3P) dan rakannya sedang beberapa hari turut berada di Kelantan untuk urusan universiti. Mereka menginap di Hotel Perdana, tempat sama dengan Harry Aveling. Rahmat daripada Allah SWT. Dapat sejamuan, sambil semua mereka saling kenal mesra dalam sembang dan silaturahim sastera.
Pada pagi, hari sebelum bertolak pulang ke Utara, Norhashimah dan rakan masih sempat bersarapan, sembang sejenak-renak sastera dan berfoto kenangan dengan Harry Aveling dan isteri. Salah satu petang pula, Abdul Hadi sempat membawanya bersiar-siar mengenal Kampung Laut. “Saya rindu pada dodol Kelantan,” Abdul Hadi ketawa mendengar kata itu.
Bahkan, berkesempatan mengunjungi dan mengenal rumah tempat asal pengarang besar, Fatimah Busu di kampung Pasir Pekan, tidak begitu jauh dari situ. Gembira Harry pada kesempatan itu, walau Fatimah sudah menetap di Pulau Pinang, kerana beliau pernah menterjemah karya Fatimah Busu.
Setiap malam, beliau suka pada teh tarik.
“Senang sekali saya. Meriah sekali oleh suasana sastera Kelantan,” ulas Harry Aveling pada suatu sembang malam. Saya senyum dan mengangguk. Kata-kata yang tidak memerlukan sambung ulas oleh saya kepada beliau.
Selalu saya tahu, kata-kata seperti itu adalah benar. Sastera Kelantan, tidak hanya akan meriah oleh para sahabat sastera dan lingkung pelapis muda, tetapi juga dengan selingan program sastera dan budaya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan, Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan, GEMA, PPK, PUSPA, PERADABAN, LPK, KERSANI, dan sesekali PESISIR. Asalkan, bukan musim hujan!
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
_________________________
Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.