Diterbitkan pada 12 Mei 2025, 17:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Naskhah Dendam Perempuan Api kepada Bara oleh Hidayyah AT Mizi yang memenangi satu daripada tiga hadiah finalis Hadiah Puisi T. Alias Taib II, mempunyai pengaruh emosi dan perasaan yang cukup kuat.

Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (Malaysia) 2011, YBhg. Tuan S.M. Zakir berkata, dalam konteks itu, beliau merujuk pandangan TS Eliot yang menyebut, puisi bukan suatu pelepasan emosi tetapi suatu pelarian daripada emosi, puisi bukanlah pengungkapan peribadi tetapi pelarian daripada pengalaman peribadi.

“Naskhah ini mempunyai pengaruh emosi yang cukup kuat. Hal ini tidak salah kerana hampir semua puisi yang baik memang merusuhkan perasaan,” katanya semasa mewacanakan karya itu usai majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di DBP, kelmarin.

Tambah S.M. Zakir, perkataan ‘dendam’ itu sudah cukup kuat untuk membina maksud derita selain kumpulan puisi itu mempunyai banyak unsur ironi.

“Penulis ini dapat meletakkan tiga unsur, iaitu ironi, paradoks dan metafora dalam satu ayat dan hal ini membawa impak.

“Puisi-puisi dalam kumpulan ini ialah puisi romantik, kumpulan ini sarat perasaan wanita dan mengambil subjek yang kecil tetapi menjadikannya sajak yang mengesankan,” katanya.

Walau bagaimanapun dari satu segi katanya, walaupun puisi-puisi dalam naskhah itu kuat, tetapi ada kalanya “malu”, selebihnya bertutur mengenai dirinya sendiri.

Beli kumpulan puisi Dendam Perempuan Api kepada Bara di sini.

Hidayyah AT Mizi berjaya merangkul hadiah finalis Hadiah Puisi T. Alias Taib II 2025.
Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi