Diterbitkan pada 15 Julai 2025, 08:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nik Mohd Hafiz Abdullah menyelongkar kepuisian penyair muda Khoo Phau Liang yang penuh renungan dan inti kematangan.

Maka, sangat bertepatan untuk dikatakan bahawa Khoo Phau Liang banyak mengambil inspirasi dari tempat tumpah darah beliau.

Kumpulan puisi Manusia yang Diikat Jamin Tuhan (Kata-Pilar, 2024) oleh Khoo Phau Liang merupakan inisiatif yang terhasil daripada Projek Buku Debut Kata-Pilar Books. Satu perkara yang menarik tentang buku terbitan Kata-Pilar ialah ilustrasi kulitnya yang menawan perhatian. Sekali lalu, pelanggan pasti cenderung untuk melihat, memegang dan juga membelek buku-buku terbitan mereka. Hal ini menunjukkan peri penting penjenamaan dari segi reka letak dan citra melariskan jualan buku.

Khoo Phau Liang berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Beliau mengambil jurusan Bahasa Melayu Pendidikan Rendah di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim dan kini menjadi guru, mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa, Jerteh, Terengganu.

Selain mengajar, beliau turut menulis dan menterjemah pada waktu lapang. Khoo Phau Liang mula menulis puisi secara swaterbit pada tahun 2018, kemudian dalam media akhbar dan majalah. Puisi dan esei reaksi beliau pernah terbit dalam zine Tukang Puisi, akhir Berita Harian, Mingguan Malaysia, SelangorKini, majalah Dewan Siswa, Dewan Masyarakat, dan Dewan Sastera. Zine puisi beliau, Insomnia Belum Terjawab pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Penghasilan Zine Puisi Kelantan 2021. Puisi beliau, “Menyalakan Lilin Sebelum Tidur” turut memenangi Hadiah Sastera Kelantan (Eceran) 2023.

Siapakah “Manusia yang Diikat Jamin Tuhan”?

Kumpulan puisi Manusia yang Diikat Jamin Tuhan boleh dikaji dari sisi biologikal/historikal. Puisi-puisi Phau Liang sarat dengan imej dari tanah asal beliau. Latar belakang seseorang penyair boleh menjadi sumber inspirasi bagi menulis sajak. Hal ini terdalil seawal puisi pertama dalam kumpulan puisi ini, iaitu “Rumah”:

……….siapakah yang lebih bertuah
……….daripada kita
……….sebelum lahir ke dunia lagi
……….sudah disiapkan sebuah rumah?

……….aku malu kerana tangisanku pecah
……….di dalam buaian hayun;
……….kalaulah dapat kudengar sekali sendu
……….di dalam album sejarah
……….izinkan aku memeluknya, membelakangi waktu

……….berapakah harga sebongkah batu
……….untuk mendirikan mahligai impian,
……….keringat mutiara yang menitis dan basah
……….hanya uban di kepala yang mengira

……….kini rumah sudah siap tetapi
……….tinggal aku, dan keluarga yang bertambah
……….suasana lebih sepi kerana
……….tukang binanya sudah tiada

.………maka sudah kukatakan berkali-kali
……….rumah ini
……….bukan trofi pusingan

……….mengapa masih ada
……….yang bersorak di pintu
……….tetapi enggan masuk ke dalam?

Jika diteliti, sejumlah lapan sajak pertama dalam kumpulan puisi ini berinspirasikan latar belakang tanah kelahiran Khoo Phau Liang, iaitu Tanah Merah. Hal ini termasuk rumah beliau, ibu, Puan Chu Kwee Eng, pengalaman membesar, telaga, dan bapa saudara beliau sendiri.

Selain itu, penulis amat tertarik dengan satu imej yang diguna berulang kali dalam kumpulan puisi ini. Imej itu ialah bukit atau tanah tinggi. Sajak-sajak yang menterjemah citra bukit dalam kumpulan ini tampil dalam “menjadi matahari”, “mencari matahari”, “pohon-pohon di puncak”, dan ‘bukit’.

Dalam hal ini, mari perhatikan sajak “Menjadi Hujan” yang berikut:

……….tatkala langit
……….melahirkan
……….mereka pun mendarat
……….berdetak-detak, penuh semangat

……….terburu-buru,
……….setiap satunya mencari
……….bunga, rumput, batu, kasut
……….digilap sekilat-kilatnya

……….kemudian mengalir senang
……….riuh-riuh
……….lalu hilang

.………hayat ini, bertuah
……….kalau menjadi titis air hujan,
……….hingga akhir tetap
……….mengingati hala hidup sendiri

Walaupun sajak tersebut tidak menyebut kata ‘bukit’, tetapi penulis membayangkan Phau Liang mendapat ilham setelah merenung kejadian bukit itu sebagai tadahan hujan. Dengan adanya bukit, hujan tidak turun laju ke bumi tetapi meresap ke dalam tanah bukit, lalu beransur-ansur turun dan dalam laluan turun itu, bertemu bunga, rumput, batu, dan kasut.

Perbuatan merenung kejadian bukit ini terdalil sekali lagi dalam sajak “Pelangi” dengan baris yang berbunyi “setelah lenguh mendongak”. Sama ada beliau mendongak ke arah awan atau bukit, hal itu terpulang pada interpretasi pembaca. Namun begitu, penulis lebih memilih yang penyair mendongak, merenung kejadian bukit.

Mengapa bukit? Kerana Tanah Merah berlatarbelakangkan pemandangan bukit-bukau.

Maka, sangat bertepatan untuk dikatakan bahawa Khoo Phau Liang banyak mengambil inspirasi dari tempat tumpah darah beliau. Penulis yang mencetus ilham daripada latar belakang sendiri (atau dikenali sebagai penulis biografikal), disebut oleh Mana Sikana dalam buku beliau, Kritikan Sastera: Pendekatan dan Kaedah, “sesebuah karya sastera tidak lahir kosong begitu sahaja, kerana tentunya faktor-faktor seperti sosial, politik, ekonomi dan sebagainya akan mempengaruhi penulisnya.”

Walau bagaimanapun, satu perkara menarik yang ingin penulis singgung tentang kumpulan puisi ini, walau bersifat biografikal, imej-imej yang Khoo Phau Liang gunakan juga bersifat historikal.

Kebanyakan puisi biografikal kerana terkait dengan zaman puisi-puisi tersebut ditulis, maka cenderung juga bersifat historikal. Namun begitu, penulis dapati, banyak puisi dalam Manusia yang Diikat Jamin Tuhan, imej yang digunakan segar merentas zaman. Hal ini mungkin kerana imej-imej yang digunakan sangat biasa dan harian, membolehkan imej-imej itu mudah digubah.

Pada hemat penulis, kumpulan puisi ini merupakan jelmaan hati dan perasaan Khoo Phau Liang yang terbina hasil daripada renungan sepanjang kehidupan diri beliau. Pada takah itu, beliau berusaha untuk menterjemah kehidupan sendiri – disandarkan dengan segala pengalaman membesar – sebagai, “Manusia yang Diikat Jamin Tuhan”.

Bahasa Puisi Khoo Phau Liang

Keadaan ini menyebabkan bahasa sajak-sajak tersebut lebih bersahaja dan terus kepada mesej, tanpa mengambil cakna pada bunga bahasa …

Dari sisi linguistik, sajak-sajak dalam Manusia yang Diikat Jamin Tuhan mengadunkan bahasa puisi dengan bahasa kolokial/komunikasi. Oleh sebab pembaca puisi sudah terbiasa dengan bahasa puisi ketika membaca puisi, maka pengolahan bahasa kolokial dalam Manusia yang Diikat Jamin Tuhan pasti kedengaran agak janggal. Di sinilah terletak keunikan kumpulan ini, malah menjadi identiti kepuisian pengarangnya.

Roman Jacobson, seorang pakar sastera dan linguistik, menekankan penggunaan fungsi puitis untuk membezakan bahasa puisi dengan bahasa komunikasi. Penggunaan fungsi puitis, juga ada didapati dalam bahasa komunikasi (sebagai contoh, retorik dalam syarahan), tetapi fungsi puitis dalam puisi menjadi tumpuan utama atau dominan, dan bukan lagi sekadar aksesori bahasa. Teori ini sangat popular pada zaman formalisme-strukturalisme dan menjadi rujukan bagi para karyawan pada waktu tersebut, iaitu sekitar era 1920-an hingga 1940-an.

Fungsi puitis yang dimaksudkan oleh Jacobson kurang dominan dalam Manusia yang Diikat Jamin Tuhan. Keadaan ini menyebabkan bahasa sajak-sajak tersebut lebih bersahaja dan terus kepada mesej, tanpa mengambil cakna pada bunga bahasa, atau lebih dikenali sebagai alat sastera.

Persoalannya, adakah hakikat ini mengurangkan kepuitisan Manusia yang Diikat Jamin Tuhan?

Baca Bahagian Kedua Refleksi |

Kumpulan puisi Manusia yang Diikat Jamin Tuhan boleh dibeli di sini.

_________________________

Nik Mohd Hafiz Abdullah baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan cerpen dan puisi. Beberapa buah karyanya pernah tersiar dalam pelbagai media. Kini bertugas sebagai juruteknik kardiovaskular di Hospital Pakar KPJ Perdana, Kelantan.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi