Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penerima SEA Write Award 2001, Zakaria Ariffin, 71, meninggal dunia sekitar 2.30 pagi tadi di Hospital Slim River, Perak.
Berita pemergian tokoh drama dan teater kelahiran Kuantan itu dikongsikan oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), YBrs. Dr. Mohammad Saleeh Rahamad di laman Facebooknya.
Mohammad Saleeh dalam hantaran itu berkata, jenazah akan dibawa ke Surau Al-Ibroh, Batu 7, Behrang Hulu, untuk urusan solat jenazah dan seterusnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampuang Sungai Sekiah, Behrang Hulu dekat Tanjung Malim.
Zakaria dikenali sebagai penulis skrip, pelakon dan pengarah drama pentas. Sepanjang hayatnya, beliau banyak terlibat dalam dunia teater seawal menyambung pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini UPSI) dan kemudian di Universiti Sains Malaysia. Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Penyelidik (Perancang Bahasa) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kemudian ke Akademi Seni Kebangsaan (kini ASWARA) sebagai pensyarah, kemudian Dekan.
Beliau amat aktif dalam Kumpulan Anak Alam dan Badan Budaya DBP.
Zakaria amat dikenali dengan Trilogi Pentas Operanya. Drama Pentas Opera terhasil daripada peraduan menulis skrip drama, Hadiah Drama ESSO-GAPENA 1988/89 yang turut memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1988/1989 (kini Hadiah Sastera Perdana Malaysia) bagi kategori Drama Panjang Terbaik.
Sambungan drama penting ini terhasil enam tahun kemudian, Perempuan Seorang Leftenan Inggeris dan pelengkapnya pada tahun 1996, Belum Selesai.
Beliau turut menghasilkan beberapa skrip drama pentas terkenal yang dipentaskan, termasuk Raja Lawak, Jangan Bunuh Sam, Budak Raja, adaptasi drama Imam serta Suluh Peraba, selain bangsawan Siti Zubaidah yang pernah dipentaskan di Istana Budaya (2000).
Beliau turut menghasilkan beberapa skrip drama televisyen dan telefilem, malah cukup berwibawa sebagai panel penilai dan juri bagi beberapa sayembara dan pertandingan anjuran kerajaan dan swasta, selain turut menghasilkan beberapa rencana dan kertas kerja yang disampaikan di seminar luar negara.
Pada tahun 2008, beliau berjaya menerima Anugerah Seni Negara bagi kategori Seni Teater (Penulis Skrip). Zakaria Ariffin pernah diangkat sebagai Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera isu Disember 2001.