Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMarsli N.O menulis tentang penyair wanita yang kembali menampilkan diri dengan sajak-sajak baharunya, Nor Aini Muhammad.
Nor Aini Muhammad membuktikan kini beliau tidak akan mengulangi kesepiannya lagi.
Tahun 1971, ketika berusia 22 tahun, dengan sajak “Mengerti” (disiarkan dalam Dewan Sastera Mac 1971) penyair kelahiran Kampung Pulau Duyong, Kuala Terengganu ini dinobatkan sebagai salah seorang pemenang Hadiah Karya Sastera 1971.
Namun begitu, setelah menempuh alam perkahwinan, Nor Aini Muhammad menyepi dan memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga.
Hanya pada tahun 1996, bantuan Sharif Putera telah memungkinkan manuskrip sajaknya, Perjalanan Mencari Kekasih diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan dilancarkan dalam satu majlis anjuran Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
Akan tetapi, sekali lagi, selepas Perjalanan Mencari Kekasih berjaya diterbitkan, kerana memberikan perhatian kepada pendidikan anak-anak dan perkembangan mereka, Nor Aini Muhammad kembali menyepikan diri.
Sepanjang tempoh “persembunyian” dan “kesenyapannya” itu, Nor Aini Muhammad mengakui tetap juga menulis, namun tulisan tersebut sekadar mendekam dalam buku catatan miliknya dan tidak dikirimkan ke media.
Kemuncaknya, ketika COVID-19 melanda, Nor Aini Muhammad mulai mengisi waktu menulis di “jendela muka buku” Facebook.
Pada waktu sama juga, tanpa beliau sedari, Sharif Putera secara diam-diam telah menyalin semua sajak dalam Facebook tersebut dan mencadangkan sajak-sajak itu dibukukan.
Akhirnya, setelah hampir 30 tahun menyepikan diri, dan sekali lagi atas bantuan Sharif Putera, Nor Aini Muhammad muncul kembali dengan kumpulan sajak kedua bertajuk Mengutip Syahdu.
Buku ini diterbitkan oleh PELITA pada tahun 2022, dikemas kini oleh Ketua II PELITA, Abdul Mubin Ismail dan diberikan kata pengantar oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman.
Penerbitan kumpulan sajak keduanya itu semakin membarakan semangat Nor Aini Muhammad untuk terus gencar berkarya dan mengirimkannya ke media penerbitan.
Awal tahun 2024, 63 sajaknya lagi diterbitkan dengan judul Alam, Hati dan Perasaan seperti Benang Terjahat melalui Persatuan Penulis Alam Maya Malaysia (Jom Sastera).
Awal tahun 2025 pula, kumpulan sajaknya, Mimpi Tak Terpadam yang memuatkan sejumlah sajaknya yang lain berjaya diterbitkan di bawah projek Buku PENA–Malaysia MADANI.
Kembalinya Nor Aini Muhammad kini selain dengan kejayaan menerbitkan beberapa kumpulan sajak persendirian, dibuktikan juga dengan kemunculan karyanya yang berjaya menembusi media arus perdana, seperti majalah Dewan Sastera dan.
Nor Aini Muhammad membuktikan kini beliau tidak akan mengulangi kesepiannya lagi.

Dalam pengakuannya dalam Karyawan Bulan Ini, majalah Dewan Sastera Bil.11/2025, Nor Aini mengakui, “Sebagai penulis yang telah berusia, aku hanya boleh menulis. Apa-apa jua kegiatan lain aku tidak boleh lagi menyertainya. Aku memohon maaf kerana kerap kali menghampakan undangan ke majlis anjuran penulis. Kudratku semakin tipis kini. Aku hanya mahu menulis kerana itulah antara kecintaanku. Apa yang penting, segala yang kurasa, kufikir dan kulihat, aku dapat kongsikan. Harapanku, perkongsianku itu dapat dimanfaatkan dan Allah jadikannya sebagai satu amal yang masih mengalir, meski jasadku nanti hilang menjadi debu. Rabbi, aku hanya hamba-Mu yang kerdil dan hina, kepada-Mu aku berserah …”
Ternyata, kembalinya Nor Aini Muhammad ke tengah-tengah khalayak sastera masa kini, dalam usianya yang kini menjangkau 76 tahun, setelah puluhan tahun menyepi dan “bersembunyi”, tetap meninggalkan jejak yang ketara.
Pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) VII 2025, salah satu sajaknya kembali menjulang nama penyair wanita ini ke permukaan.
Sajaknya, “Perempuan yang Ditinggalkan” yang disiarkan dalam Dewan Sastera Bil. 06/2024 meraih Hadiah Penghargaan, Hadiah Karya Sastera Bahagian B: Eceran Puisi Umum HASDI VII 2025.
Menurut panel penilai, “Perempuan yang Ditinggalkan” merupakan sebuah pengucapan yang saling berkait dalam satu kesatuan idea. Idea bertolak daripada premis yang kelihatan biasa, iaitu subjek yang memerihalkan pengalaman perempuan yang bersendirian. Walau bagaimanapun, makna bersendirian atau ditinggalkan memberikan suatu tanggapan baharu yang bukan hanya dihubungkan dengan apa-apa yang dilihat secara langsung, tetapi juga diperkukuh oleh keyakinan dan pengharapan yang tetap membara.
Elemen kekinian dan masa silam digabungkan bagi mencernakan makna puisi tersebut, iaitu timbulnya keyakinan dan keberanian sebagaimana ungkapan “dia telah lama/berdiri dengan berani”. Penerapan unsur perulangan dalam puisi tersebut menyerlahkan lagi hakikat tentang keyakinan “perempuan yang ditinggalkan itu/dia telah dewasa/mengharungi sungai duka” dan “perempuan yang ditinggalkan itu/menganyam dendam/menjadi kilau mentari.”
Tahniah dan selamat terus bersajak, Nor Aini Muhammad.
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau hanya ingin menulis dan berjalan sendirian.