Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Warisan sastera yang ditinggalkan oleh Sasterawan Negara (SN) Kelapan, Datuk Abdullah Hussain disifatkan sangat besar dan bernilai tinggi buat dunia kesusasteraan tanah air.
Demikian menurut Sasterawan Negara (SN) ke-13, YBhg. SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Pelancaran Buku Biografi Sasterawan Negara Abdullah Hussain di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kelmarin.

Beliau berkata, buku Biografi Sasterawan Negara Abdullah Hussain: Tukang Cerita Bergelar Pujangga merupakan bahan asas untuk membantu masyarakat mengenali keperibadian tokoh besar itu secara lebih mendalam sebagai seorang insan istimewa yang bergelar pujangga.
Dalam ucapannya juga, Zurinah menyifatkan buku biografi itu sebagai sebuah usaha penting, yang bukan sahaja memperkenalkan perjalanan hidup seorang tokoh sastera tanah air, bahkan memperkaya kefahaman pembaca terhadap hasil karya beliau.
“Kita mengetahui perjalanan kehidupan seorang pengarang itu sangat penting, sebab itu biografi ini dapat membantu kita dalam memahami apa-apa yang ditulis ataupun hasil karya seorang pujangga,” katanya.
Selain itu, Zurinah turut memuji usaha penulis, Zaleha Ahmat, yang menjalankan kajian dan menemu bual dengan pelbagai individu bagi mendapatkan gambaran lengkap tentang kehidupan dan pemikiran Abdullah Hussain.
Tambahnya, penulisan biografi bukan satu tugas mudah untuk menyatukan naratif kerana berhadapan dengan pelbagai pandangan dan cerita yang kadangkala bertentangan antara satu sama lain.
Zurinah juga menyentuh tentang keunikan kehidupan Abdullah Hussain yang penuh warna-warni, termasuk pelibatan beliau sebagai perisik serta pengalamannya yang berkait rapat dengan peristiwa penting dalam sejarah negara, seperti Perang Dunia Kedua masa itu.
“Apabila kita membaca kisah hidupnya, kita bukan sekadar mengikuti perjalanan peribadi beliau, tetapi turut menelusuri sejarah pendidikannya di Kedah, kehidupan masyarakat setempatnya, termasuk golongan petani, sekali gus kita memperoleh gambaran yang lebih luas,” ujarnya.
Dalam pada itu, buku setebal 305 halaman tersebut diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2024 dan mengandungi tujuh bab utama, antaranya termasuklah Asal Muasal Tukang Cerita Bernama Abdullah, Dua Dunia Pendidikan: Aliran Melayu Aliran Inggeris, Menimba Hujan Rezeki dan Jodoh, Sahabat dan Alam Persahabatan, Daya Kepengarangan Seorang Tukang Cerita, Sikap dan Pemikiran Pujangga Moden, serta Kembara Kegiatan Sastera dan Pengiktirafan Negara.
Selain itu, buku tersebut menyusun semula dan melengkapkan kisah kehidupan Abdullah Hussain secara kronologi, khususnya daripada sumber empat siri autobiografi beliau, iaitu Sebuah Perjalanan (1984), Perjalanan Mencari Bahasa (2001), Perjalanan Mencari Hikmah (2003), dan Perjalanan Mencari Diri (2004).
Pada masa yang sama, turut diadakan majlis Bicara Karya Biografi Sasterawan Negara Abdullah Hussain bersama-sama penulis, YBrs. Puan Zaleha Ahmat bagi mengupas latar belakang penghasilan buku berkenaan.

Turut hadir memeriahkan majlis pelancaran buku tersebut ialah Mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Tan Sri Johan Jaaffar; Ketua Editor Bahagian Majalah yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Dr. Rosmani Omar; isteri SN Abdullah Hussian, YBhg. Datin Siti Saroja Basri; dan Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, YBrs. Encik Ja’afar Hamdan.
