Diterbitkan pada 13 September 2025, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam sebuah bengkel penulisan novel yang dihadiri oleh Ismail Hashim, beliau menyedari ada suatu kecenderungan sehala yang dihasilkan oleh penulis pemula sekarang. Beliau menyampaikan beberapa teguran dan nasihat.

Bagi mana-mana penulisan prosa kreatif, jalan ceritanya hendaklah tidak terlalu klise …

Penulis pemula perlu tahu kehendak asas genre yang ingin ditulis, bukan sekadar menaburkan fakta-fakta yang lebih bersifat diari kehidupan bagi membolehkan olahan jalan cerita yang ingin disampaikan lebih menarik dan berkesan di hati pembaca.

Dalam sebuah bengkel yang saya dihadiri baru-baru ini, ada pembentangan yang dilakukan oleh beberapa penulis pemula di hadapan editor dan pembimbing bengkel. Dalam pembentangan itu, nampak jelas bahawa setiap penulis pemula mempunyai asas cerita tetapi kebenyakannya lebih kepada diari sebuah perjalanan yang dilengkapi dengan “gambar-gambar”. Malah, saya merasakan seperti karya mereka lebih kepada penulisan sebuah travelog biasa, dan bukannya jalan cerita sebuah novel.

Baik dalam penulisan novel atau cerpen, fakta-fakta yang dijalinkan hanyalah bersifat fiksyen. Dalam genre tersebut, pengolahan turutan ceritanya perlu mempunyai jalan cerita yang mempunyai watak-watak tertentu yang bertujuan untuk membangunkan jalan cerita (menggerakkan cerita) serta konflik (memberikan cabaran kepada watak protagonis). Hal ini dapat menghidupkan jalan cerita dan menjadikan “menarik” untuk dibaca.

Selalu diingatkan agar dalam mana-mana penulisan prosa kreatif, jalan ceritanya hendaklah tidak terlalu klise. Dalam hal ini, tema dan plot seeloknya terhindar daripada mengulang tema dan plot yang pernah ditimbulkan, kerana hal ini mendorongkan pembaca untuk meneka tepat pengakhiran sebuah cerita.

Jadikanlah jalan cerita kita perjalanan cerita yang tidak mendatar. Contohnya seperti catatan dalam sebuah diari, catatannya perlu melalui proses-proses tertentu, seperti permulaan, pertengahan dan pengakhiran. Watak-watak yang dihidupkan perlu mempunyai “peranan”yang tertentu (antagonis atau protaganis), yang dihiasai dengan konflik dan psikologi dalaman yang tertentu, bagi tujuan menarik perhatian pembaca hingga kesudahan jalan cerita.

Kita kerap mendengar bahawa kerja menulis itu bukanlah kerja yang mudah …

Sasterawan Negara A. Samad Said dalam Dari Salina ke Langit Petang (DBP,1979) pernah menyatakan bahawa penulis tidak lahir secara mendadak. Menurutnya, ada penulis yang mula menulis didorongkan daripada buku yang dibacanya. Menerusi pembacaan itu akan membantu seseorang untuk membentuk stail dan lenggok ayat dalam karya yang sedang ditulis nanti.

Deskripsi tempat dalam sesebuah karya juga perlu diambil kira. Penulis pemula perlu banyak membaca dan meniliti bahan yang dibaca. A. Samad Said mengingatkan yang penulis mapan yang kurang membaca akan dikalahkan oleh penulis yang lebih muda daripadanya kerana kelebihan mereka membaca dan menelaahnya.

Bagi mengelakkan bahan yang tulis kelihatan klise, A. Samad memilih novel-novel yang ditulis oekh para penulis yang bukunya jarang-jarang dibaca orang. Hal ini dapat membantu kalangan penulis pemula untuk mendapatkan cerita yang lebih baharu.

Selain itu, cerita yang dipetik daripada pengalaman sendiri dan disuntik dengan imaginasi sendiri boleh dijadikan karya yang berkesan untuk tatapan pembaca. Hal ini boleh dijadikan sebagai sumber asas yang digunakan oleh penulis pemula untuk membina jalan cerita yang tersendiri ke dalam sebuah novel.

Menulis novel untuk terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka misalnya, kita perlu mematuhi garis panduannya. Kita diperingatkan agar tidak menyentuh perkara yang sensitif, terutamanya yang berkaitan dengan perpaduan kaum, pembunuhan, remaja yang berkahwin muda, dan hal-hal dekaden dan bimoral yang boleh memesongkan fikiran para pembaca. Setiap karya yang ingin ditulis perlu diperhalusi temanya agar tidak menyinggung mana-mana pihak.

Kita kerap mendengar bahawa kerja menulis itu bukanlah kerja yang mudah. Saya ingin mengulang saranan A. Samad Said yang menggalakkan penulis pemula untuk banyak-banyak membaca buku yang ditulis oleh para pengarang yang tersohor.

Mungkin kecenderungan Sasterawan Negara ini sewaktu membaca boleh dipelajari oleh penulis pemula: beliau secara disiplin menyalin semula bahagian-bahagian teks yang menarik hatinya, terutamanya bahagian pemerian atau pewarnaan tempat, watak dan keadaan.

Menurutnya, disiplin tersebut amat membantunya ketika berkarya: olahan cerita tersebut akan kelihatan lebih hidup melalui perincian yang lebih khusus. Hal ini juga membantunya menulis perkara-perkara yang kecil sedekat-dekatnya dengan mata penanya.

Novel The Bridge of River Kwai misalnya, mendorongnya untuk menulis Sungai Mengalir Lesu, walaupun terdapat beberapa babak dalam novel itu merupakan pengalaman yang disaksikan sendiri oleh A. Samad sewaktu kecil, menghadapi Perang Dunia Kedua dan pendudukan askar Jepun di Singapura.

Begitu juga dengan kepiluan yang dirasakannya dalam The Bramble Bush dan Love Story, mendorongnya untuk menulis Langit Petang. Menurutnya lagi, sesebuah karya merupakan bayangan karya penulis lain, baik secara sedar mahupun tidak. Karya orang lain juga boleh dijadikan sebagai lintasan ilham kepada penulis itu sendiri.

Begitulah ruang dan peluang yang terbuka kepada penulis pemula melalui pembacaan, agar mereka dapat menghasilkan karya yang lebih bertenaga daripada para penulis mapan sekarang.

______________________________

Ismail Hashim ialah penulis bebas dari Negeri Sembilan. Beliau menulis novel, cerpen, puisi, dan drama radio.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi