Diterbitkan pada 30 Jun 2025, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebuah cerpen tulisan pengarang mapan, Faisal Tehrani, “Cik Siti Mustika” tersiar dalam portal dalam talian, Granta pada bulan Mei 2025.

Cerpen yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh disiarkan dengan judul “Miss Siti Mustika”.

Cerpen itu yang tersiar dalam majalah URTV isu Ogos 2002 memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobile (kini sudah tiada) sebelum menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2002/2003.

Granta ialah sebuah jurnal sastera berbahasa Inggeris yang boleh diakses dalam talian, cenderung menyiarkan pelbagai genre sastera berkualiti tinggi.

Selain cerpen, Granta turut menyiarkan esei, memoir dan sesekali puisi.

Jurnal sastera ini dimulakan oleh sekumpulan mahasiswa Universiti Cambrige pada tahun 1889 sebelum terhenti. Granta kembali dihidupkan semula sekitar tahun 1978.

Faisal dalam statusnya di laman Facebook sekitar Mei lalu yang mengulas siaran cerpen itu, menzahirkan kegembiraan atas penyiarannya sesudah dua dekad cerpen berkenaan diterbitkan buat kali pertama.

Sebelum ini, beberapa karya penulis Malaysia pernah terbit di Granta, antaranya termasuk Tan Twan Eng dan Tash Aw. Namun kedua-duanya menulis dalam bahasa Inggeris, manakala seorang lagi penulis Malaysia, Ho Sok Fong juga pernah terbit di Granta. Cerpen Sok Fong, “Lake Like a Mirror” ialah terjemahan daripada bahasa Mandarin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi