Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBukit Kiara – “Wajah Bonda” karya Azmi Ismail yang dideklamasikan oleh Qaseh Umairah Maswesi Ahmad dari Sekolah Seni Kuala Lumpur dinobatkan sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-sekolah Malaysia (SDPKSM) Peringkat Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan Putrajaya 2025 .
Beliau berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM300, Piala Pusingan Mohd Khair Ngadiron yang julung-julung kalinya diperkenalkan.
Qaseh Umairah turut menerima piala iringan dan buku terbitan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) di bawah Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI.
Kemenangan Qaseh Umairah sekali gus melayakkan beliau untuk beraksi di pentas SDPKSM Peringkat Kebangsaan 2025 yang dijadualkan berlangsung di Melaka pada 15 Ogos 2025.
Naib johan, Muhamad Zafri Zamri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa, mempertaruhkan puisi “Potret Silam Di Muzium Bangsa” karya Sani La Bise.
Tempat ketiga pula dirangkul oleh Adeeb Haikal Muhamad Asri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tasik, dengan puisinya yang bertajuk “Pelataran Jagat” karya Akmal Aizat Abdul Aziz.
Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM200 dan RM100 berserta piala iringan dan buku terbitan PENA.
Sementara itu, dua pemenang sagu hati, iaitu Aidy Badri Mohd Bakri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Zon R1 Wangsa Maju dan Wan Iman Iskandar Dato’ Wan Jusaini dari Sekolah Menengah Sains Selangor membawa pulang wang tunai RM50 berserta piala iringan dan buku terbitan PENA.
SDPKSM Peringkat WP Kuala Lumpur dan Putrajaya ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), PENA dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP).
Acara ini telah berlangsung di Auditorium BSTP, Persiaran Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pada 10 Julai 2025 dengan pelibatan seramai 10 orang peserta yang bertanding di peringkat akhir sayembara.
Majlis penutup sayembara ini telah disempurnakan oleh Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, YBrs. Encik Mohd Khair Ngadiron yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.