Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJack Malik membalas reaksi Dr. Aminudin Mansor tentang sambutan sastera tempatan dalam kalangan masyarakat.
Dalam usaha mengukur, biarlah menggunakan alat ukuran yang sepatutnya. Jika menimbang berat, janganlah menggunakan pembaris; ketika mengukur jarak, mengapa dipakainya termometer?
Dalam slanga internet Gen-Z, “touch grass” atau terjemahan harfiahnya, “sentuh rumput”, bermaksud saranan untuk seseorang itu berpijak pada bumi yang nyata. Kembali kepada realiti sebenar. Bukan kekal di awang-awangan alam maya. Dalam hal sastera dan perbincangan kali ini, janganlah kita dilamun dengan pandangan diri yang terbatas.
Realiti sastera tempatan mendapat sambutan atau tidak perlu dilihat dengan kanta mata yang tidak dikaburi oleh sentimen peribadi.
Untuk mengatakan apresiasi sastera makin sempit dan terhimpit tidak adil apabila kita menyaksikan laman media Tukang Puisi sudah pun mencecah 100,000 pengikut. Pada masa yang sama, kita tidak boleh pukul rata dengan mengatakan yang sastera tanah air sedang mekar berkembang hanya dengan menilai angka tersebut.
Sudah pasti perkembangan dan minat terhadap sastera bukannya tertakluk pada pemerhatian binari semata-mata. Seperti sastera itu sendiri, perbahasan sekitarnya mempunyai pelbagai lapisan yang perlu dikupas dengan cermat.
Menjadi Pemerhati yang Teliti
Tidak perlu pangkat atau gelaran untuk menjadi pemerhati. Sebenarnya, pangkat atau gelaran yang diperoleh daripada usaha mengejar kesarjanaan itulah yang sewajarnya memberikan nilai tambah terhadap apa-apa yang diperhatikan. Pemerhatian seseorang sepatutnya menjadi lebih tajam kerana memiliki disiplin keilmuan. Bukan dakwa-dakwi semata. Walau bagaimanapun, manusia tidak terlepas daripada bias masing-masing. Ada sebab tanggapan dipanggil tanggapan.
Pengalaman dan pengamatan peribadilah yang membentuk tanggapan masing-masing. Justeru, setiap realiti kita diwarnai dengan calitan berbeza. Apa yang penting adalah untuk memastikan apa-apa yang kita kemukakan itu punya sandaran dan bukan sekadar memetik bukti sesuka hati tanpa dalil yang kukuh. Menjadi pemerhati bukan sahaja memerlukan pandangan jelas. Pemerhatian juga memerlukan kesahihan dan kejujuran.
Katakanlah apa-apa yang diperhatikan tersebut disokong oleh hasil tinjauan dan data seumpamanya. Data terkumpul pula akan menunjukkan bahawa—sebagai contoh—budaya membaca rakyat Malaysia kurang. Data yang lain pula akan memberitahu bahawa saban tahun pengunjung pesta buku semakin meningkat dan keuntungan tahunan para penjual buku terus mencanak. Satu lagi data mengatakan yang novel cinta mendominasi pasaran, pada masa yang sama, penerbitan bahan ilmiah seperti karya bukan fiksyen turut rancak, malah tidak putus-putus diadakan acara yang berkaitan dengannya.
Mana satu yang benar?
Apa yang Ditakutkan Sebenarnya?
Contoh yang dibentangkan tadi barangkali simplistik. Akan tetapi, begitulah apabila kita membaca setiap bulan, tidak putus terbit kebimbangan yang sama tahun demi tahun mengenai status sastera di tanah air. Ada kala kebimbangan yang serupa itu kelihatan polos.
Saya mengatakan kebimbangan itu polos kerana secara kasar, kita ada majalah sastera—Dewan Sastera, Tunas Cipta (dan beberapa yang lain)—dicetak setiap bulan. Setiap hujung minggu terbit penyiaran di media sosial seperti Selangorkini dan Tukang Puisi. Belum ambil kira penyiaran di akhbar utama dan akhbar negeri seperti Suara Sarawak.
Jika kayu pengukur kemajuan sastera ialah karya yang dijual di pasar basah, padanlah kita mundur. Kalau ditetapkan untuk menghasilkan Sasterawan Negara di bawah usia 30 tahun sebagai KPI, padanlah kita ketinggalan. Kita mahu rakyat menghayati sastera tetapi dalam nafas yang sama mengatakan terdapat lambakan karya sastera. “Pick a struggle” atau “Pilih Satu Pergelutan Sahaja”, bak kata peribumi Internet.
Dalam usaha mengukur, biarlah menggunakan alat ukuran yang sepatutnya. Jika menimbang berat, janganlah menggunakan pembaris; ketika mengukur jarak, mengapa dipakainya termometer?
Jagat Sastera Amat Luas
Sudah sampai waktu kita berhenti mempersoalkan persatuan dan pengkarya—sebaliknya bertanya: apakah kementerian berkaitan, taikun industri, mogul bidang, pempengaruh berduit, para bangsawan, dan hartawan berbudi lagi berbudaya tidak berminat dengan sastera; tidak berminat untuk memperkenalkan sastera kepada khalayak ramai?
Cadangan untuk menghidupkan sastera di setiap pelosok masyarakat merupakan cadangan yang murni. Sebagai pengkarya, sudah pasti saya menyokong perkara ini. Sudut sastera—baik. Pendedahan awal—bagus. Akan tetapi, harus diingat juga bahawa kita tidak boleh bertepuk sebelah tangan. Ambil contoh inisiatif Poems on the MRT oleh kerajaan Singapura. Jika dilaksanakan di Malaysia, perkara ini melibatkan ramai pihak. Apakah peranan Prasarana, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pengangkutan, dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam hal ini? Siapakah penyelenggaranya? Berapakah bayaran honorarium? Pedulikah masyarakat?
Jangan salah faham, saya menyokong sebarang cadangan juga usaha untuk mengangkat, memperkasa dan memperkaya pengalaman sastera. Namun begitu, saya juga berpendapat bahawa kritikan keras mengenai kemajuan sastera tidak sepatutnya ditujukan kepada para pengkarya sahaja. Kemajuan sastera sepatutnya dipersoalkan kepada mereka yang mempunyai kuasa hakiki seperti pemerintah, penggubal dasar, institusi kewangan, dan kumpulan pemikir (think tank) yang berkemampuan untuk menyediakan program-program yang memperkenalkan sastera kepada masyarakat.
Apresiasi sastera melibatkan banyak faktor dan sejauh manakah “beban” tanggungjawab itu perlu digalas oleh penggiatnya? Apakah pihak lain boleh lepas tangan begitu sahaja? Kita lebih mudah mengkritik persatuan dan pengkarya daripada pihak yang memiliki pengaruh dan kuasa sebenar.
Soal usaha persatuan berjaya atau gagal menghidupkan sastera bukan tidak boleh dikritik. Akan tetapi, biarlah kritikan tersebut mengkaji semula peranan dan kemampuan persatuan-persatuan sastera yang sedia ada. Adakah birokrasi dan politik dalaman turut menjadi faktor mempengaruhi penganjuran aktiviti sastera?
Sering diratib juga orang muda tidak minat sastera, sedangkan setiap minggu boleh dikatakan ada saja acara yang dikendalikan oleh demografi umur tersebut. Mungkin, kerancakan hanya kelihatan berlaku di ibu kota sahaja dan tidak di negeri-negeri lain. Hujah itu adil. Tidak dinafikan bahawa aktiviti sastera di Kuala Lumpur bukan penanda aras utama. Akan tetapi, untuk berkata “tiada langsung” merupakan kejahilan yang jelas.
Para penggiat sastera sudah lama mendakap “Semangat DIY” atau Do-It-Yourself. Program seperti Kultus Kata tidak menantikan dana atau kertas kerja. Kedai buku seperti Tintabudi, Tokosue dan Riwayat juga tidak putus-putus mengadakan acara setiap minggu—lihat sahaja akaun media sosial mereka untuk mengikuti takwim bulanan dengan pengisian acara seni, budaya dan sastera.
Sudah sampai waktu kita berhenti mempersoalkan persatuan dan pengkarya—sebaliknya bertanya: apakah kementerian berkaitan, taikun industri, mogul bidang, pempengaruh berduit, para bangsawan, dan hartawan berbudi lagi berbudaya tidak berminat dengan sastera; tidak berminat untuk memperkenalkan sastera kepada khalayak ramai? Atau sastera tidak ada pulangan keuntungan (ROI) bagi mereka?
Ada sesiapa boleh jawab apa sudah terjadi dengan Hadiah Sastera Selangor sejak tahun 2022?
Sentuh Rumput
Ketika Plato berhujah bahawa “manusia merupakan haiwan tanpa bulu yang berkaki dua”, Diogenes muncul dengan membawa seekor ayam yang telah dicabut pelepahnya dan berteriak, “Saksikan, inilah yang dipanggil sebagai manusia!”
Ada kalanya, kita memerlukan “Diogenes” dalam hidup kita untuk memperbetulkan kanta mata yang mungkin tidak berapa sesuai digunakan bagi memerhati apakah yang sedang berlaku sebenarnya di keadaan sekeliling.
Waktu itu, ada baik kita keluar sekejap (bukan audio siar tersohor itu!) dan cuba menyentuh rumput. Kemudian, lihat semula dengan pandangan yang lebih segar. Lebih berani. Paling utama, lebih yakin bahawa sastera—walaupun ada banyak ruang untuk penambahbaikan, tetapi sebenarnya—baik-baik sahaja.
_________________________
Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.