Diterbitkan pada 31 Januari 2025, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dr. Khairul Nizam Zainal Badir menyelongkar pendekatan alegori dalam sastera yang mempunyai hubungan kuat dengan kesedaran diri secara saintifik.

Di sisi lain, tulisan Goethe mendedahkan kuasa simbolik alegori, khususnya keupayaannya untuk mengubah pengalaman manusia terlebih dahulu menjadi tanggapan abstrak dan kemudian menjadi imej yang berkekalan.

Kira-kira satu abad sebelum wacana psikoanalisis mengkodifikasikan bahasa saintifik untuk menggambarkan landskap minda, Johann Wolfgang von Goethe (1749 – 1832) terlebih dahulu telah meneroka paradoks dalaman diri yang terpisah daripada kesedaran diri. Walaupun penerokaan itu telah lama diakui oleh para pembangun dan peneliti bidang psikologi yang melakukan kajian secara mendalam, namun sintesis sastera yang dilakukan oleh Goethe itu tidak menjadi subjek analisis secara terperinci untuk diteruskan oleh ahli-ahli psikologi selepasnya. Walau bagaimanapun, usaha tersebut menjadi tanda aras pada penggunaan alegori yang menjadi identiti di sisi Goethe dan pada masa yang sama, beliau juga telah mencipta jambatan penting yang menjadi penghubung antara pandangan psikologi kontemporari Jean-Jacques Rousseau (1711 – 1778), dengan teori psikoanalisis pengagumnya, Sigmund Freud (1856 – 1939).

Sama ada beliau terpesona dengan visi Rousseau tentang diri di bawah sedar atau sebaliknya, Goethe bergelut dengan persoalan moral subjektiviti yang berkait rapat tentang hubungan hati nurani dengan kesedaran. Untuk meneroka konflik dalaman ini melalui bahasa, Goethe membangunkan mod unik dalam perwakilan alegori yang memodenkan tradisi panjang personifikasi dramatik dalam drama Eropah. Novel utama Goethe seperti The Sorrows of Young Werther (ditulis pada tahun 1774) dan Elective Affinities (ditulis pada tahun 1809) mendedahkan pelibatan setiap teks dengan konsep jiwa bawah sedar atau tidak sedar apabila sebahagian besarnya tidak dapat diakses oleh minda rasional.

Strategi perwakilan Goethe ini telah membentuk bahasa subjektiviti yang sangat mempengaruhi konsep pemikir penting abad ke-20, termasuk Sigmund Freud, Michel Foucault (1926 – 1984) dan Hannah Arendt (1906 – 1975). Begitu juga dengan keterbalikan alegori yang dianggap sebagai ciri retorik yang dominan yang turut menarik perhatian para pemikir yang disebutkan tadi. Ciri ini turut dikongsi dalam konsep Freudian tentang keadaan tidak sedarkan diri dan keadaan yang ditindas. Ada perbezaan penting antara kedua-duanya dalam konsep ini apabila semua yang ditindas berada dalam keadaan tidak sedarkan diri tetapi tidak semua yang tidak sedarkan diri itu ditindas.

Di sisi lain, tulisan Goethe mendedahkan kuasa simbolik alegori, khususnya keupayaannya untuk mengubah pengalaman manusia terlebih dahulu menjadi tanggapan abstrak dan kemudian menjadi imej yang berkekalan. Etimologi perkataan ini berpunca daripada akar kata Yunani allos yang bermaksud “lain” dan agoria yang bermakna “pengucapan”, yang secara istilahnya dapat ditakrifkan sebagai bahasa yang terselindung yang merujuk kehadiran makna di bawah permukaan teks. Dengan kata lain, alegori juga boleh dirujuk sebagai pendekatan berbicara bagi menyampaikan sesuatu maksud secara tidak langsung atau berkias. Dalam bentuk klasik, penggunaan alegori boleh dikesan melalui kesusasteraan Yunani-Romawi dan Yahudi, dan karya-karya ini turut menampilkan penggunaan alat sastera untuk menyampaikan mesej moral, falsafah atau hal lain di bawah tabir abstraksi.

Alegori sering digambarkan sebagai metafora lanjutan, jadi satu cara untuk memahami alegori adalah dengan memahami metafora yang lebih kecil. Jika metafora melibatkan penggunaan ayat atau segmen pendek yang menyamakan dua perkara yang kelihatan tidak berkaitan, alegori pula ialah naratif lengkap yang seolah-olah berbicara mengenai satu perkara tetapi sebenarnya yang dimaksudkan ialah perkara lain. Alegori boleh diumpamakan seperti satu kisah yang mewakili perkara yang lebih besar tentang masyarakat atau sifat manusia, apabila watak-wataknya yang berbeza mungkin mewakili tokoh-tokoh tertentu dalam kehidupan sebenar. Kadangkala, situasi dalam cerita tersebut mungkin menggemakan sejarah atau kehidupan zaman moden, walaupun cerita tersebut tidak pernah menyatakan secara jelas akan perkaitan ini.

Secara saintifik, alegori mempunyai tiga ciri utama iaitu pertama, mempunyai pelbagai peringkat-makna literal dan makna yang besar serta bersifat simbolik; kedua, mempunyai pandangan yang bertentangan dan mampu mencipta konflik yang meliputi politik, agama, etika, moral, dan falsafah; dan ketiga, memiliki personifikasi, iaitu dengan menghantarkan sifat atau ciri yang ada pada manusia kepada benda bukan manusia untuk mencipta pelbagai peringkat makna yang simbolik. Alegori bagaimanapun perlu dibezakan dengan simbolisme kerana simbolisme biasanya melibatkan objek fizikal yang digunakan untuk mewakili idea atau kualiti abstrak. Alegori sebaliknya merupakan karya yang menggunakan simbolisme secara meluas agar pandangan yang hendak diketengahkan dapat disampaikan dengan makna yang lebih besar.

Dari perspektif psikologi, alegori berperanan untuk mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku manusia secara tidak sedar tetapi bersifat dinamik sama ada dari sudut koleksi fikiran, ingatan dan perasaan. Mirip pada pendekatan psikoanalisis, alegori membangunkan mekanisme pertahanan sebagai tindak balas pada pemikiran tidak sedarkan diri, keinginan atau emosi yang akan membuatkan mereka berasa cemas atau malu jika mereka muncul di “permukaan”. Mekanisme pertahanan ini tercetus disebabkan oleh timbulnya konflik dalam diri yang mana diri akan sentiasa berusaha untuk menafikan, menyembunyikan corak pemikiran yang merosakkan, menjauhkan penindasan, dan banyak lagi. Adapun fikiran sentiasa berusaha untuk membina kompromi agar kepercayaan dan keinginan yang sentiasa bersaing ini dapat dileraikan.

Dalam siri pembangunan potensi, alegori mewujudkan struktur yang menyenangkan dalam cara yang bukan naratif, seperti corak berulang, nombor atau simetri untuk menjelaskan idea atau konsep yang kompleks. Dalam minda bawah sedar, corak ini berperanan besar menangani peristiwa atau isu yang berlaku dalam kehidupan yang sebenar yang terangkum dalam satu bentuk ulasan sosial. Seni atau sastera dijadikan asas atau tapak untuk mengembangkan tema, atau menukar cerita daripada asalnya santai dan kelihatan tidak spesifik kepada konteks yang lebih relevan dan bermakna. Sifatnya adalah seperti matahari atau pembaris, yang memisahkan garisan kepada dua bahagian yang berbeza, terang dan gelap. Dalam terang, alegori menonjolkan unsur intrinsik yang merujuk unsur pembangun dalam naratif. Alegori ini diwakili oleh tema, tokoh, alur cerita, gaya bahasa, dan amanat. Adapun dalam gelap, alegori menyelitkan unsur ekstrinsik yang merujuk unsur yang berada di luar naratif, meliputi norma yang berlaku dalam masyarakat yang selalunya menjadi bahagian penting kepada pengarang untuk memaparkan nilai-nilai yang ingin diketengahkan, sama ada yang telah hilang dan perlu dikembalikan atau sebagai peringatan yang ditujukan kepada golongan tertentu, misalnya golongan penguasa.

Salah satu kisah tertua dan sangat popular menggunakan pendekatan alegori dan memiliki unsur intrinsik dan ekstrinsik ialah Kalilah wa Dimnah. Kisah ini dipercayai berasal dari India yang asalnya dikenali dengan nama Panchatantra yang membawa maksud lima cerita haiwan. Pengarangnya ialah seorang ahli falsafah bernama Baidaba yang menulisnya dalam bahasa Sanskrit bagi memenuhi permintaan seorang raja India bernama Maharaja Dabsyalim. Dalam riwayat lain, Baidaba menulis kisah tersebut dengan tujuan untuk menegur pemerintahan raja yang zalim.

Baca Bahagian Kedua Refleksi |

Hikayat Panca Tanderan merupakan hikayat yang diadaptasi oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau Abdullah Munsyi daripada Panchatantra dalam versi Tamil. Beli Hikayat Panca Tanderan di sini.

_________________________

Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) ialah tenaga pengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.

Kredit Foto: Musa Haef/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi