Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNordin Saad menitipkan belasungkawa buat tokoh penulis negeri Perlis Allahyarham Rejab F.I. dan sumbangan besarnya dalam dunia penulisan.
Allahyarham Rejab F.I. merupakan salah seorang penulis yang mempunyai kelebihan tersendiri apabila mampu dan berjaya menghasilkan karya dalam hampir semua genre karya sastera.
Ranah sastera tanah air kehilangan seorang penulis yang begitu disegani dan dikenali ramai kerana kemampuannya menghasilkan pelbagai genre karya sastera. Rejab Ismail atau lebih dikenali sebagai Rejab F.I., penerima SEA Write Award (Malaysia) 2016 ini menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 3.58 pagi, 30 September 2025, di kediamannya di Tanjong Gorah, Repoh, Perlis. Allahyarham Rejab yang berusia 84 tahun, meninggalkan isteri, iaitu Puan Fatimah Taha dan tiga orang anak lelaki, Ronifira, Rustam Afendi dan Rizal Irwandi.
Allahyarham Rejab F.I. merupakan salah seorang penulis yang mempunyai kelebihan tersendiri apabila mampu dan berjaya menghasilkan karya dalam hampir semua genre karya sastera. Antara genre sastera yang menjadi pilihannya untuk berkarya termasuklah cerpen, sajak, novel, puisi tradisional, drama pentas, drama radio, drama televisyen, cerita rakyat, dan rencana.
Bagi Rejab, penghasilan karya dalam pelbagai genre sastera ini merupakan satu cabaran kepadanya sebagai seorang penulis yang tidak mahu tertumpu hanya pada satu atau dua genre karya sahaja. Malah, dengan penghasilan karya dalam pelbagai genre ini membolehkannya mencuba sesuatu yang baharu dan dapat mempelajari selok-belok penulisan genre karya yang berbeza, sekali gus menambahkan pengetahuan dan meluaskan ilmu kepengarangannya.
Menghasilkan pelbagai genre karya sastera juga bukan bermakna seseorang penulis itu tidak dapat menumpukan pada suatu genre penulisan tertentu sahaja. Walaupun ada kalangan yang berpendapat bahawa penumpuan terhadap sesuatu genre itu akan menghasilkan karya yang baik atau lebih bermutu, namun, kebolehan, kemampuan dan kesungguhan seseorang itu yang berbeza antara satu sama lain mungkin menjadi faktor untuk mengatasi pandangan tersebut.
Menariknya, terdapat banyak karya Rejab yang berjaya memenangi anugerah, termasuk Hadiah Sastera Nasional (1971 dan 1972), Hadiah Sastera Esso-GAPENA (1985) dan Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1994, 1995, 1996, 1997, dan 1999). Malah, beberapa buah karyanya juga turut terpilih sebagai teks KOMSAS dan teks Kesusasteraan Melayu. Terbaharu, novelnya Sejambak Bakti telah dipilih sebagai teks KOMSAS untuk Tingkatan Satu bagi para pelajar di negeri Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Johor. Beberapa buah puisi dan cerpennya juga telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain seperti Rusia, Mandarin dan Inggeris.
Kemampuan Rejab ini menjadikannya sebagai seorang penulis yang memiliki kebolehan dan kesungguhan yang mungkin jarang-jarang dimiliki oleh orang lain. Sepanjang penglibatannya dalam bidang penulisan selama lebih setengah abad, Rejab berjaya menghasilkan 135 judul buku.
Buku-buku yang dihasilkan itu termasuklah 45 buah novel (kanak-kanak, remaja dan dewasa), 23 antologi cerpen (termasuk kumpulan cerpen) dan empat buah kumpulan puisi, di samping judul-judul buku yang lain.
Rejab turut menghasilkan 15 drama televisyen, 20 drama radio dan empat drama pentas, di samping sejumlah lebih 200 buah cerpen dan lebih 400 buah puisinya tersiar dalam pelbagai penerbitan tanah air.
Sebenarnya, laluan pesara guru yang mudah diajak berbicara dan amat merendah diri ini dalam bidang penulisan, tidaklah mudah. Rejab yang kehilangan ibu, iaitu Yah binti Saman sejak kecil lagi itu dibesarkan dalam serba kekurangan oleh ayahnya, Ismail bin Salleh di kampung kelahirannya, Kampung Bongkok, Padang Lati, Perlis. Tanggungjawabnya sebagai penggembala lembu setelah pulang dari sekolah banyak memberikan pengalaman hidup di kampung kepadanya.

Walau bagaimanapun, keupayaannya menduduki Darjah Tujuh atau Darjah Enam Khas telah membolehkan Rejab mengubah nasibnya apabila Rejab diterima sebagai seorang guru. Bermula dari situlah Rejab berusaha mempertingkat kelulusan akademiknya dengan mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran pada tahun 1961. Seterusnya beliau menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran (1975). Semua peperiksaan tersebut didudukinya sebagai calon persendirian. Seterusnya, Rejab yang begitu mencintai ilmu ini, berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera setelah mengikuti Pengajian Luar Kampus, Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1980.
Meneliti liku-liku yang diharungi oleh Rejab dalam bidang penulisan ini ternyata begitu menarik. Minatnya bermula pada tahun 1960 setelah beliau berpeluang membaca buku sastera karya beberapa orang Indonesia di sekolah tempatnya mengajar. Antaranya, termasuk buku karya Hamka, Abdul Moeis, Sutan Takdir Alisyahbana, Pramoedya Ananta Toer, Achdiat K. Mihardja.
Setelah karya beberapa orang penulis tempatan seperti A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Usman Awang, Keris Mas, Ahmad Boestamam, dan beberapa penulis lain turut diterbitkan, Rejab terus merebut peluang ini untuk membacanya. Rejab menjadikan karya-karya penulis tempatan ini bukan sahaja sebagai bahan bacaan, sebaliknya buku-buku ini juga dijadikan panduan untuknya berkarya. Malah, cita-cita dan usahanya untuk menjadi seorang penulis mulai menampakkan sinarnya apabila karya pertamanya berupa sebuah cerpen berjudul “Kisah di Sinar Bulan” telah disiarkan dalam akhbar Utusan Filem dan Sports terbitan 30 Ogos 1960. Kemudian, diikuti dengan penyiaran puisi pertamanya dalam Warta Mingguan bertajuk “Untuk Perwira”.
Komputernya yang tidak dapat digunakan lagi, tidak pernah dibuangnya …
Setelah kejayaannya menghasilkan cerpen dan puisi pertama yang tersiar itu, Rejab tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau meneruskan perjuangannya dalam bidang penulisan ini dengan menghasilkan lebih banyak karya. Ketika itu, Rejab menggunakan mesin taip yang dipinjamnya daripada Kelab Sinaran Pemuda yang dianggotainya sehinggalah beliau mampu membeli mesin taipnya sendiri yang dibayar secara ansuran.
Menariknya, Rejab masih menyimpan sehingga kini mesin taip pertamanya dan beberapa buah mesin taip lama yang pernah digunakannya sepanjang melibatkan diri dalam bidang penulisan ini, sehinggalah beliau menukarnya kepada penggunaan komputer. Malah, komputernya yang tidak dapat digunakan lagi, tidak pernah dibuangnya. Sebaliknya, Rejab menyimpan komputer tersebut sebagai “dokumentasi penulisannya”.
Sebagai penulis yang akrab dengan kehidupan di kampung, Rejab memanfaatkan pengalaman yang diperolehnya ke dalam karya-karya yang dihasilkannya. Pengalaman itu diadun pula dengan pengalamannya setelah bertugas sebagai seorang guru. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika karya-karya yang dihasilkannya itu menjurus ke arah hidup bermasyarakat yang harmoni dan bersatu padu, selain memberikan nasihat dan pengajaran kepada khalayak pembaca untuk melakukan kebaikan.

Melalui cerpen “Hadiah Hari Guru” (antologi Sehijau Warna Daun) misalnya, Rejab menggambarkan watak seorang pelajar yang kurang mampu, tetapi menyimpan hasrat untuk memberikan hadiah kepada guru yang disayanginya, sempena sambutan hari guru sebagaimana yang dilakukan oleh rakan-rakannya yang lain. Kemiskinan hidup keluarganya menyebabkan pelajar tersebut tidak mampu menyediakan hadiah yang lebih berharga atau kelihatan cantik seperti rakan-rakannya. Pelajar tersebut hanya mampu menghadiahkan ulam pucuk gajus kepada gurunya itu. Namun begitu, guru tersebut amat menghargainya kerana keikhlasan dan kejujuran pelajarnya itu.
Rejab juga merupakan seorang yang begitu menyayangi dan mencintai warisan budaya bangsanya. Hal ini ternyata dengan penghasilan karya-karyanya yang bertujuan untuk memperkenalkan dan mendedahkan kewujudan warisan tersebut kepada masyarakat, khususnya generasi muda, di samping sebagai satu usahanya untuk mempertahankan warisan tersebut agar tidak hilang ditelan masa. Antaranya, menerusi cerpennya “Monolog Awang Batil” dan buku cerita rakyat, Pertaruhan Wang Emas (DBP,1982).
Selain menghasilkan buku cerita rakyat, Rejab turut menulis Siri Nilam Kasturi (Tempo Publishing, 1994) yang memuatkan sepuluh cerita legenda, iaitu Budi Sang Kancil, Katak Sakti, Nasib Sang Buaya, Bakat Perwira, Puteri Santubong, Batu Belah Batu Bertangkup, Bawang Putih Bawang Merah, Putera Gunung Kinabalu, Mahsuri Lagenda Langkawi, dan Pahlawan Indera Kayangan, di samping antologi cerita rakyat, Penghulu Alang Gagah (DBP, 1985).
Rejab yang merupakan Naib Yang Dipertua 1, Majlis Kebudayaan Negeri Perlis (1994 – 2014) juga turut terlibat dalam usaha mencungkil dan memelihara kesenian tradisional Perlis seperti hadrah, gendang terinai, alu bunyi, berendoi, beduan, awang batil, dan canggung.
Rejab bukan sahaja menterjemah sikap sayang dan cintanya kepada warisan bangsanya melalui kajian dan penulisan karya kreatifnya sahaja, malah beliau turut menulis hasil kajiannya untuk dijadikan sebagai bahan dokumentasi. Hal ini terbukti dengan penghasilan buku Intisari Kesenian Tradisional Negeri Perlis’ (PPANPs, 2002) dan Sejarah dan Perkembangan Terinai Perlis (JKKNPs, 2003).
Beliau turut menghasilkan buku kajian kesenian dan kebudayaan Selampit dan Biografi Tokoh Budaya Negeri Perlis. Di samping itu, beliau juga menjalankan penyelidikan sejarah Tok Arau, Kota Indera Kayangan, Kampung Bunga Emas, Kampung Wang Kelian, dan Makam Tok Perlis. Salah sebuah kajian sejarah tersebut, iaitu sejarah Tok Arau telah diabadikannya dalam novel sejarah Peneroka Desa Permai (DBP, 1992).
Nama Rejab juga turut meniti di bibir peminat drama televisyen sekitar tahun 1982 dan 1983 apabila salah sebuah dramanya berjudul Titian Rapuh disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui slot dramanya di TV1. Drama yang bertemakan keluarga ini dianggap sebagai sebuah drama terbaiknya yang mengisahkan sikap anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Ceritanya begitu berkesan dan menyentuh perasaan apabila ayah (ibu sudah meninggal) yang agak berharta itu tidak dipedulikan oleh anak-anaknya, meninggal dunia. Dua orang anaknya pulang untuk menuntut dan membahagikan harta pusaka. Namun begitu, ayahnya telah pun mewakafkan semua hartanya kepada anak-anak yatim. Harta yang ditinggalkan untuk dua orang anaknya itu hanyalah sehelai kain buruk, pinggan pecah, Quran, dan surat wasiat.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
_________________________
Nordin Saad tinggal di Beseri, Perlis. Beliau banyak menghasilkan cerpen selain amat aktif dalam penulisan sastera remaja. Antara karyanya termasuk kumpulan puisi remaja Bercakap dengan Kucing (ITBM, 2014), kumpulan cerpen Bihun Goreng Berkuah Laksa (ITBM, 2015) dan Perempuan dalam Ombak (ITBM). Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Jun 2016.