Diterbitkan pada 13 Julai 2025, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kepala Batas – Peserta dari Seberang Jaya, Muhammad Aliff Yusre, muncul sebagai juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-39 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung semalam di Pasar Raya Mydin Mall Bertam, Kepala Batas.

Muhammad Aliff memikat hati barisan juri menerusi puisinya yang berjudul “Wujud yang Menipis”, sekali gus melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan gelaran juara.

Tempat kedua dimenangi oleh Umi Saidatul Hassan dari Bukit Mertajam dengan puisi “Riwayat Niskala”, menerima hadiah RM700, manakala tempat ketiga menjadi milik Mohamad Hafiz Md Saad dari Kepala Batas dengan puisi bertajuk “Pelataran Jagat”, membawa pulang RM500.

Tiga lagi peserta yang menduduki tempat keempat hingga keenam ialah Nur Hidayah Mohd Suri (Bukit Mertajam), Muhamad Shafiq Abdul Razak (Kubang Semang) dan Muhammad Aziman Khairul Anuar (Bukit Mertajam). Mereka masing-masing menerima hadiah saguhati sebanyak RM200.

SDPK ke-39 dianjurkan oleh  Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), Pasar Raya Mydin Mall Bertam, dan Perpustakaan Desa Pulau Pinang.

Sayembara dirasmikan oleh Pegawai Perancang Bahasa DBPWU, Encik Zainal Abidin Mohd Zin.

Jawatankuasa penganjur bersama-sama dengan para peserta sayembara di petas utama semalam.

Menurut urus setia program, Sdri. Sariah Din, selain 20 peserta yang mengambil bahagian, sambutan yang diterima kali ini amat memberangsangkan, dengan kehadiran hampir 300 pengunjung yang bukan sahaja menyaksikan deklamasi puisi, malah turut menikmati pelbagai acara pentas lain yang disediakan sepanjang program berlangsung sejak jam 9.00 pagi.

Pertandingan tersebut telah diadili oleh tiga panel hakim berpengalaman, iaitu Sdr. Dzolkafli Harun, Sdr. Abd. Aziz Ishak dan Sdr. Adenan Samsudin yang juga merupakan ahli jawatankuasa 2PNP.

Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi