Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDr. Khairul Nizam Zainal Badir menyelongkar pendekatan alegori dalam sastera yang mempunyai hubungan kuat dengan kesedaran diri secara saintifik.
Justeru, isu asas yang diketengahkan oleh Abdullah dalam Kalilah wa Dimnah berkait rapat dengan usaha untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku dalam kalangan pemerintah dan rakyat.
Baidaba memulakan kisah tersebut dalam bentuk berbingkai, iaitu dengan menyorot kehidupan masyarakat pada zaman Raja Amarashakti yang pernah memerintah sebuah kerajaan kuno di negara itu suatu masa dahulu. Raja itu mempunyai penasihat yang bijak yang dikenali sebagai Vishnusharma. Suatu hari, sang raja memerintahkan penasihatnya untuk mengarang sebuah kisah yang dapat mengajar prinsip pemerintahan yang adil dan kelakuan hidup kepada anak-anak lelakinya. Lalu penasihatnya memilih untuk mengetengahkan kisah-kisah haiwan agar watak-watak yang terkandung dalam kisah tersebut dapat memberi pengajaran yang berkesan tentang kelakuan holistik dan terhormat kepada anak-anak raja itu.
Berabad-abad kemudian, iaitu sekitar 550 Masihi, seorang doktor Parsi, Borzuya, telah dihantar ke India oleh Raja Sassanid, Khosrow I, untuk mencari tumbuhan yang boleh menghidupkan semula orang mati. Borzuya mengetahui bahawa tumbuhan yang dia cari bukanlah tumbuhan tetapi sebenarnya Panchatantra, yang dilihatnya sangat mujarab untuk menyembuhkan hati manusia yang telah mati. Kisah yang dikarang oleh Baidaba itu kemudian diterjemahkan dengan susah payah ke dalam Pahlavi, bahasa Parsi Pertengahan yang digunakan dari sekitar abad kelima Sebelum Masihi hingga abad ketujuh Masihi. Karya terjemahan itu telah diberi judul sebagai Kalile va Demne.

Pada zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiyyah yang diterajui oleh Abu Ja’afar al-Mansur (714 – 775), sasterawan dan pelopor prosa Arab yang tersohor ketika itu, iaitu Abdullah bin al-Muqaffa’ telah mengambil inisiatif untuk menterjemahkan karya terjemahan Borzuya itu ke dalam bahasa Arab lalu memakai judul Kalilah wa Dimnah. Penterjemahan yang dibuat oleh Abdullah sebagaimana menurut kajian Pabiyah Toklubok, Kamariah Kamarudin, Zaitul Azma Zainon Hamzah, dan Raihan Marzuki (2021), tidaklah mengambil bulat-bulat karya terjemahan yang diusahakan oleh Borzuya, sebaliknya beliau menyesuaikan beberapa bahagian baharu dalam terjemahannya agar kandungannya selari dengan ajaran Islam, di samping menepati cita rasa gaya hidup dan kebudayaan masyarakat tempatan pada masa itu.
Tujuan sebenar Abdullah memilih untuk menterjemah secara bebas karya terjemahan Borzuya adalah mirip kepada tujuan asal Baidaba menulis kisah tersebut, iaitu sebagai suatu bentuk kritikan sosial terhadap kepimpinan Abbasiyyah, di samping menggambarkan realiti sebenar yang sedang berlaku apabila masyarakat terhimpit dengan pergolakan yang terjadi pada peringkat pucuk pimpinan.
Justeru, isu asas yang diketengahkan oleh Abdullah dalam Kalilah wa Dimnah berkait rapat dengan usaha untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku dalam kalangan pemerintah dan rakyat. Antara isu asas yang dibangkitkan ialah hal kewajiban pemerintah kepada rakyat, seperti memiliki sifat adil, mengutamakan kebajikan rakyat dan ikhlas berkhidmat kepada rakyat. Manakala rakyat pula dianjurkan untuk mengamalkan akhlak yang mulia, jujur dan ikhlas dalam persahabatan, hidup dalam berkasih sayang, bercakap benar, dan sentiasa memuliakan tetamu.

