Diterbitkan pada 21 Julai 2025, 12:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pompeii, aku tersungkur
selalu kubayangkan, pada Caesar
begitu, kata-kata akhir

dari lantai marmar
warna merah mengalir

tiga patah kata
et tu, Brutus”, mungkin sahaja
bertanda soal, atau koma

hujungnya, tetap darah
tetap noktah

selebihnya, sia-sia
tak bernyawa

Pompeii itu,
batu
lebih kekal lama di situ

lebih tahan daripada empayar,
wahai Caesar

impian, perang, istana
gundik, mahkota
gelas anggur, zaitun
emas perak yang kautimbun

semua itu
luluh-lantak, menjadi debu

Sejarah, cukup pintar
untuk belajar
tiga patah kata itu
kekal, disimpan dalam buku
sekalipun, berdebu

cuma aku tidak ingat
pada halaman berapa, tercatat

tiga patah kata
yang selalu ada
selagi Politik itu ada

yang tabah itu dekad,
abad
menunggu-nunggu,
tak jemu-jemu

untuk menyaksi
makna dan isi
kata-kata itu berulang lagi

Kredit Foto: Pauline Bernfeld/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi