Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRaja Yusoff Ariffin difahamkan bahawa buku Ingatan kepada Seorang Ilhami Hisham (Ismail Hashim) sengaja disiapkan kira-kira sebulan lebih awal agar para penulis terbabit memilikinya sebelum menyambut Syawal 1446 Hijrah.
Buku ini merupakan satu penghormatan kepada Ilhami yang meninggal dunia pada 16 Januari 2025 …
Buku yang menghimpunkan hampir 80 buah tulisan berupa sajak dan catatan daripada rakan dari seluruh negara ini, ditulis khusus untuk mengenang dan menghargai Allahyarham Ilhami Hisham, atau nama sebenarnya, Ismail Hashim.
Setebal 245 halaman, antologi Ingatan kepada Seorang Ilhami Hisham (Ismail Hashim) diselenggarakan oleh para penulis mampan dan berpengalaman luas, iaitu Ahkarim, Puzi Hadi, Abu Hassan Morad, Zaidin Abadi, dan Putraery Ussin, dengan Mohamed Nasser Mohamed dari Nuha Books sebagai editor perunding merangkap penerbit.
Berdasarkan senarai penyumbang yang menulis sajak dan catatan, ternyata Ilhami dikenali oleh ramai penulis pelbagai tahap, sama ada rapat/biasa dan lama/baharu – daripada yang sebesar Sasterawan Negara ke-6 (1991), Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh; penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, Datuk Dr. Lim Swee Tin (2000), Datuk Jasni Matlani (2015), Dr. Shamsuddin Othman (2019), dan Osman Ayob (2024); Sasterawan Sarawak keenam Dr. Abang Patdeli Abang Muhi (2024); Tokoh Puisi Kebangsaan peringkat Negeri Kelantan 2022, Leo A.W.S; Tokoh Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor 2023, Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar; Karyawan Sepanjang Hayat Negeri Perak 2024, Dr. Zabidin Haji Ismail; pejuang bahasa serta mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Mahaya Mohd. Yassin; Mohd. Fudzail Mohd. Noor; Maroof Seman; Nassury Ibrahim; Ruhie Isma; Amer Hmzah L. Kadir; Ijamala MN; Amiruddin Ali; Dr. Ann Wang Seng; hinggalah Smahadzir, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Mamu MK Hasny, Paridah Ishak, Azizah MDS, Aloy Indra Jokina, Ibnu Din Assingkiri, Hamizun Syah Md. Yusoff, dan Gabriel Kimjuan.
Turut menulis termasuklah Abdul Aziz Ali, Adiwangsa Sukma, Mustaffa Siraj, Nik Dahna Megat, Raheem Jay, Samsa Haris, Ramlee Wahab, Wan Zaida Wan Yussof, Zaheera Ibrahim, Zalina Ahmad @ Zaleena E-Naa, Md. Share Abd. Ghani, dan Nasir Awang.
Usaha mendokumentasikan coretan rakan-rakan menerusi buku ini, menurut Abu Hassan Morad, merupakan satu penghormatan kepada Ilhami yang meninggal dunia pada 16 Januari 2025.
Abu Hassan menulis catatan berjudul “Damailah Sahabatku” yang antara lain menyebut perkenalan pertamanya dengan Ilhami pada Jun 2006 ketika beliau menjalankan penggambaran dokumentari Salam Nusantara untuk TV1, di Kampung Air. Ketika itu Allahyarham bertugas sebagai wartawan akhbar Media Permata, Brunei Darussalam.
Sebagai editor perunding bagi projek buku ini, Mohamed Nasser Mohamed menghimbau kenangan setiap kali beliau pulang ke Jitra, Kedah untuk menziarahi ibu mertua dan saudara mara isteri, ketika itulah beliau menemui Ilhami.
Hasil daripada rutin bulanan mengikut Ilhami menemui para penulis kelahiran Kedah, Nasser mengucapkan terima kasih kerana Allahyarham menjadi pencetus beliau mula menulis. Pengalaman bertemu dengan ramai penulis mapan dan mampan sekian lama itu, tambahnya, amat membantu beliau mengendalikan Nuha Books sejak tahun 2019.
Atas faktor itu, Nasser memberitahu beliau tidak teragak-agak untuk menerbitkan antologi selepas memperoleh keizinan waris keluarga yang ditemui sehari selepas kematian Ilhami. Nasser memberitahu sepatutnya beliau menemui Allahyarham pada 21 Disember 2024, dan seminggu kemudian. Walau bagaimanapun, tidak kesampaian kerana masalah kesihatan yang Ilhami alami.

Menurut Nasser, beliau segera mengutuskan surat jemputan kepada kumpulan pertama seramai 40 orang penulis rakan Ilhami. Antara yang awal memberikan respons ialah Mamu dari Sitiawan, yang menulis sajak berjudul “Sebuah Keakraban Silam” dalam antologi ini.
Tambah menarik, penerbit memperoleh keizinan daripada pihak majalah portal DBP untuk menyiarkan semula dua buah tulisan Allahyarham, iaitu artikel berjudul “12 Keuntungan Penulis Dapati dengan Berpersatuan” (Dewan Sastera Jendela DBP 8 November 2023), dan “Syair Dialog Puncak” (WADAH DBP 5 Disember 2023).
Tulisan-tulisan yang mendapat keizinan bertulis daripada DBP dengan sokongan YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP itu disiarkan bersama-sama “Seloka BTTS Mei 2019”, “Seloka Walimah Puteriku Silma” (8 Jun 2019), “Derita Rakyat”, “Rukun Negara – Manfaat Nan Berkat”, “Usah Jadi ‘Unta Tua’”, dan “Narasi Kronologi Akhir Pak Saring” karya Ilhami dalam slot Harimau Mati Meninggalkan Belang, Penulis Mati Meninggalkan Tulisan.
Saya sendiri turut memenuhi undangan Nasser dan menulis sajak “Duka Selepas Lama Tidak Bersua”.
Semoga kehadiran buku ini dapat menjadi tanda terima kasih dan ingatan buat seorang insan bernama Ilhami Hisham yang telah berjasa untuk sejarah dan perkembangan sastera dan penulisan.
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).