Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIni padang kita!
padang yang dipusakai selama masa
sejak nenek moyang menyemai bakti
menanam budi – tegakkan tiang seri
hemah peribadi – bangsa dan jati diri;
zaman ke zaman kitalah mewarisi
dengan darah, keringat dan air mata
dari jerih perih sejarah dan titipan doa.
Di sinilah kita bertemu!
mengikat janji setia bersatu,
kita susunkan saf perjuangan
kita bina benteng persaudaraan;
di padang ini, tiap jejak adalah wasiat
jangan dibiarkan padang ini terlanyak
oleh musuh rakus dari luar terlaknat
atau khianat dari dalam bertopeng lewah
ingat! setiap garis itu sempadan maruah
setiap langkah itu memikul amanah!
Inilah padang pertemuan!
padang perjuangan sedari silam,
padang yang mengajar kita memerintah
erti sabar, erti setia, erti menang kalah
erti merdeka, erti bebas dalam megah.
Mari kita tegak teguh berdiri
dengan dada lapang berani
dengan suara bulat sepakat
julang panji-panji kesatuan umat!
Ini padang kita –
nadi nusa – bangsa tercinta,
tempat harapan dipertaruhkan
tempat jati diri dipeliharakan.
Selagi rumputnya hijau
selagi langitnya biru kemilau,
selagi jiwa kita kukuh berpadu –
padang ini akan kekal bertuah
medan keramat menyirat gagah!
Pertahankan! Pertahankan!
Pertahankan – padang kita!
Pattani–Kota Bharu
16 September 2025
