Diterbitkan pada 7 Julai 2025, 18:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) dan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-sekolah Malaysia (SDPKSM) 2025 peringkat negeri berlangsung bermula bulan Julai ini.

Pemenang peringkat negeri akan melangkah ke pentas kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Dataran MITC, Melaka, dari 14 hingga 17 Ogos 2025 dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka.

Hadiah bagi juara SDPK 2025 Peringkat Kebangsaan ialah wang tunai sebanyak RM5,000, naib juara akan menerima wang tunai RM3,000 dan pemenang tempat ketiga bakal menerima wang tunai RM2,000.

Juara SDPKSM 2025 Peringkat Kebangsaan pula akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, naib juara akan menerima wang tunai RM700 dan pemenang tempat ketiga akan menerima wang tunai RM500.

Menurut YBrs. Datuk Zainal Abidin Borhan selaku Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), objektif penganjuran SDPK adalah untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat terhadap negara.

“Sepanjang tempoh penganjuran, pelbagai tema telah diangkat seperti perjuangan kemerdekaan, perjuangan mengisi kemerdekaan, pengertian kemerdekaan dan peneguhan negara bangsa,” ujar beliau semasa ditemu bual oleh penyampai radio Nasional FM, Sdr. Aizat Azam pada 23 Jun 2025.

Beliau turut menjelaskan bahawa sajak-sajak patriotik dikumpulkan dan dibukukan dalam buku antologi sebagai teks untuk dideklamasikan oleh para peserta.

Buku antologi terkini yang menjadi rujukan para peserta berjudul Ke Sarang Cenderawasih terbitan GAPENA pada tahun 2023, diselenggarakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Prof. Dr. Hashim Ismail serta memuatkan 45 buah puisi terpilih.

Sementara itu, YBrs. Encik Ahmad Zauawi Che Cob selaku Pengarah SDPKSM menjelaskan bahawa SDPKSM pada tahun 2025 merupakan penganjuran kali pertama oleh GAPENA dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Cetusan idea penganjuran SDPKSM merupakan rentetan daripada peristiwa lama untuk menyambung semula pelibatan pelajar sekolah bagi memberikan mereka ruang dan peluang menyertai sayembara deklamasi puisi,” ujar beliau.

Katanya lagi, SDPKSM terbuka kepada pelajar sekolah menengah berumur 15 hingga 17 tahun.

“Kita mahu melahirkan deklamator dari kalangan pelajar sekolah. Peserta hanya perlu menghantar penyertaan dengan memuat naik video deklamasi puisi ke dalam YouTube.

“Kemudian, 10 peserta terbaik akan bertanding secara bersemuka pada peringkat negeri. Johan peringkat negeri pula akan bertanding pada peringkat kebangsaan kelak,” jelas beliau.

Untuk rekod, penganjuran SDPK telah pun memasuki tahun ke-39 pada tahun 2025 dan telah bermula sejak tahun 1987 lagi.

Datuk Zainal Abidin Borhan menyatakan harapan agar aktiviti mendeklamasikan puisi terus menjadi tradisi buat rakyat Malaysia.

Kredit Foto: BumiKita/Pixabay
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi