Diterbitkan pada 9 Ogos 2024, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Laskar Udara, Abdullah Rosli dari Pasukan Udara Gong Kedak mengetepikan 12 peserta lain di peringkat akhir Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Angkatan Tentera Malaysia 2024 yang berlangsung di Auditorium Binari, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan, baru-baru ini.

Kelantangan dan keyakinan Abdullah berjaya mengangkat karya Sani La Bise, “Potret Silam di Muzium Bangsa” di pentas akhir, sekali gus memikat hati para juri untuk  menobatkan beliau sebagai Johan SDPK ATM 2024.

Kemenangan Abdullah ini mengakhiri kemarau pendeklamasi dari Markas Tentera Udara yang belum pernah mewakili ATM di SDPK peringkat kebangsaan.

Naib Johan disandang oleh Sarjan (sjn) Siti Nur Aini Jasni dari Tim Army Red Warrior dengan tajuk puisi “Mengibar Panji di Menara Kebangsaan” nukilan Chu E Liang. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Lt. Kol.l (Dr) Mohd Fadzly bin Haji Miswan dari Batalion Pertama Perubatan yang mendeklamasikan karya puisi Shamsudin Othman, “Pustaka Tanah Leluhur”.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Haji Ahmad, Ketua Staf Markas ATM serta dihadiri pegawai-pegawai kanan perkhidmatan. Beliau menyatakan;

“Objektif penganjuran sayembara ini adalah untuk memilih pendeklamasi terbaik supaya dapat memberikan saingan sengit di peringkat kebangsaan”

“Di samping itu, lantunan puisi yang dipersembahkan dengan baik dapat menerapkan semangat patriotik dan penghayatan erti kemerdekaan melalui seni pengucapan.”

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Tuan Haji Mohd Salahudin Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pemenang SDPK ATM 2024. (Dari kiri: Lt. Kol.l (Dr) Mohd Fadzly Haji Miswan, Abdullah Rosli dan Sjn. Siti Nur Aini Jasni.

Terdahulu, bengkel Pemantapan Seni Puisi turut diadakan dan telah disampaikan oleh Pegawai Waren 1(Yos) (B) Marzelan Md Jusoh, bekas juara SDPK ATM sebanyak empat kali.

Melalui bengkel ini, peserta didedahkan dengan pelbagai tip dan teknik deklamasi puisi yang baik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi