Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTulisan ini diubah suai daripada teks ucapan penghargaan Hafizah Iszahanid sempena pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2025 pada sidang media di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1 Disember 2025.
Saya tidak pernah bermimpi untuk memperoleh apa-apa pengiktirafan dalam sastera …
Jujurnya saya tidak pernah mengharapkan apa-apa dalam dunia penulisan kreatif. Ia bermula sebagai keinginan saya untuk meluah perasaan, pemikiran dan seterusnya pengalaman. Saya tidak pernah bermimpi untuk memperoleh pengiktirafan seperti SEA Write, saya hanya ingin menulis untuk berkongsi pandangan dan mencari bahagia sendiri.
Kebetulan saya bekerja dalam bidang kewartawanan, banyak cerita yang ingin saya sampaikan, tetapi ruang akhbar tentulah terhad. Justeru, ia diluahkan dalam bentuk karya kreatif.
Disebabkan ingin berkongsi pandangan, maka saya lebih selesa dengan prosa seperti novel dan cerpen kerana ia membolehkan saya menulis dengan panjang.
Sepanjang tempoh pembabitan dalam dunia penulisan sejak tahun 1993 hingga kini, sebahagian karya saya dibentuk oleh pengalaman dan pembacaan peribadi selain ada juga diinspirasikan oleh pengalaman kawan-kawan. Saya bertuah kerana Allah mentakdirkan rezeki dalam bidang kewartawanan. Saya belajar banyak perkara tentang hidup menerusinya dan bertemu dengan pelbagai ragam manusia, daripada orang biasa hinggalah politikus. Saya melalui asam garam mengenali sifat dan topeng yang dipakai oleh manusia menerusi dunia kewartawanan.
Di pejabat terutamanya pada waktu petang, saya dan kawan-kawan sepejabat akan mencuri ruang untuk minum kopi. Waktu itu bukan sekadar minum, tetapi selalunya medan untuk bertukar-tukar pengalaman, pandangan dan idea. Meja minum kami akan lebih riuh-rendah jika ada yang balik daripada tugasan yang jauh, misalnya dari medan perang, medan gempa atau tugasan-tugasan sulit dan khas.
Kami akan tekun mendengar cerita mereka berjam-jam, dan tentu saja pengalaman sebegitu tidak semuanya mampu diterbitkan dalam akhbar kerana ruang yang terhad. Tapi perkongsian kisah belakang tabir itu sebahagiannya melekat dalam akal saya. Ia kemudiannya menjelma sebagai sebahagian daripada fragmen fiksyen yang saya tangani.
Ada kala bukan sekadar di meja minum, kami sempat juga bertukar-tukar pandangan sewaktu membetulkan pakaian atau hiasan di tandas, atau sambil menunggu giliran mengambil wuduk di surau. Atau kadangkala di meja pejabat, sambil berjalan sempat saling menyinggah bertanya khabar atau bertukar cenderamata, terutama jika baru pulang dari luar negara.
Semua pengalaman dan perkongsian kawan-kawan ditambah dengan pengalaman dan pembacaan sendiri, menjadi sebahagian warna-warni hidup saya selama bertahun-tahun. Hal sebegitu yang menjadi kebanyakan inti prosa yang saya hasilkan kemudiannya.
Oleh itu, saya tidak pernah bermimpi untuk memperoleh apa-apa pengiktirafan dalam sastera, pada peringkat awal saya sangat tertekan apabila dihubungi oleh pihak DBP mengenai pengiktirafan SEA Write ini. Malah, saya mohon masa kepada sekretariat untuk menyerahkan apa-apa dokumen yang diperlukan.
Namun atas pandangan dan nasihat sahabat dekat, saya perlahan-lahan melihatnya sebagai hikmah, dan saya percaya hanya Allah saja yang tahu selebihnya.
Saya perlu ucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang mengajarkan saya membaca sejak usia kecil, kepada suami yang memahami saat saya berkurung diri menyiapkan karya berjam-jam lamanya dan kepada para sahabat pengarang yang begitu mempercayai saya, sewaktu saya pun tidak percaya pada diri sendiri. Selebihnya, Allah jua yang tahu perjalanan hidup ini yang penuh warna suka dan duka, saya menerima semuanya dengan sifat kekerdilan sebagai manusia.

_________________________
Hafizah Iszahanid berasar dari Chemor, Perak. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2025.