Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarangiramamu mengalir
di alun sungai waktu
dan salasilah
dan akhirnya menjadi lagu bangsa,
kerana kau membaca watak
dan perasaan mereka,
pada riak dan gelombangnya.
maka kau dikenang di madura
di gang-gang jakarta yang panjang
dan di rumah serta sawah betawi.
dan di tebing sungai deli
di pondok sungai acheh,
di mana leluhurmu berumah.
dan di pulau pinang
di kampung dodol,
di mana darah pertamamu
menetes ke bumi.
lagu dan lakonmu
mengajak pemuda
bercinta melalui baris-barismu,
dan gadis yang kecewa pun
memetik bunga sedih suaramu.
kau penggubah mimpi
dan juga kenyataan
di dusun petani
dan bagan nelayan.
kau melukis bahagia
dan derita
memberi bayang
dan darah
kepada kezaliman
yang selalu mengendap
dari balik kota kuasa.
tapi kau juga mengarang
kisah asmara yang termanis
di antara penarik beca
dan anak gadis hartawan,
di antara kasih
yang dipisah darjat,
untuk dibawa pulang
anak kampung
ke dalam harapan yang samar.
tapi kau juga dalang
yang meletuskan ketawa
anak muda serta ayah mereka
supaya kesusahan hari dapat dilupa,
kau mengutip watak-watak
dari desa sejarah
dan pagar istana:
penyanyi muda serta tukang karut yang tua,
bujang lapuk yang masih segar dunianya.
kau membawakan raja dan permaisuri,
bangsawan dan dayang,
dan paling disanjung 40 penyamunmu,
kerana kami diberitahu penganalisis politik
bahawa mereka
masih berkeliaran di putrajaya.
kami ketawa dan setelah itu tersedar
bahawa dengan jenaka dan sindir
kau telah melukis sengsara kami.
dan mengajarkan makna watak dan peristiwa,
kaulah yang menggesek
di tali jiwa dan jantung bangsamu
kerana kau fasih membaca perasaan
tabiat dan khilaf mereka.
kaulah penyanyi,
pengatur lagu
serta pelakon bangsa
yang tiada tolok bandingnya.
Pembaca Sajak | Raihani Mohd Saaid