Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pagi ini menjadi pentas penghargaan terhadap sumbangan besar Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari menerusi Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari, yang mempertemukan pelbagai tokoh sastera tanah air untuk membedah dan memperhalusi pemikiran serta perjalanan sastera tokoh tersebut.
Antara tokoh yang turut membentangkan idea dalam sesi pagi termasuklah pengkritik atau kritikus sastera, YBrs. Dr. Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana, yang menyifatkan Rahman Shaari sebagai “musafir dalam pelbagai genre” kerana kepelbagaian karya beliau yang merangkumi puisi, esei, kritikan, cerpen, novel, dan drama.

Dalam ucaptamanya, Mana Sikana menyorot perkembangan Rahman Shaari sejak era 1970-an hingga 1990-an sebagai tokoh penting dalam peralihan aliran sastera Melayu, daripada romantisisme kepada realisme.
“Sebelum ini, karya (sastera Melayu) banyak bertunjangkan emosi dan perasaan serta luahan tangisan, kerinduan dan kesedihan. Namun begitu, aliran realisme yang dibawa oleh Muhammad Haji Salleh dan Rahman lebih jujur dan membumi, dengan bahasa kolokial yang mudah difahami,” jelas beliau.
Rahman Shaari, menurut beliau, merupakan pemimpin dalam kelompok penyair pelapis, antara golongan penulis yang lahir selepas generasi penulis veteran seperti Masuri S.N., Kasim Ahmad dan Muhammad Haji Salleh, tetapi sebelum kemunculan penyair muda seperti Zaen Kasturi dan Lim Swee Tin.
“Saya tempatkan Rahman dalam golongan kedua, iaitu pelapis. Namun begitu, pada tahun 2000, saya angkat beliau sebagai pengarang puisi veteran,” ujar beliau.
Rahman Shaari juga popular digelar sebagai “al-Hafiz”, satu pengiktirafan terhadap kebolehan beliau menghafal puisi-puisi sendiri dan juga karya puisi penting tempatan yang lain.
“Seperti istilah ilmu hadis, puisi yang dihafal itu mestilah ‘sahih’ dan ‘hasan’, bukan yang ‘daif’,” seloroh Mana Sikana, disambut gelak kecil para hadirin.
Rahman Shaari turut dikenang sebagai pengasas Teori Anjakan Makna, iaitu suatu pendekatan dalam kritik sastera yang menekankan perubahan makna berdasarkan konteks pembacaan.
“Dalam teori intertekstualiti, ada unsur perubahan. Dalam teori resepsi pula, wujudnya gelombang makna.
“Maksudnya, bahan sastera yang dibaca oleh generasi 60-an tidak sama seperti yang difahami oleh pembaca hari ini.
“Bagi saya, anjakan makna ini sendiri sudah boleh dianggap sebagai sebuah teori sastera yang tersendiri,” kata beliau lagi.
Seminar ini turut dihadiri oleh tokoh besar sastera, termasuk YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, YBhg. SN Profesor Emeritus Dr. Muhamad Haji Salleh, YBhg. SN Datuk Dr. A. Samad Said, dan YBhg. SN Datuk Dr. Zurinah Hassan, manakala Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, hadir merasmikan program.