Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Dunia seni puisi bakal kembali bergetar dengan penuh semangat apabila Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Negeri Pahang 2025 ke-39 akan diadakan pada 20 Julai 2025 di Dewan Permata Camar, Kompleks Permata Camar, Kampung Sri Cempaka, Kuantan.
Sayembara yang menjadi tradisi tahunan ini dianjurkan oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dengan kerjasama strategik dari Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah (DBPWT), Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) Pahang, dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), serta mendapat sokongan penuh daripada komuniti sastera dan budaya negeri.
Setiap peserta wajib mendeklamasikan puisi yang dipilih daripada Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Kemerdekaan Ke Sarang Cenderawasih dan menghadiri Bengkel Deklamasi Puisi pada 19 Julai 2025, sehari sebelum acara utama berlangsung.
Dengan mengetengahkan puisi-puisi tersebut, sayembara ini menjadi medan para peserta menzahirkan semangat merdeka dalam bentuk seni suara dan gaya.
Selain itu, sayembara ini membawa misi yang lebih besar, iaitu mencungkil bakat baharu dalam bidang seni deklamasi, menyemarakkan rasa cinta terhadap seni puisi tanpa mengira peringkat umur, serta memilih wakil rasmi Pahang ke pentas SDPK Peringkat Kebangsaan kelak.
