Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNik Mohd Hafiz Abdullah menyelongkar kepuisian penyair muda Khoo Phau Liang yang penuh renungan dan inti kematangan.
Walaupun pada satu takah bahasa Khoo Phau Liang menjadikan puisinya seakan-akan puisi remaja, perhatikan juga pemikiran matang yang Saudara Khoo ketengahkan.
Dalam Kritikan Karya Sastera: Keindahan Ragam-ragam Bahasa, Lutfi Abas menyatakan bahawa “Perkembangan sastera menuju ke arah kesempurnaan keindahan daripada satu ragam bahasa kepada kepelbagaian ragam.” Tambah Lutfi Abas lagi, kepelbagaian ragam ini perlu dibuat dalam keseimbangan yang baik.
Dalam hal ini, melalui sajak-sajak Manusia yang Diikat Jamin Tuhan, Khoo Phau Liang menggunakan identiti beliau untuk mengarang dalam sekurang-kurangnya dua ragam bahasa, iaitu bahasa puisi dan bahasa kolokial. Dalam kerangka pascamodenisme ini, gaya bahasa Saudara Khoo perlu diberi lebih perhatian.
Pascamodenisme merentang sebuah padang datar baharu untuk para karyawan. Teori respons pembaca (reader-response theory) yang mula dikenalkan pada zaman ini, memberikan lesen bebas kepada khalayak pembaca untuk menilai sendiri setiap karya penulis. Mana Sikana dalam Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme menulis, “Dalam bacaan terjadi harapan-harapan dan andaian-andaian yang menyebabkan bacaannya menjadi aktif dan dinamik.”
Dalam satu sesi langsung Facebook Dewan Sastera yang dikemudikan oleh Fadli al-Akiti, penulis tertarik dengan pencerahan beliau berkenaan kata-kata Sheikh al-Hasan Ibnu al-Haytham tentang peranan pembaca, “it is to render visible that which writing suggests in hints and shadows”. Pencerahan daripada Saudara Fadli menjelaskan lagi peranan pembaca dalam menghidupkan sesuatu karya sastera.
Penulis suka mengaitkan apa-apa yang dibuat oleh Khoo Phau Liang dengan sajak-sajak dalam Manusia yang Diikat Jamin Tuhan seperti teknik breaking the fourth wall dalam filem. Stanley Kubrick, pengarah filem, bijak menggunakan teknik ini dalam filem The Shining melalui lakonan mantap Jack Nicholson. Sebagaimana teknik tersebut yang dikatakan ramai pengkritik filem sebagai satu cara watak berkomunikasi dengan penonton, maka penggunaan bahasa komunikasi dalam sajak Saudara Khoo juga boleh memberi kesan sama kepada pembaca.
Khoo Phau Liang, dengan bahasa bersahaja beliau, seperti mempermudah laluan pembaca untuk sama-sama bergiat aktif mendinamikkan sajak-sajak Manusia yang Diikat Jamin Tuhan. Saudara Khoo seakan-akan menjemput para pembaca dengan bahasa beliau untuk sama-sama berinteraksi melalui sajak. Walaupun pada satu takah bahasa Khoo Phau Liang menjadikan puisinya seakan-akan puisi remaja, perhatikan juga pemikiran matang yang Saudara Khoo ketengahkan. Hakikat ini menjadikan Manusia yang Diikat Jamin Tuhan satu manuskrip yang menyingkap Khoo Phau Liang sebagai seorang penyair matang di sebalik diri beliau yang kelihatan bersahaja dan tidak mengambil berat.
Khoo Phau Liang juga banyak menekankan unsur moralistik dalam Manusia yang Diikat Jamin Tuhan. Unsur-unsur moralistik itu “diserahkan” secara polisemi, kepada imejan yang harian dan biasa dilihat oleh pembaca. Penggunaan imejan ini, secara langsung menjadikan sajak-sajak Manusia yang Diikat Jamin Tuhan tidak terlalu menghukum atau judgemental. Maka, sajak-sajak beliau dilihat sesuai secara pedagogi, satu lagi karakter karya pascamodenisme. Hal ini bersesuaian dengan latar belakang Saudara Khoo sebagai seorang pendidik (satu lagi sisi biografikal).
Saudara Khoo seakan-akan menjemput para pembaca dengan bahasa beliau untuk sama-sama berinteraksi melalui sajak …
Konsep Fragmentasi dalam Kerangka Pascamodenisme
Selain teori respons pembaca, sajak-sajak Manusia yang Diikat Jamin Tuhan juga dilihat akur dengan idea fragmentasi, satu lagi karakter utama sajak pascamodenisme. Khoo Phau Liang bijak mengambil cebis-cebis mikro pengalaman hidup lalu seterusnya memakrokannya ke dalam acuan yang lebih mudah dihadam oleh pembaca. Sekali lagi, teknik ini mudah disempurnakan kerana bahasa bersahaja yang beliau gunakan.
Seterusnya, konsep fragmentasi dalam kerangka pascamodenisme ini penulis kembangkan untuk menjawab satu persoalan, “Bolehkah puisi mempunyai plot twist?”
Kita pasti maklum, plot twist atau “putar balik plot”, hanya berlaku dalam pengolahan suatu cerita. Lebih panjang cerita, maka lebih banyak putar balik plot yang boleh diolah. Oleh sebab itu, unsur putar balik plot sesuai untuk filem dan juga prosa panjang seperti novel, mungkin sedikit dalam cerpen. Putar balik plot dalam puisi mungkin boleh diperdebatkan tentang kesesuaiannya, kerana puisi terlalu singkat untuk melengkapkan sebuah cerita.
