Diterbitkan pada 21 Julai 2025, 12:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Angka terakhir siang, luruh
dilupakan

mungkin yang itu, tujuh
sebab, gelap itu delapan

pada puisi,
segala akan lewat dan pergi

ingatan, meski yang nipis
akan sejenak melintas

terhenti sekejap,
kadang lengkap

misal, bisik cinta tetap indah
meski, suara itu pada noktah

mawar, sepuluh tahun dulu
seakan-akan, tidak layu

kurenung, hidup ini peristiwa
gerak, bunyi, dan warna

berselisih dengan dua tema
sahaja,

silih-silih, rasa bahagia
atau tidak bahagia

lain, sebagai luka, rawan
luluh-lantak

semua itu pengisian
melankolia, atau romantik

tetapi, hujung, lebih selesai
sebagai rekah-bekah, kecai berai

semua itu, kuterima tanpa
menyoal

apa yang tiada, maka tiada
yang tidak hilang, akan tinggal

yang merah, yang biru
serta kelabu

sebahagian itu
indah, sebahagian menusuk kalbu

jauh malam nanti
aku ingin sekali, bermimpi

ada kekasih mengujar janji,
“percayalah, aku tak akan pergi”

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi