Diterbitkan pada 3 November 2024, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tayangan Amal Filem Mereka yang Tertewas anjuran Badan Permuafakatan Pendidikan MARA (MUAFAKAT) Malaysia dengan kerjasama Tujuh Pelangi Maju Sdn. Bhd. diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam bertujuan untuk membantu para pelajar dan guru di bawah institusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang memerlukan.

Dana tersebut dikumpulkan hasil daripada jualan tiket filem berkenaan secara dalam talian dan disalurkan kepada Tabung Prihatin MUAFAKAT untuk kebajikan para pelajar dan guru yang menghadapi kesulitan akibat bencana alam, kemalangan dan sebagainya.

Menurut penganjur, penjualan tiket bagi Tayangan Amal Filem Mereka yang Tertewas yang julung-julung kali diadakan telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan orang ramai yang mahu menjadi penonton awal filem tersebut.

Selain itu, tayangan amal yang diadakan juga bermatlamat untuk memupuk semangat cinta akan filem Melayu yang berasaskan novel dalam kalangan masyarakat khususnya para pelajar MARA, di samping mengeratkan hubungan antara ahli MUAFAKAT Malaysia dengan penggiat seni tanah air untuk membantu mereka meneruskan perjuangan kemajuan industri filem di Malaysia.

Tayangan amal tersebut telah disempurnakan dengan ucapan daripada Pengarah Mereka yang Tertewas, Dato’ Zulkeflie M. Osman.

Pengarah Mereka yang Tertewas, Dato’ Zulkeflie M. Osman ketika menyampaikan ucapannya.

Beliau berkata,

Kisah ini telah menyentuh hati banyak generasi pelajar sebenarnya kerana filem tersebut mengisahkan tentang pertembungan antara kebenaran dengan kepalsuan di tengah isu kepercayaan, khurafat dan ajaran sesat yang masih relevan hingga hari ini.

Melalui penceritaan ini, kita cuba untuk menyampaikan mesej dakwah yang penting, iaitu untuk menekankan akidah yang kukuh dan pegangan agama yang benar merupakan kunci untuk menghadapi cabaran hidup.

Ujar beliau lagi,

Sebagai pengarah, saya berasa terpanggil untuk membawakan kisah ini ke layar perak, bukan sahaja sebagai hiburan tetapi juga sebagai wadah untuk menimbulkan kesedaran terutamanya dalam kalangan generasi muda pada zaman yang sarat dengan pelbagai cabaran dan isu agama supaya sentiasa peka dan bijak menilai antara yang benar dengan batil.

Mereka yang Tertewas merupakan sebuah filem di bawah sokongan pembiayaan Dana Kandungan Digital, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal ditayangkan di pawagam pada 7 November 2024.

Filem tersebut diadaptasi daripada novel karya Hasanuddin Md Isa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1988 serta pernah dijadikan teks sastera Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1991 hingga 2001.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem tersebut termasuklah Zaidi Omar, Fiza Abdul Halim, Sherie Merlis, Ruzaidi Abdul Rahman, Zaini Hassan, Mubarak Majid, Datuk Hilal Azman, Fad Anuar dan Adam Shahz.

Turut hadir menonton tayangan amal tersebut ialah Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Dato’ Haji Afdlin Shauki Aksan; Timbalan Pengarah II, Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Dr. Zulkifli Hussain; Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi MARA, Puan Khotrun Nada Ariffin; Presiden MUAFAKAT MARA Malaysia, Dato’ Ts. Sayed Alfeizal Sayed Ahmad; Presiden ANSARA Malaysia, Encik Noor Azizee Abd Aziz; Penerbit Filem, Mohd Hazizi Saodi; Pengarah Urusan Tujuh Pelangi Maju Sdn. Bhd., Dato’ Shazly Abd Wahab;  Datuk Dr. Ras Adiba Mohd Radzi, dan Pengarah Urusan Skop Productions Sdn. Bhd., Dato’ Yusof Haslam.

Barisan pelakon yang hadir dalam Tayangan Amal Filem Mereka yang Tertewas.
Kredit Foto: Mohd Nazmin Taharin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi