Diterbitkan pada 29 Mei 2025, 06:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Mekar Sastera MADANI yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 kelmarin memperlihatkan usaha memartabatkan bahasa dan sastera, di samping mencerminkan perpaduan antara pelbagai kaum.

Menurut Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, YBrs. Puan Aninah Janang, Program Mekar Sastera MADANI ialah satu daripada usaha untuk memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, iaitu dengan mengetengahkan persembahan berbentuk deklamasi sajak, dendangan syair, dendangan lagu puisi, gurindam, dan sewang dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. 

“Program Mekar Sastera MADANI ini memperlihatkan bagaimana produk terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan karya sastera diterjemahkan menerusi persembahan daripada peserta pelbagai kaum, iaitu murid Orang Asli, pelajar berbangsa Cina dan murid berbangsa India.

“Inilah usaha berterusan kita dalam meningkatkan kefahaman dan rasa cinta akan bahasa Melayu dan sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” ujar beliau.

Program bermula dengan persembahan sewang dan nyanyian lagu Rintihan Pribumi oleh pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Bukit Kemandol K9 yang membuka tirai dengan persembahan budaya yang penuh simbolik.

Persembahan sewang diiringi dengan lagu Rintihan Pribumi oleh pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Bukit Kemandol K9.

Seterusnya, Tai Weuy Ling yang merupakan juara bagi Pertandingan Deklamasi Sajak Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Kebangsaan 2024 dan Pertandingan Deklamasi Sajak Antarabangsa 2024 tampil mempersembahkan sajak “Mencintai Buku” karya Sasterawan Negara Datuk Seri (Dr.) A. Samad Said, manakala pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jalan Bangsar, Shivaathmighaa Varatharaja menyentuh hati hadirin dengan deklamasi sajak “Bahasa Bonda” karya Muhd. Mansur Abdullah.

Program turut diserikan dengan persembahan YBrs. Puan Nur Amelyana Noor Kamaruzaman dari Sekolah Kebangsaan Sungai Pelong yang mendendangkan gurindam “Mekar Bahasa” karya Nazim Mohd Subari dan syair ciptaannya sendiri, “Manfaat Ilmu Pengetahuan”.

Selain itu, nyanyian lagu puisi berjudul Terbang Tunduk oleh gandingan duet pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil, Khairunnisa’ Fazwani Mohd Khir dan Alysya Damia Badrina Badrul Nizam berhasil memukau pengunjung.

Pelajar dari Maktab Tentera Diraja ketika cuba menjawab soalan Kuiz Sasterawan Negara.

Penganjuran Kuiz Sasterawan Negara secara berselang-seli dan bersahaja daripada Encik Fadzril Wan Junit dan Puan Sharina Mohd Sharkawi selaku pengacara turut menambah nilai ilmu dan menarik perhatian pengunjung.

Program yang berlangsung selama satu jam ini turut disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md. Yunus; Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry; dan para pelajar dari Maktab Tentera Diraja.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi