Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJakarta – Program Penulisan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang bertemakan genre puisi bagi tahun 2025 menjadi medan pertemuan penulis dari Malaysia, iaitu Sdri. Qurratul ‘Ain dan Sdr. Karim Mohd bersama-sama 20 penulis dari Indonesia dan tiga penulis dari Negara Brunei Darussalam.
Menerusi program ini yang berlangsung di The Sultan Hotel & Residence, Jakarta, Indonesia dari 1 September hingga 5 September 2025, para penulis berpeluang untuk mencipta karya yang mampu membawakan kesegaran dan keragaman gaya, di samping memperkukuh jaringan sosial sesama penulis antara negara serantau.
Selama lima hari, kemahiran dan idea penulisan mereka dikembangkan dalam beberapa sesi melalui kepakaran dan pengalaman barisan pembimbing yang dilantik, iaitu Sdr. Zaen Kasturi (Malaysia), Sdr. Agus R. Sarjono (Indonesia), Sdr. Cecep Syamsul Hari (Indonesia), Sdri. Nenden Lilis A. (Indonesia), dan Tuan Awangku Mohd Noor Sham (Brunei Darussalam).
Sesi bimbingan tersebut membuka ruang untuk para penulis mengangkat kembali tradisi perpuisian yang berakar dalam budaya dan karya puisi mereka serta menggalakkan mereka menulis tentang adat dan budaya setempat.
Turut dikongsikan dalam sesi bimbingan ialah penegasan tentang penulisan puisi yang berkesan, iaitu pemilihan imej atau pencitraan, logik imej dengan bahasa, imaginasi dan keaslian ungkapan.
Dalam program yang sama, beberapa penulis dipilih untuk mewakili negara masing-masing bagi membacakan puisi di Panggung W.S. Rendra yang merupakan acara kemuncak pada 3 September 2025.