Diterbitkan pada 17 Disember 2025, 10:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangkok – Dua penulis Malaysia, Sdr. Roslan Jomel dan Sdri. Hafizah Iszahanid menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award di Istana Sukhothai, Bangkok semalam.

Roslan Jomel, penulis kelahiran Sarawak menerima anugerah bagi tahun 2024, manakala Hafizah Iszahanid, penulis kelahiran Perak pula bagi tahun 2025. Majlis pengurniaan anugerah tersebut disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Puteri Srivannari Nariratana Rajakanya, Puteri Raja Thailand Maha Vajiralongkorn.

Kedua-dua penerima anugerah tersebut turut menerima wang tunai dan plak pengiktirafan daripada pihak penganjur sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam dunia penulisan.

SEA Write Award telah ditubuhkan oleh Kerajaan Thailand sejak tahun 1979 lagi bagi meraikan penulis-penulis terkemuka dari negara ASEAN.

Anugerah ini meliputi 10 negara anggota ASEAN, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand, Filipina, Kemboja, Laos, Myanmar, dan Vietnam.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat anugerah ini merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Roslan dan Hafizah atas pencapaian mereka yang gemilang ini.

Pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan kedua-dua penulis, malah turut mengangkat martabat sastera Malaysia pada peringkat serantau.

Roslan dan Hafizah telah berangkat ke Bangkok pada 15 Disember lalu, diiringi oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai.

Kredit Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi