Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Negeri Kedah 2025 yang berlangsung meriah pada 19 Julai 2025 di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda menyaksikan detik manis buat Muhammad Syaiful Amir Che Saad apabila beliau muncul sebagai johan menerusi puisi bertajuk “Wujud Yang Menipis“.
Pada peringkat akhir, beliau berjaya menewaskan 10 peserta lain dari seluruh negeri Kedah dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.00 berserta sijil dan cenderamata.
Dalam ucapan ringkasnya selepas diumumkan sebagai johan, Muhammad Syaiful Amir berkata, kemenangan ini bukan sekadar pencapaian peribadinya, tetapi sebagai tanda bahawa puisi medium perjuangan yang masih relevan dan mampu membentuk suara masyarakat.
“Saya dedikasikan kemenangan ini kepada semua pencinta puisi yang percaya bahawa kata-kata punya kuasa menggerakkan bangsa,” katanya.
Naib johan disandang oleh M. Shahadat Ali Nordin melalui puisinya “Rumah Ini Rumah Kita” dan membawa pulang RM700.00.
Seterusnya, tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Ridzuan Sarkun dengan karya “Pustaka Tanah Leluhur” dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.00.
Tiga hadiah sagu hati bernilai RM200.00 setiap satu telah diberikan kepada Ridzuan Zainal Abidin (puisi “Wajah Bonda”), Mohd Aidil Firdaus Mohd Sok (puisi “Potret Silam di Muzium Bangsa”) dan Mohammad Afif Ikhwan Saiful Harizal (puisi “Demi Kecintaan”).
Hadiah telah disampaikan oleh Penolong Pengarah DBP Wilayah Utara (DBPWU), Encik Mohd Hadi Roslan yang turut menekankan pentingnya program seperti ini dalam memperkukuh semangat cinta tanah air melalui penghayatan seni sastera.
Pertandingan anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) bersama-sama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan DBPWU ini merupakan platform tahunan yang bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme melalui puisi dan deklamasi berbahasa kebangsaan.
Acara ini turut memberi ruang kepada semua deklamator di negeri Kedah yang berpotensi untuk tampil memperdengarkan deklamasi mereka kepada khalayak yang lebih luas.