Namun begitu, konsep fragmentasi dalam teori pascamodenisme boleh membantu merungkaikan persoalan putar balik plot dalam puisi. Tanpa kita sedari, mungkin juga sudah lama puisi kita didedahkan dengan putar balik plot. Putar balik plot ini bukan hanya melibatkan plot atau jalan cerita, seperti contoh puisi “bunga” di bawah:
……….aku beruntung
……….masih dapat berdiri mekar
……….di akhir musim
……….antara kita
……….berapa ramai yang
……….patah dalam remaja
……….keharuman apabila
……….pudar seluruhnya,
……….mengerekotlah badan
……….seperti bangkai
……….aku doakan, moga-moga
……….kau juga dipeluk dengan
……….cinta yang sederhana
Malah, termasuk juga mengubah emosi pembaca, seperti puisi “emak, aku ingin tahu”:
……….emak, aku ingin tahu:
……….apa perasaan pokok rambutan
……….ketika kupetik buahnya yang merah
……….untuk dimakan?
……….ketika kuselak daunnya,
………………..adakah ia berasa takut?
……….ketika kurarik tangkainya,
………………..adakah ia berasa sakit?
……….ketika kukopek buahnya,
………………..adakah ia berasa marah?
……….emak, aku ingin tahu:
……….adakah pokok rambutan akan suka
……….kalau nanti benihnya membesar
……….di luar rumah kita?
Perhatikan pula sajak “kopi” yang mengubah latar masa:
……….kopi yang paling kaw
……….pun patut beringat selalu
……….di dalam cawan
……….waktu ditatang orang,
……….kalau terlalu penuh
……….susahlah
……….nak mengimbangi diri
……….sekali ter-
……………………..tumpah ke baju
……….seminggu digosok
……….pun masih dijeling,
……….menjadi tompok yang menjengkelkan
Selain itu, terdapat juga puisi yang boleh mengubah latar tempat, contohnya puisi “bulan”:
……….kita melihat bulan yang sama
……….tetapi aku takkan pernah tahu
……….siapa yang mengambang di hatimu
……….di perigi
……….purnama cuma helah Cahaya
……….dingin, cair, selalu mengelak
……….ketika aku cuba menimba
……….bulan telah mengelilingi dunia
……….sepanjang aku menunggu
……….matamu tiba

Tambahan lagi, teknik intertekstual dan tipa induk juga boleh memberikan sensasi plot twist pada puisi. Teknik-teknik ini dapat mengubah sempadan pemikiran sama ada secara intelektual, emosi dan patriotik.
Secara iktibar, penulis ingin membawa renungan pembaca budiman sekalian pada gambaran yang lebih besar. Sastera pernah melihat keindahan dari kaca mata formalis-strukturalis. Pada zaman itu, belum ada idea-idea modenis dan pascamodenis. Sastera ketika itu ingin menyebarkan keindahan kepada semua, kerana bahasa itu milik semua orang dan keindahan bahasa sepatutnya dapat dirasai oleh semua orang.
Kedatangan zaman pascamoden menyaksikan realiti sastera yang amat berbeza. Seniman, karyawan dan artis pada zaman ini lebih suka menyebarkan seni mereka dalam kelompok sendiri, kelompok yang boleh memahami. Mereka mengisyaratkan kebersamaan melalui hasil seni mereka, seperti berkata, “Kalau kamu faham seni kami, kamu boleh sertai kami.”
Satu perkara yang perlu kita ingat, pada zaman formalis-strukturalis, pascamodenis belum terbentuk. Akan tetapi, pada zaman pascamodenis, pasti masih ada ramai formalis-strukturalis. Percampuran ini pasti membawa kepada pergaulan dan pertentangan. Inilah semangat zaman yang tak mungkin kita dapat elakkan. Terbaharu, kita bakal menghadapi zaman metamodenisme. Kesatuan dalam sastera merupakan satu-satu cara untuk kita terus bergerak ke hadapan.
Pengaruh penyair lama datang daripada Robert Frost, Chekov, dan Pushkin. Pengaruh penyair baharu datang daripada Sartre, Camus dan Derrida. Orang baharu terpesona melihat karya Andy Warhol dan mereka lihat seni itu diterjemahkan dalam wayang gambar ala-ala Wes Anderson dan Wong Kar Wai. Orang lama berair mata dengan perang dan kedukaan, orang baharu berair mata dengan penceritaan dan pertemuan. Jangan kita lihat perbezaan. Bukankah kita sama-sama berair mata?
Rujukan
Arena Wati, 1965. Asas Pengetahuan Puisi. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.
Hashim Awang, 1988. Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hawthorn, Jeremy, 1997. Studying The Novel: An Introduction. London: Arnold.
Jefferson, Ann dan Robey, David, 1988. Teori Kesusasteraan Moden. Diterjemah oleh Mokhtar Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lutfi Abas, 1995. Kritikan Karya Sastera: Keindahan Ragam-ragam Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mana Sikana, 1986. Kritikan Sastera: Pendekatan dan Kaedah. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Mana Sikana, 1998. Kritikan Sastera Moden: Teori dan Pendekatan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Mana Sikana, 1998. Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Baca Bahagian Pertama Refleksi |
Kumpulan puisi Manusia yang Diikat Jamin Tuhan boleh dibeli di sini.
_________________________
Nik Mohd Hafiz Abdullah baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan cerpen dan puisi. Beberapa buah karyanya pernah tersiar dalam pelbagai media. Kini bertugas sebagai juruteknik kardiovaskular di Hospital Pakar KPJ Perdana, Kelantan.