Diterbitkan pada 21 Julai 2025, 12:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jangan Mengikutiku, Aku pun
Sedang Mencari Jalan
……………– Friedrich Nietzsche

di tepi jalan, kabus dan lampu kota
diam tak berkata apa-apa

berselerak selirat jalan
dalam hidup ini

ah, seperti falsafah, memberikan
soalan, hujung bercapah-capah erti

jalan lebih gelap, membengkang
ke bangunan, hilang di belakang

hidup ini banyak sampah, anjing
di celah-celah industrialisasi

selebihnya, bising
kabaret, trompet ke jam tiga pagi

di depan sana, papan tanda
buta makna, tak ditafsir apa-apa

malam, sebenar menjadi
tembok tua, grafiti

jika dicari,
apa-apa erti

semua makna
berpusar, balik pada diri semula

pelabuhan, jauh ke sana
sesekali peluit, stesen kereta api

atau ke cottage, sayup desa
bunga dilupakan senja, matahari

adakah hidup ini,
sekadar pergi?

lurus, berkeluk,
atau bengkang-bengkok

semua itu ada erti
di celah-celah falsafah, puisi

sains, sejarah, katolik
semua itu ada simbolik

kuperhati, negro di ujung tikungan
bergitar, nyanyi

itu sepi, sebahagian
simpang diri

barangkali, sejenak henti
belum dapat pergi

ke depan lagi,
di mana Tuhan menanti

manusia selalu teringatkan
Tuhan

ketika retak, pecah hati
ketika kelam malam, dingin dinihari

di tepi jalan, kabus dan lampu kota
diam tak berkata apa-apa

suram, samar
bersilih rasa bahagia, juga cemar

rasa dosa
tak lesai-lesai, entah sejak bila

berikan padaku, jawapan
mengapa ketika luluh, remuk

baru kita menyebut, Tuhan
mengapa tidak ketika sibuk

tetapi Tuhan telah mati
dibunuh, di celah-celah neon, wiski

jangan mengikutiku,
aku pun sedang mencari jalan

dari kalang-kabut, haru-biru
luluh-lantak, serpih-berbih kehidupan

sebenar, aku masih percaya
Tuhan masih ada

pada falsafah,
Tuhan bukan sampah

setepat-tepat, pada halaman berapa
Tuhan masih di sana?

di tepi jalan, kabus dan lampu kota
diam tak berkata apa-apa

Kredit Foto: Tore Odiin/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi