Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Filem Mereka yang Tertewas sebenarnya tiada kaitan dengan isu terkini kerana karya asal, iaitu novel Mereka yang Tertewas telah ditulis pada tahun 1988, walaupun tema dalam filem tersebut secara kebetulan relevan dengan situasi semasa.
Demikian menurut pengarah Mereka yang Tertewas, Dato’ Zulkeflie M. Osman semasa sidang media tayangan amal filem tersebut anjuran Badan Permuafakatan Pendidikan MARA (MUAFAKAT) Malaysia dengan kerjasama Tujuh Pelangi Maju Sdn. Bhd. yang diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.
Beliau tiada niat untuk mengaitkannya dengan mana-mana pihak tetapi mungkin secara kebetulan filem ini seolah-olah mempunyai hubung kait dengan isu terkini.
Menurut beliau, filem tersebut telah mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang mana latar belakang pemilihan naskhah novel Mereka yang Tertewas telah dilaksanakan oleh pihaknya menerusi penyerahan kertas cadangan yang terbaik dan Tujuh Pelangi Maju Sdn. Bhd. telah berjaya mendapatkan naskhah tersebut untuk difilemkan.
Beliau berkata,
Jadi, terdetiknya pemilihan (novel Mereka yang Tertewas) itu bukan atas diri saya tetapi atas usaha Tujuh Pelangi Maju Sdn. Bhd. dan saya berasa perkara ini merupakan suatu pilihan yang baik untuk menjadikan naskhah ini sebagai filem di layar perak.
Beliau turut meluahkan rasa bangga kerana diberi peluang untuk mengarahkan filem karya besar tersebut yang dianggap sebagai sebuah naskhah yang mendalam dan mencabar.
Tambah beliau lagi,
Kebimbangan saya adalah untuk memberikan kepuasan kepada pembaca novel asal kerana perkara tersebut bukan mudah kerana filem ini bukanlah macam cerita biasa, seram, aksi atau komedi tetapi sebuah naskhah yang berat.
Selain itu, novel tersebut pernah diangkat sebagai teks sastera Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1991 hingga 2001, menjadikannya dikenali ramai termasuk penggiat seni yang membaca hingga ke akhir untuk memahami intinya.
“Usaha untuk mengekalkan keaslian watak dan memerihalkan jalan cerita tersebut dalam bentuk visual sesuai dengan pemikiran serta memenuhi harapan pembaca merupakan suatu cabaran yang sukar membuatkan beliau teruja untuk mengarahkan filem tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Zaidi Omar yang memerankan watak utama sebagai Tapa yang dikenali sebagai Lebai Pa menyatakan perasaannya yang bercampur baur, iaitu teruja, gerun, risau, takut, berdebar-debar apabila diberikan peluang untuk membawa watak tersebut sehingga beliau berasa ragu untuk menerima pada awalnya.
Beliau memikirkan semula tanggungjawab kepada masyarakat yang akhirnya membuatkan beliau menerima tawaran tersebut, di samping berharap filem tersebut memberikan manfaat dan pengajaran kepada para penonton.

Fiza Halim yang berperanan sebagai Jamilah, iaitu isteri Lebai Pa turut berkongsi tentang filem tersebut telah mengimbau kembali ketika zaman persekolahannya kerana beliau merupakan pelajar aliran sastera Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1998.
Malah, beliau berasa gembira tatkala melakonkan satu daripada watak filem tersebut dan berharap agar apa yang diterjemahkan dalam filem tersebut mendapat sambutan serta diterima oleh semua pihak daripada semua pihak.
