Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pembentukan dan perkembangan teori dalam bidang kesusasteraan Melayu menjadi elemen penting sebagai wadah untuk mentafsir setiap karya yang dihasilkan oleh penulis dalam negara ini.
Pensyarah Jabatan Bahasa dan kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Ali berkata, pengkritik dan penganalisis tidak seharusnya terus bergantung pada teori Barat untuk mentafsir karya-karya penulis negara sendiri.
“Lebih 50 tahun kita bergantung pada teori-teori Barat untuk mentafsir karya-karya kita.
“Kita ambil jurus pandangan orang lain untuk cerita tentang kita. Bagi saya itu barangkali kurang sesuai.
“Yang terbaiknya ialah kita guna pandangan kita, pemahaman kita untuk mentafsir diri kita. Saya ingat itu yang lebih sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi pembentangan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari yang diadakan di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.
Abdul Halim berkata, Teori Anjakan Makna oleh Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari sangat penting dalam konteks sastera Melayu yang harus berkembang ke hadapan selain terhadap perkembangan dunia teori dan kritikan itu sendiri.
Mengulas sorotannya terhadap beberapa tulisan Rahman mengenai Anjakan Makna, beliau mendapati SN ke-15 itu mempunyai idea dalam menekankan perubahan makna berdasarkan konteks pembacaan.
“Bagaimana kita hendak faham dalam satu perkataan, satu ayat itu boleh berubah dan membawa kepada pelbagai makna lain dalam pelbagai konteks?
“Bukan dalam bidang sastera sahaja, barangkali dalam bidang-bidang lain,” jelasnya.
Menerusi pembentangannya itu, beliau turut berkongsi usaha membentuk sesebuah teori bukan suatu hal mudah tetapi memerlukan satu proses yang panjang dengan kebiasaannya bermula melalui suatu permasalahan.
“Masalah itu, ada fenomena yang tidak boleh kita faham, maka datanglah gagasan bagaimana kita hendak memahami fenomena itu.
“Untuk menjadikan satu teori, harus usahanya ke situ (menjadi teori yang kukuh) dan beranjak ke satu titik supaya boleh berdiri dengan satu gagasan yang kuat,” katanya.