Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Buku Pelayaran Qalbu cetakan pertama yang memuatkan sebuah puisi panjang terbitan terawal Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi tahun 2025 akan mula berada di pasaran dalam tempoh terdekat ini.
Karya bertemakan keagamaan setebal 441 halaman itu merupakan hasil sentuhan seorang tokoh persuratan, pemikir dan budayawan, YBhg. Datuk A. Aziz Deraman yang melibatkan proses kepengarangannya yang mengambil masa hampir enam tahun.

“Saya mula menulis Pelayaran Qalbu ini pada tahun 2016, dan siap sepenuhnya pada tahun 2022 sebelum diterbitkan pada tahun ini.
“Insya-Allah buku ini akan berada di pasaran dalam tempoh terdekat,” kata A. Aziz Deraman semasa ditemukan di Kota Bharu.
Menurutnya, sebahagian besar karya tersebut membicarakan persoalan ketuhanan dan akidah yang merangkumi syariat, tauhid dan tasawuf, selain turut dimuatkan juga harapan akan perjuangan nusa bangsa dan kenegaraan.
A. Aziz Deraman diketahui umum sebagai budayawan, pentadbir, penyair dan pengarang di tanah air. Antara bidang penulisan beliau termasuklah puisi, esei, artikel dan kertas kerja.
Sepanjang pelibatannya dalam dunia persuratan Melayu hampir enam dekad yang lalu, beliau telah menghasilkan lebih 1000 buah puisi selain beberapa buah kumpulan puisinya yang diselenggara dan diterbitkan di Moscow, hasil terjemahan sarjana Rusia, Dr. Victor A. Pogadaev secara dwibahasa, iaitu bahasa Rusia dan bahasa Melayu.
Menjawab inspirasi terhasilnya karya setebal itu, A. Aziz Deraman berkata, ilham mengenainya muncul selepas beberapa lama beliau bersama-sama dengan keluarga mengadakan kelas pengajian agama di rumahnya di Kuala Lumpur dan di Kota Bharu.
“Oleh hal demikian, boleh dikatakan bahawa kebanyakan rujukan saya dalam menghasilkan karya ini ialah kuliah dan tazkirah serta wacana agama yang pernah saya hadiri. Maka itu, kandungannya banyak menyentuh tentang akidah, syariat dan akhlak,” jelasnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasrat untuk menulis puisi panjang bermula sejak lama dulu lagi, namun terbatas dengan kekangan masa menyebabkan cita-cita tersebut tertangguh sehingga terhasilnya Pelayaran Qalbu.
Tambahnya, secara peribadi, naskhah Pelayaran Qalbu sebagai sebuah karangan peringatan kepada diri sendiri dalam melayari bahtera kehidupan.
“Saya berharap agar rangkap-rangkap yang terkandung dalam karya ini berupaya membantu mencetuskan pemikiran dalam kaedah ilmu melalui sastera,” ujarnya.
Pembaca dan peminat boleh mendapatkan buku berkenaan di Kedai Buku DBP atau pengedar di seluruh Malaysia dengan harga RM50 sebuah.