Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSingapura – Penganjuran Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2025 bersempena dengan sidang ke-29 Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) menjadi pentas pertemuan para sarjana, penulis dan penyelidik dari rantau Asia Tenggara untuk bertukar pandangan, idea dan hasil penyelidikan mereka.
Seminar yang berlangsung selama dua hari bermula pada 9 hingga 10 September 2025 di Bangunan Perpustakaan Negara, Singapura, mengetengahkan tema “Sastera Global Selatan: Ke Arah Mensejagat Kemanusiaan”.
Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr. Abdul Halim Ali dalam pembentangannya berkata, semua pihak harus melihat sastera itu sebagai satu produk yang harus diperkenalkan dan dijual.
Menurut beliau, teori-teori sastera yang dijana oleh sarjana Malaysia memang sesuai digunakan sebagai kerangka kerja untuk dijadikan landasan mengkritik teks.
“Jika teks itu berasaskan nilai-nilai yang sifatnya sejagat yang boleh diguna, difahami oleh khalayak ramai, teori-teori ini boleh menjadi landasan itu,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Mengantarabangsakan Teori-teori Sastera Malaysia”.
Hal tersebut turut diakui oleh pensyarah Program Bahasa, Linguistik dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains, Universiti Brunei Darussalam, Dr. Ena Herni Wasli yang menegaskan bahawa cerita rakyat Brunei tidak hanya bersifat tempatan tetapi membawa nilai-nilai sejagat yang selari dengan naratif dunia selatan.
“Menariknya, cerita Brunei memang sebenarnya membawakan tema-tema sejagat, sama juga seperti di Global Selatan,” ujar beliau dalam pembentangan kertas kerjanya bertajuk “Cerita Lisan Brunei sebagai Naratif Global Selatan: Menjambatani Warisan dan Wawasan melalui Pedagogi Persembahan”.
Beliau menambah bahawa melalui wadah persembahan dan pengajaran dari konteks pendidikan, tema sejagat memang sangat penting agar generasi sekarang mengetahuinya sebagai tradisi warisan negara yang perlu dikembangkan.
Sementara itu, Sasterawan Sarawak ke-6, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi melalui kertas kerjanya bertajuk “Hakikat Global Selatan dan Keberadaan Persuratan Melayu: Peranan Sasterawan dan Prakarsa Kerajaan” berkata, genre sastera khususnya novel yang dikarang oleh novelis terkenal Global Selatan, terutamanya dari Latin Amerika dan Asia Selatan, jelas memperlihatkan faktor yang menyumbang pada kemasyhuran dan keluasan penyebarannya.
Faktor tersebut adalah seperti persekitaran kesusasteraannya yang kondusif, kemunculan penulis yang hebat, penulis yang berkarya dalam bahasa Inggeris, peningkatan jumlah pembaca karya bahasa Inggeris dan karya yang bernilai sastera, serta seni yang berkualiti.
Seminar kali ini membawa lima subtema utama, iaitu “Sastera, Nasionalisme dan Pasca-Kolonialisme”, “Global Selatan dan Gerakan Sastera Dunia”, “Sastera sebagai Gerakan Intelektual dan Kultural”, “Sastera, Identiti dan Keadilan Sosial”, dan “Evolusi Naratif dan Tradisi Sastera” sebagai fokus wacana.