Diterbitkan pada 8 November 2025, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nordin Saad menitipkan belasungkawa buat tokoh penulis negeri Perlis Allahyarham Rejab F.I. dan sumbangan besarnya dalam dunia penulisan.

Sebahagian besar karyanya berlatarkan masyarakat desa yang sarat dengan pelbagai masalah yang hanya mampu disantuni oleh penulis yang sudah tentunya mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan golongan ini …

Keprihatinan Rejab F.I. terhadap isu berkaitan bahasa, ekonomi, bangsa, dan negara turut menjadi pilihan pengkaryanya, selain bertemakan keluarga. Hal ini terbukti dengan penghasilan karya prosa bertajuk Dialog Pahlawan (DBP, 1995), yang menemukan para pahlawan negara (terdapat lapan bab atau lapan cerpen) untuk berbicara tentang situasi tertentu yang berlaku dari semasa ke semasa di tanah air. Sudah tentulah bicara para pahlawan ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat kita sekarang yang sering kali alpa dengan pelbagai cabaran yang mampu menggugat perpaduan dan keutuhan jati diri bangsa.

Melalui “dialog-dialog” dalam Dialog Pahlawan ini, Rejab memunculkan semula watak pahlawan seperti Hang Tuah, Tun Fatimah, Tok Janggut, Datuk Maharaja Lela, Panglima Hitam, dan Datuk Bahaman dalam era kehidupan pada zaman moden sekarang. Misalnya, dalam “Dialog Pahlawan 5”, pahlawan-pahlawan ini berbincang atau berdialog tentang perbezaan fahaman politik yang menyebabkan masyarakat berpecah belah.

“Dialog Pahlawan 6” pula, pahlawan-pahlawan ini membicarakan sikap masyarakat yang lebih mementingkan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Dialog Pahlawan 7” turut menggambarkan watak-wataknya berbicara tentang perpecahan masyarakat dan kaedah yang sesuai untuk menyatukannya kembali. Manakala dalam “Dialog Pahlawan 8”, para pahlawan tersebut berbicara tentang kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Sebenarnya, keakraban Rejab dengan pelbagai karenah dan peristiwa yang berlaku dalam masyarakat, khususnya masyarakat petani telah berjaya menguatkan lagi kemampuannya sebagai seorang penulis yang menulis tentang kisah masyarakat. Hal ini ternyata apabila sebahagian besar karyanya berlatarkan masyarakat desa yang sarat dengan pelbagai masalah yang hanya mampu disantuni oleh penulis yang sudah tentunya mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan golongan ini.

Kemampuan dan kejayaan Rejab dalam penulisan pelbagai genre ini menyebabkan namanya bukan lagi suatu nama asing dalam dunia penulisan tanah air. Malah, di negeri Perlis, namanya cukup dikenali sebagai penulis serta penggiat sastera dan budaya. Popularitinya seolah-olah menenggelamkan nama penulis-penulis Perlis lain yang tidak kurang hebat dan seangkatan dengannya, seperti Nahmar Jamil (Allahyarham), Abdul Ahmad (Allahyarham), Mokhtar AK, Mastono, Pawana, dan Nazel Hashim Mohamad. Sehinggakan kemunculan penulis golongan pertengahan dan penulis muda di negeri Perlis seperti Mustafa Ahmad, Ridzuan Kamis, Solihin Osman, dan Shahkang juga bagaikan masih dibayangi dengan nama Rejab F.I. apabila membicarakan tentang penulis Perlis.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa nama Rejab juga begitu sinonim dengan nama Persatuan Penulis Perlis (3P) yang diasaskan penubuhannya oleh Rejab sendiri pada tahun 1964 bersama-sama Mokhtar AK, Nahmar Jamil, Pawana, dan beberapa orang lagi. Beliau turut mengetuai persatuan ini selama hampir 30 tahun sebelum mengundur diri pada tahun 2004, setelah mendapat tekanan daripada beberapa ahli jawatankuasanya sendiri. Namun begitu, namanya sehingga kini masih dikaitkan dengan 3P, sehingga ada yang menyangka beliau masih lagi memimpin persatuan yang amat disayanginya itu.

Hal ini sudah tentulah tidak menghairankan kerana Rejab terlalu banyak menyumbangkan masa dan tenaganya semasa memimpin persatuan tersebut. Sehinggakan muncul kata-kata usikan atau gurauan dalam kalangan rakan, “Rejab itu 3P dan 3P itulah Rejab.” Namun begitu, Rejab tidak pernah mempedulikan kata-kata ini dan menganggapnya sebagai gurauan semata-mata. Baginya, 3P bukan harta yang boleh dimiliki seorang diri, sebaliknya 3P ialah milik setiap ahlinya. Malah, masyarakat juga berhak melihat dan menilai segala aktiviti persatuan itu yang ditubuhkan untuk menyatukan penulis dan memperjuangkan sastera dan budaya warisan bangsa. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian ahli jawatankuasa 3P yang terpengaruh dengan usikan ini sehingga memberi tekanan untuk menggugat kepimpinannya. Rejab turut menganggotai Ahli Jawatankuasa Kerja GAPENA selama dua penggal (2000 – 2004) tatkala mengetuai 3P.

Sepanjang mengetuai 3P, pelbagai kegiatan telah dijalankannya, terutama untuk mengangkat martabat sastera dan budaya di negeri Perlis. Antaranya, termasuklah mengujudkan Anugerah Tokoh Budaya 3P, kajian tokoh dan kesenian tradisional Perlis, seperti Awang Batil, selampit, hadrah, berendoi, terinai, dan canggung. Selain itu, beliau turut menganjurkan bengkel penulisan serta pelbagai pendedahan lain untuk melahirkan golongan penulis pelapis, di samping mendekatkan masyarakat dengan sastera dan budaya.

Setelah mengundur diri daripada mengetuai 3P pada tahun 2004, Rejab tidak pernah melahirkan kekecewaan atau putus asa dengan dunia penulisan, termasuk perjuangannya untuk memartabatkan sastera dan budaya bangsanya. Lebih-lebih lagi, kepimpinan 3P yang mengambil alih jawatan daripadanya bagaikan “memadamkan jasa dan pengorbanannya” bertahun-tahun dalam persatuan tersebut. Hal ini menyebabkan Rejab yang turut memegang jawatan Naib Yang Di-Pertua, Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS), meneruskan usahanya dalam memperjuangkan sastera dan budaya melalui Biro Sastera dan Budaya persatuan tersebut. Pelbagai kegiatan telah dijalankannya. Antaranya, menguruskan penerbitan antologi puisi Payung Negara yang mengumpulkan karya para penulis yang berasal atau bermastautin di negeri Perlis, termasuk A. Ghafar Bahari, Rahman Shaari, A. Rahim Abdullah, Ridzuan Kamis, Solihin Osman, Roslan Bidin, Shukri Abdullah, Jimadie Shah Othman, A. Hamid Halim, Mokhtar AK, Amylia Hussein, dan Saleha Ahmad (Allahyarham).

Rejab F.I. bersama-sama isteri, Puan Fatimah Taha ketika menghadiri majlis penyampaian SEA Write Award di Bangkok, Thailand.

Di samping itu, beliau turut menganjurkan beberapa siri bicara karya dan bengkel penulisan, selain mewujudkan perpustakaan mini untuk mengumpul buku karya penulis Perlis di bangunan persatuan tersebut.

Pada tahun 2005, beliau turut terpilih sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan berjaya menghasilkan Memoir Seribu Riak di Pantai Usia (ITBM, 2013). Terbaharu, kumpulan cerpen Papaverine (DBP, 2015) yang merupakan himpunan cerpen terbaiknya, diterbitkan semula dalam Edisi Karya Malar Segar Penerima SEA Write Award.

Sumbangan besar Rejab terhadap pembinaan, perkembangan dan pengekalan sastera dan budaya di negara kita, khususnya di negeri Perlis, telah mendapat pelbagai pengiktirafan. Antaranya termasuklah anugerah Tokoh Penulis Perlis 2001, Tokoh Budaya GAPENA 2008, Tokoh Guru Negeri Perlis 2011, dan Tokoh Bahasa dan Sastera Perlis 2013.

Pemergiannya meninggalkan legasi sastera dan budaya yang amat berharga buat generasi bangsa. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan roh orang-orang yang beriman. Amin!

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

_________________________

Nordin Saad tinggal di Beseri, Perlis. Beliau banyak menghasilkan cerpen selain amat aktif dalam penulisan sastera remaja. Antara karyanya termasuk kumpulan puisi remaja Bercakap dengan Kucing (ITBM, 2014), kumpulan cerpen Bihun Goreng Berkuah Laksa (ITBM, 2015) dan Perempuan dalam Ombak (ITBM). Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Jun 2016.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi