14 Februari 2022, 14:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Manuskrip Dala’il al-Khayrat merupakan antara manuskrip yang paling banyak disalin dalam tradisi ilmu Islam. Judul penuhnya ialah Dala’il al-Khayrat wa Shawariq al-Anwar fi zikr al-salat ‘ala al-Nabi al-Mukhtar (Petunjuk kepada Kebaikan dan Cahaya Berkilau dalam Selawat ke atas Rasul Pilihan). Manuskrip ini merupakan hasil karya Imam Muhammad Ibn Sulaiman al-Jazuli, seorang tokoh Sufi dari Maghribi. Kandungan manuskrip ini mengandungi tema kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW melalui ayat-ayat doa, pelbagai jenis himpunan selawat sebagai amalan zikir yang turut mempunyai lebih 200 nama Nabi Muhammad SAW. Manuskrip ini telah tersebar di serata pelosok dunia Islam sehingga ke Alam Melayu melalui proses penyalinan dan pengijazahan amalan daripada guru kepada murid.

Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia, Nurul Iman Rosli selaku pembentang pada Siri 1/2022 Diskusi Manuskrip Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Manuskrip Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka berkata, selain diketahui mempunyai ketinggian makna doa-doa, ketinggian ungkapan selawat (luahan cinta kepada baginda), manuskrip Dala’il al-Khayrat Diraja Terengganu turut mempunyai ketinggian dan kehalusan seni hias yang dihasilkan. Malah, hasil kehalusan seni lakaran dan warna yang sangat cantik pada manuskrip ini membuktikan keagungan kecintaan para pembesar dan pemimpin di Alam Melayu era dahulu kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Jelas beliau, keistimewaan naskhah manuskrip ini mempunyai halaman permulaan selawat yang berhias dengan pemidang bertinta emas yang cukup halus dan berseni, sama seperti kebanyakan manuskrip al-Quran di Alam Melayu, serta boleh dikatakan hampir sama dengan seni hias manuskrip al-Quran Kesultanan Terengganu. Hal ini termasuk dengan penanda ayat, penanda bahagian dan hiasan jidar serta seni hias tail piece sebagai penanda tamat bahagian nama-nama Rasulullah SAW.

Ujar Nurul Iman Rosli, bahan dan struktur kulit bukunya juga mengikut tradisi penjilidan mashaf al-Quran Terengganu, manakala iluminasinya juga mengikut gaya Terengganu. Helaian berhiasnya menggunakan dakwat emas dan hitam pada bahagian outline, berlatarkan pelbagai warna, iaitu emas, hijau/biru dan merah.

Tambah beliau, naskhah manuskrip ini juga mengandungi ilustrasi berkembar, iaitu gambaran Masjidil Haram di Mekah yang dikelilingi oleh ikonografi yang berkait dengan Nabi Muhammad SAW, seperti Kaabah; Maqam Imam Sunni – Hanafi, Hambali, Maliki, dan Syafii; Maqam Ibrahim; Telaga Zamzam, Bab al-Salam, Mimbar, Tangga Kaabah, dan Tujuh Menara. Manakala gambaran ilustrasi Masjid Nabawi di Madinah pula tergambar elemen ikonografi Rawdah, Taman Rasulullah dan Lima Menara.

Ilustrasi yang begitu halus sekali dalam lembaran manuskrip Dala’il al-Khayrat Diraja Terengganu, menampilkan ikonografi yang berkaitan dengan Rasulullah SAW di Madinah (lembaran kiri) dan Mekah (lembaran kanan).

Umumnya diketahui, iluminasi (seni hiasan) dan ilustrasi merupakan ciri sejarah dan budaya dalam penghasilan sesebuah manuskrip. Gaya iluminasi dan ilustrasi mengikut tempat/daerah yang menghasilkannya dapat dikenal pasti atas tanda-tandanya yang unik dan tertentu, seperti gaya Patani, gaya Aceh dan lain-lain. Iluminasi turut berfungsi untuk memperindah penampilan manuskrip tersebut. Di Alam Melayu, iluminasi biasanya ditemukan pada manuskrip al-Quran, kitab maulid, berzanji, tafsir, Dala’il al-Khayrat, dan hikayat.

Tambah beliau lagi, naskhah Dala’il al-Khayrat Diraja Terengganu ini ialah naskhah dari koleksi Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur. Ia bersaiz 16.5 cm x 11 cm dengan nombor rujukan 1998.1.2607. Maklumat yang tercatat pada kolofon manuskrip tersebut adalah pada hari Khamis, bertarikh 29 Ramadhan 1250 Hijrah bersamaan dengan 29 Januari 1835. Diskusi Manuskrip secara dalam talian tersebut telah dipengerusikan oleh Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, ATMA, UKM yang berlangsung pada 25 Ogos 2021.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.