Diterbitkan pada 12 Februari 2025, 06:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tiga dekad lalu, Raja Yusoff Ariffin pernah menulis artikel tentang cara merangsang minat mendalam terhadap sastera dan penubuhan kelab sastera di sekolah. Beliau kini cuba memberikan pendapat balas terhadap tulisan Dr. Aminudin Mansor yang sedang “panas” dalam talian.

Adakah buku sastera ‘laku keras’ di pasaran? Berapa banyak novel, kumpulan atau antologi cerpen, sajak atau drama boleh dijual dalam tempoh tertentu, misalnya setahun?

Saya yakin setiap hari, malah ketika saya menulis sekarang pun bahawa ramai penulis berkarya, terutamanya dalam bentuk eceran, seperti rencana, kritikan, cerpen, dan sajak. Saya percaya, ada antara mereka akan terus berkarya selagi terdaya.

Justeru, masalah para penulis tidak berkarya, sekali gus ketandusan karya, sama ada sastera mahupun bukan sastera untuk dibaca bukanlah besar, atau mendesak. Sikap menganggap tiada karya sastera kerana hanya memandang atau mementingkan mutu sahaja ialah soal lain.

Sebelum ledakan teknologi maklumat, ketika pelbagai akhbar dan majalah diterbitkan, difahamkan, banyak sekali sajak dan cerpen diterima oleh editor media cetak setiap hari. Jumlah yang banyak dan melimpah-ruah itu boleh menampung penyiaran untuk beberapa tahun mendatang, walaupun pengkaryaan dan pengiriman dihentikan tiba-tiba!

Tiada siapa boleh menafikan yang dunia sastera negara kita begitu mewah dengan karya. Namun begitu, bagaimanakah dengan jumlah pembacaan dan pulangannya kepada penulis? Sudah tentu juga mutu itu soal lain.

Adakah buku sastera “laku keras” di pasaran? Berapa banyak novel, kumpulan atau antologi cerpen, sajak atau drama boleh dijual dalam tempoh tertentu, misalnya setahun?

Adakah novel yang telah memenangi sesuatu anugerah besar selain buku kisah seram, misteri, lucah, dan skandal mampu “laku keras”? Adakah kelarisan sesebuah akhbar dan majalah itu kerana turut menyertakan ruangan sastera?

Siapa yang mahu/boleh menyangkal apabila saya mengatakan bahawa akhbar dan majalah laris kerana berita sensasi seperti skandal ahli politik, kes jenayah, gosip hiburan, dan krisis politik?

Kelarisan sesebuah akhbar dan majalah bukan kerana karya sastera ataupun kehangatan sesuatu isu sastera, contohnya seperti mogok seni Sasterawan Negara (SN) Datuk Seri (Dr.) A. Samad Said (tahun 1989), dan kontroversi Anugerah Sastera Negara mengenai siapa yang layak dan sebaliknya diangkat sebagai SN, iaitu ketika pemilihan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail sebagai SN ke-14 (2018, sekadar contoh).

Dalam kebimbangan Aminudin Mansor dalam tulisannya yang panjang, “Sastera, akan Hilangkah Peminatnya?” dalam portal ini pada 7 Februari lalu, kemahuan untuk membeli bergantung pada minat yang mendalam. Seseorang yang tidak meminati kisah artis dan hiburan, misalnya, tidak akan membazirkan wang untuk membeli majalah hiburan!

Jika belum berminat terhadap sastera, bagaimanakah untuk menumbuhkannya? Kalau sudah berminat, bagaimana pula untuk menjadikannya mendalam?

Apabila menyebut tentang minat, saya membahagikannya kepada belum berminat, berminat dan sangat berminat atau minat yang mendalam. Jika belum berminat terhadap sastera, bagaimanakah untuk menumbuhkannya? Kalau sudah berminat, bagaimana pula untuk menjadikannya mendalam?

Daripada tulisan Aminudin itu, ertinya, minat terhadap sastera itu ada. Minatnya tidak boleh dijangka atau dibimbangi akan hilang jika tiada. Cuma, bagaimanakah caranya untuk mengekalkan minat yang ada itu mesti diberikan perhatian serius. “Orang sastera” sudah tentu berminat, tetapi dibimbangi juga bahawa hal itu akan pupus.

Pada saya, tulisan Aminudin itu bermanfaat kerana bimbangkan kehilangan minat terhadap sastera adalah perlu sebagai kewaspadaan. Hal ini mengingatkan “orang sastera” agar tidak leka, sebaliknya terus mempertahankan minat berkenaan.

Tidak menghairankan jika “orang sastera” meminati sastera, sama ada mendalam atau sebaliknya, kerana hal itu wajar/masuk akal. Hal yang menjadi persoalan ialah, berapa ramaikah daripada kalangan bukan “orang sastera” atau pembaca awam yang mempunyai minat mendalam terhadap sastera, sekali gus karya-karyanya? Berapa ramai pula yang tidak, atau belum berminat? Antara jumlah yang berminat dengan mendalam itu, berapa ramai pula yang “berdaya beli”?

Buku sastera belum terjamin akan laris jika mereka yang “berdaya beli” secara keseluruhan atau majoritinya, tidak atau belum meminati sastera.

Jika boleh, biarlah dan amat elok bagi semua yang berminat dengan mendalam itu juga “berdaya beli”. “Orang sastera” sendiri diharapkan “berdaya beli” agar dapat menyokong rakan-rakan sasterawan. Meskipun kelihatan ideal, tetapi inilah yang sebaik-baiknya.

Masalah tidak begitu besar kalau telah berminat. Sekurang-kurangnya, perhatian terhadap karya sastera tetap ada. Jika ada minat, usaha akan dibuat untuk mendapatkan karya sastera sekalipun tiada, atau kurang “berdaya beli”.

Masalah besar ialah mereka yang tidak atau belum berminat, walaupun mempunyai “berdaya beli” yang tinggi!

Jadi, bagaimanakah menumbuhkan minat kepada mereka agar mesej atau ilmu karya sastera dapat berkembang, sekali gus memberikan pulangan yang menarik kepada para penulisnya?

Namun begitu, saya bersetuju minat tidak boleh dipaksa-paksa kerana itu hanya melahirkan kepalsuan. Hanya pura-pura.

Walaupun tentu ada yang bertanya mengapa, tetapi sastera perlu menjadi minat ramai, malah setiap orang. Diakui juga sukar atau tidak mungkin sastera diminati oleh setiap orang. Namun begitu, memadai jika jumlah peminat sastera sama seperti jumlah peminat hiburan.

Kecenderungan atau minat yang mendalam dan meluas, serta keghairahan terhadap dunia artis lakonan dan nyanyian menyebabkan dunia hiburan menjadi perhatian serta bualan di mana-mana, sedangkan manfaatnya tidak banyak ketimbang dunia sastera. Bagaimana untuk menimbulkan keghairahan ini terhadap dunia sastera?

Sebenarnya, dunia sastera dan karyanya yang lebih memberikan manfaat dan perlu diberikan perhatian. Semua “orang sastera” pasti mahukan dunia sastera sentiasa menjadi perhatian masyarakat.

Para penulis sastera boleh mendapat pulangan RM yang baik seperti yang diterima oleh para artis hiburan jika karya mereka sering menjadi bualan, disebut-sebut dan “laku keras”.

Namun begitu, iktibar daripada mesej dalam setiap karya sastera memang perlu diperhatikan dan diambil berat. Mengambil tahu diri para penulis dan karyanya sahaja tidak memadai.

Tidak mustahil bahawa hal ini boleh berlaku sekiranya ada minat yang mendalam. Justeru, persoalan bagaimana menumbuhkan minat yang mendalam terhadap sastera perlu difikirkan.

Tidak cukup sekadar penulis ghairah berkarya, tetapi akhirnya sia-sia belaka. Karya sastera mesti sampai dengan meluas kepada masyarakat. Minat bukan sekadar perlu ada dan dipertahankan, malah lebih baik jika minatnya mendalam!

Sejak puluhan tahun lalu, tidak putus-putus pelbagai bengkel penulisan sastera diadakan oleh pelbagai persatuan penulis dan agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai persidangan, seminar, wacana, bicara, dan forum sastera turut dianjurkan. Kebanyakannya disambut dengan baik, dan tidak dinafikan sedikit sebanyak menanamkan minat terhadap sastera.

Seiring perkembangan teknologi, kaedah yang menjimatkan masa dan ruang diguna pakai, yang merupakan perbincangan dalam talian, seperti webinar dan Zoom (mula dengan lebih menggalakkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak pandemik maut COVID-19).

Kaedah moden ini mampu menarik minat golongan yang mesra dengan urusan dalam talian, terutamanya anak muda. Mereka yang lebih banyak menghabiskan masa dalam talian, tiada masalah untuk mengikuti perbincangan sambil minat dapat tertanam, sehingga perlahan-lahan jadi “mendalam”, seperti yang diingini.

______________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi