Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSegala kudrat dan semua tekad yang hebat
tidaklah sesat dapat menahan usia meningkat
waktu terus berlalu, dan masa terus mara,
usia terus menambah bilangan angka
Detik membidik, saat melipat,
Hari terus pergi, minggu terus menuju
Bulan terus berjalan, tahun terus bersusun
muda bertukar tua
sihat bertukar sakit
kuat bertukar penat
banyak peristiwa, hanya tinggal cerita
banyak kejadian, hanya tinggal kenangan
banyak cabaran, hanya tinggal pengalaman
banyak tangisan, hanya tinggal imbauan
banyak senyuman, hanya tinggal ingatan
yang dibangga semalam, hari ini dibungkam
yang dibenci hari ini, esok dipuji
yang berjasa lama dilupa, yang baru pula dipuja
banyak budi hanya, terlipat dalam memori
jika kau ikhlas nurani, tersimpanlah ia di sisi Ilahi
jika kau ingin dipuja manusia, pasti kau akan kecewa
usia terus melangkah menuju noktah
indah, gundah, pasrah, lemah, megah, kalah
bilah-bilah hidup mesti kau melangkah
jika reda manusia itulah cita,
pasti kau tidak temuinya sepanjang masa,
jika reda Tuhanmu adalah segala,
puji dan keji sama sahaja, semuanya dimamah usia
kau kan temui erti hidup di dunia, dan syurga di sana
cinta Tuhan tiada penghujungnya
aduhai usia dan dunia yang fana!
segalanya adalah fatamorgana
kemanisan iman nikmat benar adanya
aduhai zaman yang dipinjamkan
segala amalan hanya tinggal catatan
tarikh akhir akan bertamu
bagaimanakah kita nanti apabila bertemu
Tuhan Yang Satu, Pencipta Waktu
Kasihanilah daku…
25 Januari 2021
Kangar, Perlis
Hak cipta teks dan video: Dr Maza