Alegori memainkan peranan utama dalam karya terjemahan tersebut apabila secara eksplisit hikayat ini ditulis untuk menghiburkan khalayak pembaca tetapi pada masa yang sama mendidik pembaca dengan mengemukakan nilai murni yang sepatutnya diamalkan dalam kehidupan. Secara implisit pula, hikayat ini ditujukan kepada pemerintah dengan memberi peringatan agar mereka menjalankan tanggungjawab dengan penuh adil dan saksama, serta memberi perhatian yang sewajarnya tentang permasalahan rakyat berbanding berebut kuasa atau tamakkan harta dan kedudukan.
Alegori yang menjadi tunjang pada kisah berbingkai Kalilah wa Dimnah ini kekal relevan dengan konteks semasa dalam usaha memupuk nilai murni yang diperlukan oleh pemimpin demi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
Dalam nada yang menghibur tetapi sarat dengan mesej pengajaran, Kalilah wa Dimnah secara tersirat memerihalkan beberapa ciri kepimpinan yang baik dan sepatutnya dimiliki oleh pemerintah dalam melaksanakan tanggungjawab mentadbir rakyat jelata menerusi watak-watak haiwan yang ditonjolkan. Pendekatan ini juga telah membuktikan bahawa karya sastera seperti Kalilah wa Dimnah boleh dijadikan panduan dalam usaha membentuk kesedaran diri untuk mengembangkan potensi diri agar dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera dalam kehidupan.
Walaupun Baidaba diberi kredit sebagai pengarang asal Kalilah wa Dimnah, namun karya terjemahan Abdullah memberi pengaruh yang sangat besar kepada sasterawan dan pemikir dalam generasi berikutnya, yang juga merupakan doa dan harapannya agar kisah ini terus memberi faedah pada zaman yang mendatang, bukan sahaja kepada pemerintah dan rakyat tetapi juga kepada ahli falsafah. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Abdullah yang dikutip oleh Laila dalam Masadir Al-Hikmah fi Qisas Kalilah wa Dimnah (1984:24) yang diterjemahkan oleh Pabiyah et al. (2021):
Bagi sesiapa yang membaca buku ini dan memilikinya, seharusnya mengetahui bahawa buku ini terbahagi kepada empat bahagian dan tujuan. Satu daripadanya secara sengaja diletakkan dalam bahasa binatang agar dapat mempercepatkan pembacaan dan pemilikannya oleh pemuda yang cenderung hati mereka kepada buku tersebut kerana inilah tujuan beranekdot dengan haiwan. Yang kedua, memperlihatkan khayalan haiwan dalam pelbagai bentuk dan rupa untuk menghibur hati raja-raja supaya mereka lebih terhibur dengan gambaran itu, dan yang ketiga adalah supaya pembaca mengambil teladan, malah raja-raja dan orang ramai juga, sehingga banyak disalin dan berterusan begitu walaupun masa telah berlalu, malah pelukis dan penyalin juga terus mendapat manfaat. Tujuan yang keempat dan yang paling utama adalah khusus untuk ahli falsafah. Maksud saya, melihat rahsia makna kata-kata yang tersembunyi.
Contoh bagaimana karya terjemahan tersebut mempengaruhi dunia falsafah sejak zaman-berzaman boleh dilihat menerusi usaha ahli falsafah Barat abad ke-16, Thomas North (1535 – 1604) yang telah menterjemahkan karya tersebut dalam versi Itali dengan menggunakan tajuk The Moral Philosophy of Doni. Karya tersebut telah disiapkan pada tahun 1570.
Dikatakan bahawa seorang lagi ahli falsafah yang sangat terkenal dalam abad ke-16, Francis Bacon, turut mengambil inspirasi daripada kisah Kalilah wa Dimnah untuk mengarang esei dalam bidang falsafah yang berkaitan tentang politik dan selok-belok manusia.
Begitu juga dengan penyair terkemuka Perancis abad ke-17, Jean de La Fontaine (1621 – 1695) yang turut terpengaruh dengan karya terjemahan Abdullah kerana tertarik dengan sindiran dan kritikan masyarakat yang dikemukakan menerusi kisah-kisah binatang. Ringkasnya, karya terjemahan Abdullah boleh dianggap sebagai penghubung atau titik temu yang mempertautkan karya sastera di sebelah Timur dan Barat.
Baca Bahagian Pertama Refleksi |
Hikayat Panca Tanderan merupakan hikayat yang diadaptasi oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau Abdullah Munsyi daripada Panchatantra dalam versi Tamil. Beli Hikayat Panca Tanderan di sini.
_________________________
Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) ialah tenaga pengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.