Diterbitkan pada 10 Mac 2025, 13:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Adakah disebabkan terik, hati mencari lautan
dan akal menimba awan di dahi pergunungan?

jawabnya, kau tak pernah setuju.

Timbalah peluh dari segala laut, sungai akan menjadi masin,
bukankah di bawahnya menanti anak-anak mancis
dan secangkir kopi mendidih?

seperti yang kau selalu bertanya, pawaka itu apa?

Api yang putih tidak semestinya membakar kecuali adanya,
angin merah yang sengaja terbit dari mulut sandiwara. Katamu, api itu
sedingin salju, yang birunya kita telan menjadi arang-arang waktu.

itukah kopi (pahit) yang pernah kaugigit dulu?

Atau yang membara dalam kembara itu awan-awan siang, daun-daun
usia yang disalai oleh teori, kerangka akal yang direneh setelah
subuh dimamah oleh cerah yang bersegi segi.

Ya!
Jangan kau sentuh panas itu,  sebab merah itu lapar,
kerana kuning itu dahaga. Dan perjalanan akan menjadi lebih pedih,
sebelum kering dipanggil pulang, lalu pasrah membina,
sebuah tugu pengorbanan.

Benar,
Matahari hanya menyala bukan merentungkan,
lalu kaulihat kuntum-kuntum api menjadi tradisi, selagi
siang tak pernah berhenti untuk menjadi malam.

Jadi, kenapa kau enggan bertanya, mengapa lampu dunia,
yang begitu lama, telah menjadi embun?

Dangau Seni, Kangar

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi