Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 26 November 2025, 12:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persidangan Kebangsaan Hikayat Panglima Nikosa: Novel Melayu Pertama Diketahui di Dunia yang mengetengahkan karya besar sastera dari Sarawak, Hikayat Panglima Nikosa membuka ruang dialog antara disiplin ilmu seperti bahasa, sejarah dan kesusasteraan.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai berkata, penganjurannya adalah untuk memperluas pemahaman masyarakat terhadap khazanah sastera tempatan yang kaya dengan nilai sejarah, budaya dan jati diri tempatan.

“Persidangan ini menjadi wadah penting bagi menggalakkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dengan institusi akademik, iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan pertubuhan seperti Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS),” katanya ketika berucap mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari pada Rabu di Wisma DBP.

“Melalui kerjasama strategik ini, DBP berharap agar lebih banyak teks sastera dapat digali, dikaji semula, diterbitkan dan diangkat sebagai wahana perdana di persada negara,” tambahnya lagi.

Menurut beliau, usaha ini amat signifikan kerana persuratan kebangsaan, termasuk Hikayat Panglima Nikosa merupakan sebahagian daripada sejarah bangsa yang harus diketengahkan sebagai dokumen tamadun, rekod pemikiran dan refleksi identiti masyarakat setempat.

Selain itu, beliau menzahirkan keyakinan bahawa persidangan ini bakal menjadi pencetus kepada penerokaan yang lebih meluas terhadap teks sastera Melayu Borneo, seterusnya mewujudkan rangkaian pakar penyelidik serta institusi yang beriltizam terhadap pemeliharaan khazanah budaya bangsa.

Kata beliau, usaha pemugaran persuratan kebangsaan di negara ini harus ditangani dengan pendekatan ilmiah yang menyeluruh dan berpaksikan penyelidikan agar karya klasik serta tradisi lisan terus hidup dalam wacana negara.

Beliau turut memaklumkan pihak DBP sentiasa menyokong usaha memartabatkan hikayat tempatan dan pemasyarakatannya kepada khalayak yang dilaksanakan oleh semua pihak, khususnya AKYBMS selama ini.

Sebagai rakan kerjasama dan penganjuran persidangan ini, beliau menyatakan bahawa DBP amat berbesar hati kerana inisiatif tersebut selaras dengan usaha pihaknya memelihara, memperkasakan dan memperluas penggunaan bahasa serta persuratan Melayu sebagai wahana ilmu, pemikiran dan tamadun bangsa.

Sementara itu, Persidangan Kebangsaan Hikayat Panglima Nikosa: Novel Melayu Pertama Diketahui di Dunia ini mengupas inti pati hikayat tersebut dari pelbagai perspektif seperti budaya, kemanusiaan dan sains sosial, bahasa dan sastera, serta potensinya untuk dicalonkan dalam Program Warisan Ingatan Dunia UNESCO.

Persidangan itu turut diserikan dengan kehadiran Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, YBhg. Dato’ Sri Haji Mohd Naroden Haji Majais; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS, YBrs. Profesor Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib dan Pengurus Besar AKYBMS, YBhg. Datu Dr. Haji Sanib Haji Said.

Hikayat Panglima Nikosa boleh dibeli di sini.

Kredit Foto: Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi