Diterbitkan pada 22 Januari 2025, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Mohamad Kholid Hamzah membicarakan persoalan menulis pada usia bersara.

Adakah kerana khalayak sastera tidak mahu membaca karya penulis mapan atau penulis mapan sudah tidak menulis?

Pada usia tertentu, kita ingin menjadi seperti bapa kita, jika lelaki; dan kita ingin menjadi seperti emak kita, jika perempuan. Ketika menunggu nombor panggilan di farmasi, saya menemui Tangam, seorang sahabat yang telah lama bersara.

“Buat apa sekarang?” tanya saya basa-basi. Tangam sudah melepasi usia 60 tahun, memilih bersara pada usia 58 tahun.

“Menjahit,” balas Tangam pendek. Dia sememangnya mempunyai jejari emas, berkebolehan menjahit seperti juga ibunya. Tangam mula bercerita panjang tentang mendiang ibunya ketika masih hidup. “Encik tidak mengapalah, encik pandai menulis …” katanya.

Saya tidak fikir akan terus menulis sebagai mengisi masa selepas bersara. Menulis suatu pekerjaan profesional. Memerlukan modal yang besar. Maksud saya, dari segi tenaga dan pengetahuan. Penyelidikan dan pembacaan. Perjalanan dan pengamatan. Malah, taakulan dan pemikiran yang bukan sahaja boleh mengambil masa berhari-hari, santak berbulan-bulan. Akhir-akhir ini, saya ingin membaca novel atau kumpulan cerpen baharu, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tentunya. Apabila menjengah ke laman web jualan DBP, malangnya, saya tidak menemui karya terkini penulis yang menjangkaui usia 50. Tiada karya baharu? Ke mana penulis-penulis ini menghilang?

Persoalan ini bersimpang arus dalam fikiran. Adakah kerana khalayak sastera tidak mahu membaca karya penulis mapan atau penulis mapan sudah tidak menulis?

Ke mana-mana, ketika bertemu kawan-kawan lama sama ada kawan sekerja atau kawan penulis, mahupun kawan sekolah, pertanyaan yang biasa diterima: “Engkau menulis cerita apa sekarang?” Selalunya, saya mempunyai jawapan, kini saya jarang-jarang mempunyai jawapan. Saya terkenang akan beberapa novel pendek yang belum diterbitkan kerana kekurangan dana. Juga novel-novel yang terbelangkai di tengah penulisan. Atau, saya sebenarnya tiada motivasi kerana kini jarang-jarang ada sayembara penulisan, tidak seperti suatu masa dahulu. Atau mungkin minat saya dengan tanah mula berkembang walau sekadar di halaman rumah. Hal ini seiring dengan kegiatan NGO yang saya lakukan, yang lebih memerlukan diri sebagai penyumbang khidmat bakti kepada masyarakat. Apa-apa pun, setiap insan mempunyai pilihan mereka sendiri, selagi bernyawa, dan pilihan kita tentulah yang paling sesuai dengan keupayaan menjelang penghujung usia.

_________________________

Mohamad Kholid Hamzah menulis cerpen, novel dan drama radio. Antara karyanya termasuk Pohon Hayat (DBP, 2018), Gelora Musim Rusuh (DBP, 2018) dan Si Autistik dari Mayapada (DBP, 2022).

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi