Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Penyair dan cerpenis Kelantan, Abdullah Awang telah kembali ke rahmatullah pada tengah hari Jumaat bersamaan 20 Jun 2025, dipercayai akibat komplikasi jantung yang dialaminya sejak tiga tahun lalu.
Menurut saudara terdekatnya, Jaafar Mamat, penulis yang muncul dalam era 1970-an itu menghembuskan nafas terakhir di samping keluarga tercinta di Hospital Pasir Mas pada usia kira-kira 70 tahun.
“Sebelum itu, dia (Allahyarham Abdullah) dibawa ke hospital selepas mendapati keadaan kesihatannya menurun dan semakin lemah.
“Difahamkan, dia mengalami masalah jantung sejak tiga tahun lalu,” katanya yang juga Imam Masjid Mukim Chical Tinggi, Pasir Mas semasa dihubungi.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Mukim Binjal, Pasir Mas, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Binjal kira-kira pukul 11.00 malam pada hari yang sama.
Sepanjang pelibatannya dalam dunia penulisan selama lebih 50 tahun, Abdullah anak kelahiran Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan itu menulis dalam pelbagai genre kesusasteraan, khususnya rencana, puisi, cerpen, dan novel
Allahyarham telah menghasilkan lebih 35 buah buku secara bersama dan persendirian dalam pelbagai genre sastera peringkat nasional dan antarabangsa.
Novel kanak-kanak/remaja beliau, Dua Haluan (DBP, 1982) pernah terpilih sebagai novel Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan Satu selama 15 tahun.
Manakala naskhah novelnya yang berjudul Rahsia Lubuk Menangis (DBP, 1993) pernah terpilih untuk projek Talking Book, penerbitan buku khas untuk pelajar cacat penglihatan.
Allahyarham juga pernah diangkat sebagai Karyawan Bulan Ini dalam majalah sastera nasional, Dewan Sastera.
Sementara itu, rakan seangkatannya, Sarji Kasim memberitahu, beberapa bulan sebelum ini, Abdullah ditimpa musibah kemalangan jalan raya, bagaimanapun keadaannya telah beransur pulih walaupun kelihatan sedikit lemah.
“Kalau tak silap, kali terakhir saya jumpa dia sebulan yang lalu. Sempat bertanya khabar fasal kesihatannya selepas peristiwa kemalangan itu. Tetapi saya tidak tahu dia ada masalah kesihatan lain.
“Tidak sangka itu menjadi pertemuan terakhir saya dengan dia,” katanya terkejut sebaik menerima berita sedih pemergian Abdullah buat selama-lamanya.
Dia berkata, Abdullah merupakan antara seorang penulis veteran yang besar sumbangannya kepada dunia sastera tanah air, khususnya di negeri Kelantan.
Katanya, selain menulis, Allahyarham juga turut aktif melibatkan diri dalam persatuan misalnya, Persatuan Penyair Malaysia Cawangan Kelantan sebagai pejuang yang berusaha memperkasakan perkembangan puisi dan sastera tanah air.