Diterbitkan pada 21 Julai 2025, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman berjaya mengekalkan kejuaraannya buat kali kedua apabila dinobatkan sebagai johan dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-39 Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 semalam, bertempat di Dewan Permata Camar.

Beliau yang mendeklamasikan sajak berjudul “Merah Bunga Darah Merah” karya Istajib Mokhtar bakal mewakili negeri Pahang ke SDPK ke-39 Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada pertengahan bulan Ogos.

Dengan kejuaraan tersebut, Amirull Afiqq berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.00, piala pusingan, piala iringan, sijil, dan hadiah iringan.

Sementara itu, Mariani Ali Imran yang mendeklamasikan sajak berjudul “Wujud yang Menipis” karya Mohd Ghazali Taib pula menggondol naib johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM700.00, piala iringan, sijil, dan hadiah iringan.

Pendatang baharu dalam SDPK yang pertama kali menyertai sayembara, Puteri Dayana Farida Baharuddin, berjaya memenangi tempat ketiga dengan mendeklamasikan sajak “Pembawa Pesan Penyair” karya Zainal Rashid Ahmad, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500.00, piala iringan, sijil, dan hadiah iringan.

Selain itu, hadiah sagu hati berupa wang tunai RM200.00, sijil dan hadiah iringan menjadi milik Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid dengan sajak “Cinta Murni” karya Ahmad Sarju, Norazrah Azri dengan sajak “Menjulang Bahtera Madani” karya Mohd Radzi Haji Abdul Hamid dan Rabiatul Adawiyah Rosli dengan sajak “Naluri Pewaris Bangsa” karya Zainal Mohd Jais.

Sayembara ini merupakan anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Menurut Presiden DPMP, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah, sebanyak 21 peserta telah bertanding tahun ini semasa saringan awal dan 10 peserta terbaik dipilih oleh para juri untuk dinilai semasa peringkat akhir.

“Terdapat juga penyertaan daripada peserta berbangsa Cina yang berjaya menunjukkan persembahan deklamasi yang amat baik,” katanya.

Majlis Perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan, selaku wakil rasmi kepada Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Seri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Musazliza Mustan Shir; Pengarah SDPK ke-39 Peringkat Negeri Pahang 2025, YBrs. Tuan Haji Nordin Haji Mat Salleh; dan Pengarah SDPK ke-39 Peringkat Kebangsaan 2025 merangkap Setiausaha Agung GAPENA, YBrs. Encik Azmi Ismail.

Kredit Foto: Wan Hanif Wan Hamid
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi