Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangUbud – Penulis prolifik, Dr. Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani mengakui tidak akan menulis memoir sebaliknya menuangkan segala trauma dan pengalaman peribadi ke dalam penulisan fiksyen.
Menurut Faisal, karya terjemahan terbaharu beliau, The Prau with the Silent Soul turut diinspirasikan daripada pengamatan sebagai seorang anak dan peristiwa sekeliling.
“Negara saya tidak selalu mahu menjadi jujur dengan trauma dan konflik. Contohnya ketika peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei, kita tidak betul-betul tahu apa yang berlaku.
“Begitu juga dengan ayah saya yang telinganya putus. Namun apabila saya bertanya mengapa telinganya putus, beliau akan jawab kerana digigit tikus.
“Sedangkan telinganya jadi begitu kerana ledakan bom ketika Perang Dunia Kedua. Seolah-olah trauma digigit tikus adalah lebih baik daripada trauma perang,” katanya.
Oleh itu, beliau enggan menulis memoir yang menuntut kejujuran, sebaliknya memilih penulisan fiksyen sebagai ruang untuk berkongsi kisah peribadi dengan cara tersendiri.
Faisal ditemui semasa program “Love in a Time of Conflict” di Festival Pembaca dan Penulis Ubud (UWRF) 2025, baru-baru ini.
Selain beliau, program tersebut turut menampilkan panelis penulis Turki, Ayşegül Savaş serta pemenang International Booker 2024, Jenny Erpenbeck.
Mengulas lanjut mengenai The Prau with the Silent Soul yang diterjemahkan daripada novel asal Bedar Sukma Bisu, Faisal berkata, pemilihan watak yang menjalinkan hubungan cinta berbeza usia diinspirasikan daripada adat dan budaya Minangkabau di sebelah ibunya.
“Kalau pembaca membaca kebanyakan tulisan saya, mereka akan mendapati banyak watak berkahwin dan bercinta dengan berbeza usia. Saya datang daripada budaya Minangkabau di mana peranan wanita sangat kuat.
“Kekaguman saya melihat ibu dan nenek saya menguruskan rumah tangga membuatkan saya meletakkan watak wanita lebih berusia lebih dominan untuk berkuasa memimpin.
“Cuma pernah ibu saya berjenaka, jangan tulis lagi cerita seperti ini kerana ia mungkin menghantar isyarat yang salah kepada kawan-kawan saya,” katanya berseloroh.
Sehubungan itu, Pemenang Anugerah Seni Negara 2006 itu turut menyatakan tanggungjawabnya untuk memperkenalkan kearifan bangsa Melayu melalui penulisan.
“Pada awalnya, saya mahu menulis novel ini dengan pendekatan saga di mana keluarga karakter utama mengusahakan ladang getah.
“Tetapi kemudian, saya menukarnya kepada pelayaran kerana di situ sahaja saya berpeluang memasukkan kearifan lokal di mana orang Melayu mengamalkan tiga A, iaitu akomodasi, adaptasi dan juga akulturasi.
“Jadi, apabila mereka melihat kapal berlayar di pantai mereka, mereka meminjam ciri-ciri daripada Pinisi Bugis, Jongkang China dan kelebihan Dau Arab. Mereka satukan semua menjadi kapal yang dipanggil bedar atau perahu.
“Jadi, hanya dengan laut sahaja saya dapat membayangkan bahawa hal ini dapat mencerminkan kearifan lokal,” katanya.
Terdahulu, Bedar Sukma Bisu diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2007 selepas memenangi Hadiah Utama Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP.
Bedar Sukma Bisu turut memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007.
Novel tersebut diterjemahkan kali pertama oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada 2009 sebelum diterbitkan semula oleh Penguin Random House SEA dengan judul The Prau with the Silent Soul.