Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Para penulis pemula disarankan untuk memupuk keberanian untuk menghasilkan karya serta tidak gentar untuk menyertai pelbagai platform pengiktirafan sastera di negara ini.
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award 2025, Hafizah Iszahanid berkata, status sebagai penulis “kecil” atau baharu bukan merupakan penghalang untuk seseorang itu menghantar manuskrip bagi penilaian hadiah sastera. Menurut beliau, langkah tersebut sangat penting sebagai pemangkin untuk membina keyakinan diri dan melangkah lebih jauh dalam dunia kepengarangan.
“Jangan risau jika anda penulis kecil atau besar, hantar sahaja kepada sekretariat (penganjur). Penghantaran karya itu sebenarnya akan menjadi satu pemangkin untuk membina keyakinan diri untuk melangkah lebih jauh,” ujar beliau semasa sesi Bual Rembang Petang bersempena dengan program Kelah Buku@Putrajaya 2026 di Taman Botani Putrajaya, petang semalam.
Hafizah, yang memulakan langkah melalui Minggu Penulis Remaja, turut berkongsi pengalamannya dalam meniti jalur kerjaya seni sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Beliau mendedahkan bahawa kemenangan SEA Write Award 2025 yang diterimanya di Bangkok, Thailand baru-baru ini merupakan satu kejutan besar kerana beliau tidak pernah merancang atau melakukan sebarang lobi untuk pencalonan tersebut.
“Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan oleh penganjur kerana saya tidak pernah hantar sebarang pencalonan. Saya dicalonkan oleh seorang sarjana,” ujar beliau yang menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai ketentuan rezeki bagi mereka yang tekun berkarya.
Dalam sesi yang sama, beliau turut menekankan beberapa aspek penting bagi meningkatkan kualiti penulisan. Beliau berpendapat bahawa penulis perlu berani menzahirkan idea dan menghantar karya untuk dinilai oleh badan-badan pengiktirafan sastera seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Penulis perlu membaca karya yang berkualiti dan rencam, termasuk dalam bidang psikologi, agama, sejarah dan sains bagi mendapatkan idea yang segar.
“Selain itu, pengarang perlu berani meneroka genre di luar zon selesa dan tidak hanya terikat dengan kelompok atau lingkaran rakan pengarang sendiri sahaja,” ujarnya.
Hafizah turut mengingatkan bahawa seorang pengarang akan terhenti perkembangannya jika berhenti membaca kerana pembacaan yang luas akan menjadikan penulisan lebih analitikal dan matang.

Sesi bual bicara tersebut dihadiri oleh pengunjung Kelah Buku serta diikuti secara langsung melalui media sosial DBP.
Penganjuran Kelah Buku@Putrajaya 2026 merupakan sebahagian daripada acara sastera menuju Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mei tahun ini.