Diterbitkan pada 8 November 2025, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Faisal Tehrani menyoroti kembali semangat gemilang Kesultanan Melayu Melaka melalui novelnya, 1515, yang mengetengahkan versi alternatif sejarah bangsa Melayu-Islam dengan membayangkan kerajaan Melaka tidak jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, sebaliknya bangkit sebagai kerajaan Islam yang makmur dan berdaulat.

Menurut beliau, novel 1515 dipuji sebagai simbol penting kerana dapat mengangkat unsur sejarah, mitos, legenda, ilmu pelayaran, dan konflik kuasa, sekali gus membentuk naratif yang sarat dengan semangat perjuangan bangsa dan negeri Melaka.

“Saya mengubah haluan jalan cerita, menyingkirkan naratif sejarawan Barat dan menyorot kehebatan Melayu dalam novel ini.

“Saya cuba memaparkan kebijaksanaan, keberanian dan keagungan bangsa yang selama ini terselindung dalam lipatan sejarah,” jelas beliau.

Faisal turut menafikan bahawa novel 1515 bertujuan mempromosikan ketuanan Melayu, sebaliknya menekankan kehebatan dan keagungan Melayu dalam sejarah.

“Saya menekankan kehebatan Melayu dalam novel ini agar karya ini bukan sekadar milik pembaca Melayu, tetapi juga mampu memikat hati pembaca bukan Melayu, membiarkan mereka merasai keagungan, kebijaksanaan dan keunikan sejarah serta budaya bangsa,” ujar beliau.

Menerusi penceritaan dalam novel ini, Faisal menampilkan watak protagonis Nyemah Mulya, nama yang diilhamkan daripada arwah nenendanya sebagai srikandi berjiwa besar, berani, gigih, dan bijaksana dalam mempertahankan maruah serta kedaulatan Melaka.

Beliau turut menyifatkan bahawa 1515 hadir sebagai karya yang berani mencabar naratif rasmi sejarah kolonial, dengan menolak gambaran bangsa Melayu sebagai lemah dan tunduk, sebaliknya mengangkat martabatnya sebagai bangsa yang berilmu, berdaulat dan berjiwa perjuangan.

Baginya, novel ini merupakan suatu bentuk permainan sasterawi, yang menggabungkan unsur sejarah, mitos dan imaginasi lalu memberikan kesan simpang-siur cerita kepada pembaca.

“Saya menulis 1515 untuk mengajak pembaca menelusuri lapisan sejarah dengan mata hati, sambil memujuk mereka menilai sejarah rasmi atau menggali versi yang tersirat.

“Melalui naratif alternatif ini, pembaca dapat menyaksikan kehebatan, keberanian dan kebijaksanaan Melayu-Islam, sambil diingatkan bahawa sejarah bukan sekadar fakta yang diterima begitu sahaja, tetapi juga kisah yang boleh direnungi, dihayati dan dipersoalkan,” ujar beliau lagi.

Program yang bertemakan “Sastera Garda Depan” ini telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya baru-baru ini.

Program ini membawa khalayak pembaca menelusuri gagasan sastera kontemporari, selain menyingkap pertembungan sejarah, kuasa dan kreativiti dalam usaha membina wacana serta meneguhkan identiti bangsa.

Antara peserta yang turt hadir dalam program Telaah 1515.
Kredit Foto: Muhammad Haziq Noor Affandi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi