Diterbitkan pada 16 Ogos 2024, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Naskhah Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) versi R.J. Wilkinson yang hari ini menjadi sandaran kebanyakan kajian teks berkaitan sebenarnya tidak disunting dengan baik sebagai sebuah teks akademik.

Naskhah itu sebaliknya hanya mengisi kelompangan penerbitan dan disesuaikan untuk bacaan murid sekolah. Bagaimanapun, hampir semua pengkaji moden bergantung sepenuhnya pada versi Wilkinson itu.

Penyelidik, En. Raimy Che-Ros berkata sehingga kini, kajian berkaitan teks HMM tidak memiliki satu edisi khas transliterasi HMM yang diambil secara langsung daripada manuskrip HMM.

“Hal ini salah dan perlu diperbetulkan. HMM versi Wilkinson mengandungi teks HMM yang sudah diubah suai dan diolah untuk digunakan sebagai buku teks bacaan murid,” katanya dalam Diskusi Manuskrip Melayu Hikayat Merong Mahawangsa: Antara Filologi, Kodikologi dan Parateks anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka, Rabu lalu.

Tambahnya, hal ini menjelaskan teks HMM versi Wilkinson itu tidak boleh digunakan sebagai teks HMM yang mewakili teks HMM sumber peribumi asal.

Untuk rekod, HMM ialah teks yang dirujuk sebagai catatan awal sejarah Kedah. Karya ini dikatakan memiliki pelbagai versi, disimpan dan dikaji oleh ramai orientalis. Meskipun sebahagiannya sudah hilang dan gagal dikesan, HMM yang ketika ini dikaji oleh ramai penyelidik moden adalah bersandarkan kepada versi Wilkinson. HMM secara umum ialah rakaman kepahlawanan dan legenda Kesultanan Kedah bermula dengan Merong Mahawangsa.

HMM versi Wilkinson disalin semula pada tahun 1898 di Pulau Pinang. Selain versi Wilkinson, terdapat enam lagi versi HMM. Antara yang turut terakam termasuk versi Maxwell 21, sebahagian koleksi W. Maxwell yang kini dalam simpanan Perpustakaan Royal Asiatic Society, London, manakala HMM versi Logan kini disimpan di Perpustakaan Nasional Singapura.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi