Diterbitkan pada 2 Oktober 2025, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

suatu kelak: di terminal akhir manusia
mungkin lautan itu terhampar gebu
permaidani corak indah untuk kalian

kapal itu, luncur dengan semangat
barangkali sebuah kendera tatah permata
bawa kalian ke hadrat Pencipta

layar bukan lagi menyongsong angin
tapi karung gedang berisi pahala
berbondong sebagai dalil kepada Tuhan

langit terang Mediterranean
amat mendamba jadi lembayung rahmatmu
memayungi jiwa-jiwa cekal saat teruji

ikan dan lelumba tak mahu terkecuali
berebut-rebut jadi saksi ukhrawi
kumpulan insan berhati waja besi

malam gelap; sembunyi perwira Sumud
nanti di sana, sinar benderang
menyuluh setiap diri dan budi

percayalah dengan yakin, taulan
seluruh nafas kaukerahkan saat ini
ialah bayu menghembusmu ke syurgawi

Kredit Foto: Global Sumud Flotilla
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi